Oleh Aminudin Mansor
ISLAM menyanjung tinggi budi sahabat atau saudara mara terdekat. Dalam dunia yang sibuk mengejar kebendaan ini, sahabat selalunya tidak menjadi orang penting lagi. Ada kalangan yang bersahabat kerana kepentingan kebendaan dan keduniaan.
Sebenarnya peranan sahabat adalah lebih daripada itu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan silaturahim iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggillah dengan nama yang paling disenanginya.” (Hadis riwayat Al-Tabrani).
Saling kunjung mengunjung antara satu sama lain bertujuan mengeratkan hubungan dengan sahabat, kawan serta teman. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Lakukanlah ziarah-menziarahi supaya lebih menambah kemesraan.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)
Kemesraan dan keakraban penting dalam hubungan dengan sahabat. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyukai kemesraan dan keakraban kawan lama, maka peliharalah kemesraan itu.” (Hadis riwayat ad-Dailami)
Sementara itu, kita juga digalakkan bertanya khabar, mengucapkan salam dengan sahabat. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu saling berjumpa maka saling mengucap salam dan bersalam-salaman dan apabila berpisah, maka berpisahlah dengan ucapan beristighfar.” (Hadis riwayat at-Tahawi).
Hubungan sahabat sepatutnya dijalinkan dengan kasih sayang dan perasaan itu mampu mengelak sesama sahabat menjaga maruah saudara mereka. Sahabat baik tidak akan mengumpat atau memburukkan teman.
Nabi SAW berpesan dalam sabdanya yang bermaksud: “Apabila kawan seorang Muslim diumpat dan dia tidak menyanggah (membelanya) padahal sebenarnya dia mampu membelanya, maka Allah akan merendahkannya di dunia dan akhirat.” (Hadis riwayat al-Baghowi dan Ibnu Babawih)
Selain itu, Nabi SAW juga mengingatkan dalam sabdanya yang bermaksud: “Perumpamaan orang yang beriman dalam saling cinta, kasih dan belas kasihan seperti satu tubuh. Apabila kepala mengeluh (sakit) maka seluruh tubuh tidak boleh tidur dan demam.” (Hadis riwayat Muslim)
Peribahasa Melayu ada menyatakan, ‘Berkawan biar beribu, bercinta biar satu’ membuktikan bahawa pentingnya ramai kawan. Begitu juga kata-kata ‘hendak tahu akan baik orang, tanyalah kepada kawannya yang karib’.
Umat Islam digalakkan mendampingi sahabat atau kawan yang salih dan beriman. Persahabatan yang dijalin atas rasa persaudaraan kerana Allah akan kekal lama dan memberi manfaat kepada kita. Malah, kawan yang baik boleh mendorong kita melakukan kebaikan.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Kawan pendamping yang salih ibarat penjual minyak wangi. Apabila dia tidak memberi minyak wangi, kamu akan mencium keharumannya. Sedangkan kawan pendamping yang buruk ibarat tukang besi. Apabila kamu tidak dijilat oleh apinya, kamu akan terkena asapnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Persahabatan yang baik dan jujur menjurus kepada kehidupan harmoni dalam bermasyarakat. Jatuh bangun seseorang juga ada kalangan dipengaruhi kawan yang ada di sekeliling mereka. Sahabat atau kawan yang baik sentiasa membantu kita ketika kesusahan.
Peranan sahabat memang penting terutama di kalangan remaja hari ini di mana kita lihat kebanyakan mereka mudah terpengaruh dengan kawan hingga sanggup membelakangkan nasihat ahli keluarga termasuk ibu bapa.
Perkara ini sewajarnya menjadi peringatan kepada ibu bapa untuk mengambil tahu siapa sahabat anak mereka bagi mengelakkan anak terbabit dengan kawan yang hanya akan memusnahkan kehidupannya.
Seperkara lagi, makna sahabat adalah luas kerana ibu bapa sendiri boleh menjadi sahabat kepada anak mereka dan pastinya hubungan itu lebih besar ertinya. Selain sahabat sebaya, anak juga mempunyai sahabat kalangan ahli keluarga yang boleh memantau pergerakan mereka supaya tidak melanggari syariat Islam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment