excopgsm@yahoo.com
Perlu dibuat di hadapan hakim, tidak babit kes hudud, dilarang berbalas sumpah
Soalan:
SUMPAH sekarang menjadi isu hangat diperkatakan. Banyak pandangan dan pendapat diutarakan mengenai sumpah hingga menimbulkan kekeliruan. Diharap, tuan dapat menjelaskan pandangan syarak dalam bab sumpah membabitkan kes jenayah adakah dibolehkan atau tidak? Jika dibolehkan, dalam keadaan bagaimana dan siapa yang patut memulakan sumpah? Adakah ia boleh dibuat secara terbuka dan berbalas-balas sumpah? Semoga penjelasan tuan dapat melerai kekeliruan dan menamatkan polemik ini kerana jika dibiarkan berpanjangan akan memberi gambaran negatif kepada Islam itu sendiri.
Ismail Ahmad
Jawapan:
Saya akan cuba menjawab soalan anda dari sudut akademik dan perbahasan ulama. Sumpah (al-yamin) adalah salah satu cara pembuktian yang diterima pakai dalam sistem keadilan Islam. Di sinilah letaknya keunikan sistem perundangan syariah yang berbeza dengan sivil dan Barat.
Dalam kes mal atau sivil, jumhur fuqaha menerima kaedah sumpah sebagai salah satu cara pembuktian atau keterangan di mahkamah. Bagaimanapun, dalam kes jenayah syariah, tidak semua fuqaha menerimanya. Sesetengah fuqaha hanya menerimanya dalam kes tertentu saja. Sumpah dalam kes jenayah boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu sumpah pihak yang kena dakwa (al-mudda'a alaih), sumpah pihak yang mendakwa (al-mudda'i) dan sumpah saksi.
- Sumpah pihak yang kena dakwa (al-mudda'a alaih)
Prinsip umum dalam pendakwaan Islam ialah pihak yang mendakwa perlu membuktikan dakwaannya, manakala orang yang kena dakwa boleh diminta bersumpah bagi menafikan dakwaan ke atasnya, jika pihak yang mendakwa gagal membuktikan dakwaan itu.
Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW riwayat at-Tirmizi yang bermaksud: "Keterangan di atas pihak yang mendakwa dan sumpah di atas pihak yang menafikan (yang kena dakwa)."Apabila berlaku dakwaan, hakim perlu meminta pihak yang mendakwa mengemukakan segala keterangan untuk menyokong dakwaannya. Dalam satu kes, Nabi SAW bersabda kepada yang mendakwa: "Apakah kamu ada keterangan/bukti? Jawabnya: "Tidak ada." Maka Nabi SAW bersabda: "Jika begitu kamu boleh (meminta) sumpahnya."
Ini bererti, sumpah orang yang kena dakwa itu adalah hak bagi pihak yang mendakwa, yang boleh diminta olehnya apabila dia tidak mampu membuktikan dakwaan itu melalui keterangan atau bukti. Ibnu al-Humam memetik kenyataan dalam al-Kafi yang berbunyi: "Sesungguhnya dijadikan sumpah itu hak bagi pendakwa kerana dia merasa lawannya sudah merosakkan haknya dengan penafian itu. Oleh itu, dia boleh meminta lawannya itu bersumpah kerana jika apa yang dia anggap itu betul, maka lawannya sudah melakukan dua kerosakan. Pertama, membuat sumpah dusta. Sebaliknya pula jika apa yang dianggap itu tidak betul, maka lawannya itu akan mendapat pahala kerana membuat sumpah secara besar dengan menyebut dan membesarkan nama Allah."
- Sumpah pihak yang mendakwa (al-mudda'i)
Sumpah orang yang mendakwa boleh berlaku dalam dua keadaan iaitu sumpah yang dipulangkan (al-yamin al-mardudah) dan sumpah al-Qasamah.
Al-Yamin al-mardudah ialah orang yang kena dakwa enggan bersumpah apabila diminta oleh orang yang mendakwa (dalam keadaan tidak cukup bukti dan keterangan), maka sumpah itu dipulangkan kepada orang yang mendakwa, tetapi ulama berbeza pendapat sejauh mana yamin al-mardudah memberi kesan terhadap pendakwaan.
- Sumpah al-Qasamah pula ialah sumpah dengan nama Allah yang akan dilakukan oleh pihak keluarga orang yang terbunuh dalam kes pembunuhan bagi membuktikan hak mereka terhadap tertuduh. Bagi mazhab Hanafi, ia akan dilakukan oleh tertuduh bagi menafikan pembabitan mereka dalam kes itu.
Fuqaha umumnya menerima sumpah sebagai keterangan dalam kes jenayah berkaitan hak individu dan awam seperti dalam kes qisas, diyat, serta ta'zir. Sedangkan dalam kes hudud, sumpah tidak diterima.
Kata Ahmad Fathi Bahnasi: "Orang yang kena dakwa tidak boleh bersumpah kecuali apabila diminta oleh pendakwa. Pendakwa tidak boleh berbuat demikian kecuali dalam kes yang keputusannya boleh dibuat apabila orang yang kena dakwa enggan bersumpah. Oleh itu, tidak boleh diminta bersumpah dalam kes hudud, kerana hakim tidak boleh membuat apa-apa keputusan apabila berlaku keengganan (nukul). Keengganan bersumpah (nukul) sudah disifatkan sebagai pengakuan dalam kes hudud yang menjadi hak Allah secara mutlak. Membuat pengakuan sesudah menafikannya tidak boleh diterima lagi. Oleh itu hudud tidak sabit apabila berlaku enggan (nukul)."
Kesimpulannya, sumpah perlu dibuat di hadapan hakim (mahkamah), bukan di tempat awam atau secara berbalas umpah. Sumpah dimulakan oleh pihak yang kena dakwa, selepas kes dibicarakan dan orang yang mendakwa gagal mengemukakan keterangan dan bukti, atau dalam keadaan tuduhan tanpa ada keterangan dan bukti.
Dalam keadaan demikian, orang yang mendakwa boleh meminta supaya orang yang kena dakwa bersumpah, dengan kebenaran hakim. Tetapi jika orang yang kena dakwa enggan bersumpah, orang yang mendakwa dibolehkan bersumpah, tetapi dalam kes qisas, diyat, serta ta'zir. Sumpah tidak diterima dalam kes hudud.
Jawapan disediakan Setiausaha Agong Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang. Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment