Thursday, August 28, 2008

Hak Muslim: Boleh mohon cerai taklik, fasakh jika didera suami

excopgsm@yahoo.com

Isteri perlu guna saluran perundangan bagi pertahankan hak akibat keganasan rumah tangga

Soalan:

SAYA berkahwin kira-kira lima tahun lalu. Sepanjang perkahwinan itu saya tidak bahagia. Suami sering memukul saya hingga cedera. Pernah kaki saya patah kerana dipukul dengan kayu golf tetapi saya hanya beritahu doktor saya terjatuh selepas diberi amaran oleh suami. Saya takut dengan suami apatah lagi dia sering mengancam hendak mencederakan anak tunggal kami yang berusia dua tahun. Saya tidak dibenarkan keluar rumah melainkan bersama beliau. Saya sudah tidak sanggup lagi menanggung penderitaan ini tetapi tidak tahu apa yang harus dilakukan. Pada masa ini saya langsung tidak dibenarkan keluar rumah kerana muka dan badan saya ada kesan lebam dipukul suami. Tolonglah nasihatkan apa yang perlu saya lakukan.

Isteri menderita, Sunway

Jawapan:

Kisah puan yang sedih tidak sepatutnya berlaku pada masa ini. Walau apapun alasan diberikan, suami tidak mempunyai hak langsung untuk mencederakan puan. Puan perlu tegas dalam pendirian dan bertindak awal sebelum segala kemungkinan buruk berlaku.

Tujuan undang-undang syariah atau yang dinamakan maqasid al syariah adalah untuk menjaga agama, nyawa, keturunan, harta dan akal. Jika ada perkara yang mengancam tujuan itu, undang-undang boleh dibuat bagi mengawalnya.

Perbuatan suami puan tergolong dalam perbuatan keganasan rumah tangga. Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 mentakrifkan perlakuan keganasan rumah tangga termasuklah:

meletakkan mangsa dalam keadaan takut atau cedera;
menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa;
memaksa mangsa melakukan perbuatan berbentuk seksual;
mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan; atau
melakukan khianat atau kerosakan terhadap harta.

Perlakuan di atas hendaklah dilakukan oleh seseorang terhadap isteri atau suami, bekas isteri atau bekas suami, kanak-kanak, orang dewasa yang tak berkeupayaan atau mana-mana anggota keluarga lain bagi tergolong di bawah kesalahan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Selain itu, Kanun Keseksaan juga memperuntukkan beberapa kesalahan yang boleh disabitkan jika mencederakan seseorang.

Dalam keadaan diterangkan, puan perlu melakukan beberapa perkara bagi mengakhiri penderitaan yang ditanggung. Pertamanya, puan perlu membuat aduan ke balai polis berhampiran mengenai penderaan yang dilakukan.

Puan juga boleh memohon perlindungan sementara di bawah seksyen 4 Akta Keganasan Rumah Tangga bagi menghalang suami mendekati puan. Permohonan itu hendaklah dibuat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan perintah yang diberikan berkuatkuasa sehingga siasatan polis selesai.

Di Mahkamah Syariah pula, puan juga boleh memohon perintah tegahan mengikut seksyen 107 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 bagi menghalang suami menceroboh diri, anak dan harta puan.

Jika wujud keadaan mendesak, puan boleh memohon perintah secara ex parte atau sebelah pihak. Di samping itu, puan boleh memohon hak jagaan sementara anak bagi mengelakkan anak juga didera suami.

Berhubung perkahwinan pula, puan boleh memohon kepada Mahkamah Syariah berhampiran untuk membubarkan perkahwinan sama ada secara taklik atau fasakh. Puan dinasihatkan berjumpa peguam syarie bagi mendapatkan nasihat sewajarnya dalam memfailkan permohonan pembubaran perkahwinan itu.

Seterusnya puan boleh memohon hadanah kekal atau hak jagaan anak di Mahkamah Syariah. Mengikut seksyen 82 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, ibu adalah penjaga utama bagi anak kecilnya sama ada dalam masa perkahwinan atau selepas perkahwinannya terbubar selagi tiada perkara menggugur hak itu berlaku.

Apa yang perlu puan lakukan sekarang ialah mengambil pendirian tegas bagi menyelamatkan nyawa dan anak. Undang-undang menjamin hak orang teraniaya tetapi jika puan tidak mahu menggunakan saluran perundangan, mungkin tidak ada orang lain yang dapat menolong. Fikirkanlah tindakan paling sesuai dan bertindak segera mempertahankan hak puan dan anak sebelum terlambat.

Mohonlah nasihat daripada sanak saudara, sahabat handai atau jiran tetangga bagaimana puan dapat mengatasi perkara ini kerana dalam keadaan sebegini sokongan saudara dan sahabat ataupun jiran tetangga penting terutama di peringkat yang amat genting.

Jika keseorangan, mudah suami terus menerus menzalimi puan. Puan juga boleh memohon bantuan daripada beberapa pertubuhan kebajikan dan pusat perlindungan bagi melindungi puan sekeluarga. Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat juga ada menyediakan talian khas iaitu talian An Nur bagi memberi khidmat nasihat. Nombor talian ialah 15999.

Jawapan ini disediakan Presiden Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar. Sebarang komentar boleh dihantar

ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

No comments: