Monday, August 18, 2008

Mendalami ilmu faraid elak pertikaian pembahagian harta

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my

ISLAM sebagai agama yang syumul menggariskan pelbagai pilihan kepada umatnya untuk meninggalkan harta kepada ahli waris atau individu yang disayangi. Antara instrumen yang ditawarkan ialah hibah, wasiat dan wakaf.

Menerusi cara dibenarkan itu, perancangan harta dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna bagi memastikan semua ahli waris dapat menikmati kehidupan lebih selesa kemudian hari yang menepati saranan Rasulullah SAW supaya meninggalkan waris dalam keadaan hidup senang, bukan meminta-minta.

Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu mengenai ilmu pengurusan harta atau lebih dikenali sebagai ilmu faraid menyebabkan timbul banyak masalah apabila berlaku kematian dan ahli waris bertelagah ketika mereka mahu mendapatkan harta peninggalan.

Konvensyen Faraid dan Hibah Kebangsaan 2008 anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Amanah Raya Berhad (ARB) cuba mengangkat ilmu faraid sebagai ilmu yang perlu diberi perhatian semua pihak.

Tujuannya, menggalakkan umat Islam mengguna pakai ilmu faraid yang menetapkan pembahagian harta pusaka bagi golongan yang berhak berlandaskan al-Quran dan sunnah kerana tidak keterlaluan jika dikatakan tidak ramai yang faham mengenai ilmu faraid.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam ucapan perasmian konvensyen itu berkata perkembangan masa kini menjadikan urusan pengurusan harta semakin mencabar.

Justeru katanya, semua pihak yang terbabit dalam mengurus harta atau memutuskan kes berkaitan umat Islam perlu bersedia daripada aspek kefahaman, rujukan serta keupayaan berijtihad untuk menghadapi kes berkaitan pengurusan harta.

“Masyarakat juga hendaklah dididik mendekati dan berjinak-jinak dengan ilmu pengurusan harta seperti faraid dan hibah supaya pentadbiran harta berjalan lancar mengikut panduan ditetapkan al-Quran dan sunnah.

“Kegagalan dan kelemahan dalam merancang, mengurus serta mentadbir harta boleh mengakibatkan pelbagai kesulitan di kalangan waris. Selain itu, boleh menyebabkan keretakan hubungan silaturahim sesama ahli waris.” katanya.

Ilmu faraid ialah kaedah fiqh dan matematik yang dapat mengetahui orang yang berhak terhadap harta pusaka dan bahagian untuk setiap ahli berhak dengan kadar wajib mereka terima. Peranan ilmu ini juga untuk mengenal pasti sama ada seseorang itu ahli waris atau bukan.

Walaupun sudah jelas peruntukan pembahagian harta mengikut ilmu faraid dalam al-Quran, masih berlaku kes harta tidak dibahagikan mengikut peraturan di tetapkan dan berlaku juga pihak yang tidak berhak turut mendapat harta.

Pensyarah Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Mohd Ridzuan Awang berkata, bagi memastikan kesyumulan hukum faraid umat Islam perlu mematuhi hukum dan syarat, tanggungan harta dan penentuan ahli waris.

Katanya, kuasa terletak kepada Mahkamah Syariah untuk menentukan semua itu sebelum sijil faraid dikeluarkan bagi membolehkan pentadbir harta menguruskan proses pembahagian berdasarkan ketetapan dalam sijil faraid.

“Harta hanya boleh diberi selepas mahkamah menentukan siapa waris yang benar-benar berhak, menentukan harta sepencarian serta kadarnya, membuat pengesahan mengenai wasiat, hibah dan wakaf selain mengeluarkan perintah mengikut Kanun Tanah Negara.

“Apabila semua itu sudah diputuskan, barulah Mahkamah Syariah mengeluarkan sijil faraid yang disahkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah. Berdasarkan sijil faraid inilah pembahagian harta dilakukan kepada waris,” katanya.

Beliau berkata, masalah yang sering dihadapi ketika proses pengeluaran sijil faraid ialah maklumat disertakan tidak mencukupi, senarai harta yang dikemukakan tidak lengkap dan tidak ada keseragaman antara negeri dalam mengeluarkan sijil faraid.

Malah, dalam sesetengah kes, ada ahli waris yang disembunyikan sementara sebahagiannya pula tidak hadir ketika perbicaraan. Lebih menyulitkan apabila tidak ada persefahaman ketika membuat permohonan kerana ahli waris berbalah sesama mereka.

Oleh itu, katanya umat Islam perlu mengetahui cara membuat permohonan sijil faraid yang betul bagi memastikan urusan pembahagian harta yang berkesan serta menjaga kebajikan ahli waris yang berhak terhadap harta itu.

Pensyarah Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Zamro Muda berkata, hibah adalah satu kaedah perancangan harta bertujuan membela nasib kaum kerabat terdekat dengan syarat ia berlandaskan hukum syarak.

Katanya, elemen penting dalam pemberian hibah adalah penerimaan barang hibah atau al-Qabd oleh penerima hibah daripada pemberi hibah yang bermaksud penerima mendapat sesuatu, menguasai dan boleh melakukan sesuatu ke atas barang berkenaan.

Bagaimanapun katanya, masalah berkaitan hibah ialah apabila pemberian itu hanya diketahui oleh pemberi dan penerima hibah, sedangkan waris lain tidak dimaklumkan. Ia menyebabkan berlaku pertelingkahan terutama jika ada waris tidak bersetuju.

Sebab itu katanya, disarankan supaya hibah dibuat secara bertulis dalam bentuk dokumen yang boleh ditunjukkan kepada pihak yang tidak mengetahui wujudnya hibah itu. Ia bagi mengelakkan berlakunya perpecahan antara waris.

“Sebaiknya apabila ada ijab dan kabul bagi barang yang dihibah, hendaklah ditukar nama sebagai bukti jika timbul pertikaian kelak. Begitu juga dengan harta, hendaklah dipindah milik kepada penerima hibah,” katanya.

Zamro berkata, hibah mempunyai kebaikan kerana harta yang dihibahkan terkeluar daripada harta pusaka dan tidak boleh dituntut oleh waris. Hibah juga membolehkan pewarisan harta dibuat dengan lebih mudah dan cepat.

Namun, katanya, hibah mengikut syarat sewajarnya masih tidak popular di kalangan umat Islam selain tiada undang-undang khusus mengenainya diwujudkan setakat ini. Justeru, penerangan mengenai produk hibah perlu dilakukan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Ketua Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak, Wan Abd Halim Wan Harun berkata, sehingga kini belum ada statut khusus berkaitan harta pusaka orang Islam di Malaysia dan proses pembahagian ialah mengikut hukum faraid.

Katanya, pihak berkaitan pusaka orang Islam hanya merujuk kepada kitab faraid di samping menghadiri kursus asas dan pembelajaran secara tidak formal selain berpandukan pengalaman dalam jawatan membolehkan mereka memahami hukum faraid lebih mendalam.

“Itu baru hukum faraid, belum lagi masalah yang mungkin dihadapi apabila membabitkan hukum hibah, tuntutan harta sepencarian, wasiat atau pemilikan tanah pusaka yang mempunyai bidang kuasa berasingan.

“Keadaan ini boleh menyebabkan proses pembahagian harta pusaka satu proses membebankan serta mengelirukan kerana terpaksa berurusan dengan banyak pihak,” katanya.

Justeru katanya, undang-undang berkaitan hukum harta pusaka umat Islam perlu dipermudahkan dengan mencadangkan penubuhan Mahkamah Pusaka sebagai satu institusi yang berkemampuan menyelesaikan semua masalah membabitkan pengurusan harta pusaka.

No comments: