Saturday, August 2, 2008

Darul Quran jadi universiti tahfiz

Oleh Saufi Hamzah

CATAT SEJARAH: Darul Quran sasarkan 2011 dinaik taraf menjadi universiti.


Buat persiapan muncul institusi tersohor di Asia Tenggara

TAHUN 2011, Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bakal mencatat sejarah tersendiri dalam bidang pengajian tahfiz al-Quran bukan saja di Malaysia malah mungkin di Asia Tenggara apabila bakal dinaik taraf kepada kolej universiti.

Oleh itu, kerajaan dari semasa ke semasa berusaha untuk menambah kemudahan yang sedia ada bersesuaian dengan hasrat Jakim untuk menaik taraf Darul Quran.

Kerajaan sentiasa menyokong dan memberi kerjasama kepada program yang diatur Darul Quran ke arah memantapkan institusi tahfiz al-Quran, sama ada pada peringkat diploma mahupun sijil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Darul Quran ke-17 berkata, kerajaan amat yakin dan optimis terhadap graduan institusi itu kerana mereka adalah sumber modal insan yang sangat berkualiti dan amat diperlukan oleh negara dalam memacu corak serta arah pembangunan negara pada masa akan datang.

"Sebagai menteri yang diamanahkan untuk memegang portfolio agama Islam di negara ini, saya suka menyebut kepada hadirin bahawa usaha murni kita dalam melahirkan anak bangsa yang berguna bukan usaha yang boleh dijalankan dengan sambil lewa," katanya.

Malah Ahmad Zahid berkata, graduan Darul Quran mampu menjadi Perdana Menteri, Menteri Kabinet dan Ketua Setiausaha Negara, 20 tahun dari sekarang.


INDAH: Darul Quran institusi utama lahirkan sumber modal insan.


Katanya, hasrat itu tidak mustahil kerana tahfiz berkebolehan memegang jawatan tinggi kerajaan selain berjaya sebagai profesional.

"Saya berharap mereka mengambil kursus profesional selepas tamat pengajian," katanya.

Ketika membuat kunjungan pertama ke Darul Quran pada Mei lalu, Ahmad Zahid berkata, beliau berhasrat untuk melihat institusi itu menjadi universiti tahfiz yang pertama di Asia Tenggara.

Beliau optimis, sekiranya Jakim khususnya Darul Quran bekerja keras dan penuh komitmen, cita-cita untuk melihat institusi itu menjadi sebuah universiti yang terunggul pasti akan menjadi kenyataan.


GAH: Kampus Darul Quran dipindahkan ke Kuala Kubu Bharu pada 1998.


Darul Quran mempunyai tiga jabatan iaitu Jabatan Pengajian al-Quran, Jabatan Pengajian Islam dan Jabatan Pengajian Bahasa. Apabila dinaik taraf nanti, tiga jabatan baru akan diwujudkan termasuk sunnah dan muamalat.

Darul Quran sejak penubuhannya mengalami beberapa perkembangan yang memberangsangkan. Ia yang ditubuhkan pada 1966 di Masjid Negara, pada waktu itu hanya bermula dengan lapan pelajar.

Institusi itu kemudian berpindah ke Kampung Baru dan seterusnya ke Pusat Islam dan diikuti Taman Tun Dr Ismail dan Sungai Semungkis, Ulu Langat bersesuaian dengan keperluan pada waktu itu.

Dengan adanya komitmen kerajaan untuk memperkasa institusi tahfiz al-Quran, maka Darul Quran diletakkan di bawah pentadbiran Jakim, kampus itu berpindah ke Kuala Kubu Bharu pada 1998 sehingga sekarang.

Selama ini, graduan tahfiz mempunyai tanggungjawab yang sangat besar dalam konteks pembangunan negara yang bukan dinilai dari segi pembangunan fizikal semata-mata, malah turut dinilai dengan keupayaan rakyatnya dalam pembangunan rohani dan fizikal.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, kira-kira 900 pelajar yang sedang mengikuti pengajian pada peringkat diploma dijangka meneruskan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda apabila Darul Quran dinaik taraf.

"Tenaga pengajar digalakkan menyambung pelajaran pada peringkat sarjana dan doktor falsafah bagi meningkatkan kelayakan mereka setaraf kedudukan Darul Quran sebagai kolej universiti," katanya.

Sementara itu, Pengarah Darul Quran, Che Ibrahim Che Man, pula berkata graduan perlu menampilkan keperibadian sebagai seorang Hamlatul-Quran.

"Jadikan diri contoh masyarakat supaya dapat diikuti," katanya.

No comments: