MUSLIM wajib mempercayai adanya syurga dan neraka. Mereka yang beramal salih akan ke syurga manakala yang ingkar ke neraka. Semua orang Islam yang beriman berkeyakinan sedemikian.
Persoalannya ialah apakah kita menyedari bahawa gaya hidup dan tingkah laku sehari-hari itu termasuk sebagai persediaan sebagai ahli syurga atau sudah tergelincir sebagai ahli neraka.
Gaya hidup dan tingkah laku manusia beruntung ialah hidup yang selalu diisi dengan amalan salih iaitu melaksanakan hak Allah, mengerjakan kebajikan dan melakukan perbuatan membawa kebaikan kepada masyarakat atau manusia umumnya.
Setiap kebajikan atau kejahatan dilakukan manusia akan dicatat, direkod dan dikumpulkan Allah dengan perantaraan malaikatnya untuk diperhitung dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
Allah menjadikan kehidupan manusia di dunia bukan dengan tujuan sia-sia atau secara main-main tetapi ada tanggungjawab tertentu. Kerana itulah manusia diberi akal fikiran supaya tidak terikut dengan gaya hidup binatang.
Firman Allah yang bermaksud: "Maka adakah patut kamu menyangka bahawa kami hanya menciptakan kamu sia-sia saja? Dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami?" (Surah al-Mukminun, ayat 115)
Manusia yang berakal hendaklah celik akal dan mata supaya kehidupan selari dengan ajaran Islam dan menjauhi daripada gaya hidup penuh budaya maksiat. Manusia yang bebas daripada budaya maksiat akan membentuk masyarakat bertamadun dan berintegriti.
Manusia yang baik bukan hanya sekadar melakukan kebaikan tetapi mestilah meninggalkan segala keburukan dan mencegahnya. Seseorang itu tidak dinamakan baik apabila sebelah pagi memberi sedekah kepada orang miskin tetapi petangnya melakukan kejahatan rasuah atau penyalahgunaan kuasa.
Oleh itu, untuk mengelakkan kita tidak rugi atau menyesal, maka ambillah kesempatan tempoh hidup yang pendek ini untuk melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya dan menghindarkan perbuatan yang merosakkan masyarakat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seorang lelaki telah melalui sebatang jalan dan ternampak satu ranting pokok berduri lalu dialihkannya ke tepi. Maka Allah melimpahkan kasihnya kepada lelaki itu dan diberikan keampunan ke atasnya." (Sahih al-Bukhari)
Walaupun menjauhkan sebatang duri daripada tengah jalan kelihatan mudah tetapi pekerjaan berkebajikan ini dianggap Allah sebagai satu kebajikan yang besar kerana boleh mengurangkan kesusahan serta penderitaan manusia sejagat.
Justeru, janganlah berangan-angan ingin memasuki syurga Allah sedangkan usaha dan gaya hidup dipenuhi budaya maksiat. Setiap kita yang mengaku beriman dan ingin ke syurga perlu membuktikannya dengan melakukan amal ibadah bersungguh-sungguh.
Sebagai persediaan menjadi manusia yang solehperlu mengambil langkah berikut:
Memperbanyakkan amal soleh dan menjauhi kejahatan.
Memastikan kehidupan sehari-hari tidak bercanggah dengan hak Allah dan hak manusia.
Memperbanyakkan kebajikan kepada manusia seperti membantu mengurangkan kesusahan dan mempercepatkan urusan membabitkan kepentingan manusia.
Memastikan kehidupan seharian tidak mencampur adukkan perkara halal dan perkara haram.
Firman Allah yang bermaksud: "Tidaklah sama ahli neraka dan ahli syurga. Ahli syurga merekalah orang yang beroleh kemenangan." (Surah al-Hasyr, ayat 20)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment