Thursday, August 7, 2008

Kemanusiaan kita semakin hilang


Penderaan, pembunuhan bukti sifat belas kasihan tidak wujud dalam jiwa


MASYARAKAT negara ini terkenal di serata dunia dengan budaya hidup serta budi pekerti yang lemah lembut dan bersopan santun. Inilah juga yang memikat banyak hati sehingga ada yang mengambil keputusan tinggal di sini kerana tautan yang tidak boleh dirungkai lagi.

Keadaan itu menepati ajaran Islam yang menganjurkan umatnya menghiaskan diri mereka dengan sifat terpuji. Cuma sejak akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan pelbagai kisah mengaibkan, kekasaran, penindasan, pembunuhan, penyalahgunaan dan kekejaman yang tidak kita reda sama sekali.

Rentetan itu sudah cukup membimbangkan dan menggambarkan betapa segelintir masyarakat Malaysia kini semakin ketandusan sifat kemanusiaan dalam sudut hati mereka disebabkan tiada belas kasihan sesama insan.

Bagi umat Islam, perbuatan penderaan dan penganiayaan dilarang keras kerana Islam adalah agama bersifat rahmat iaitu belas kasihan. Jika kita benar-benar menghayati agama, Insya-Allah tiada kepincangan dalam hubungan kemasyarakatan bahkan Rasulullah SAW juga menunjukkan cara sebaik-baiknya untuk berakhlak dengan tetangga dan ahli masyarakat.

Ditegaskan Allah dalam firman yang bermaksud: "Kami tidak mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada alam sejagat." (Surah al-Anbia', ayat 107)

Menjadi orang yang membawa kebaikan kepada alam sejagat bukanlah mudah dan kerana itu Rasulullah SAW mengajarkan perbuatan baik untuk dilakukan kepada orang lain supaya Baginda tidak berseorangan dalam urusan ini sebaliknya dibantu dan disokong oleh sahabat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Kamu sekali-kali tidak akan dianggap beriman sehingga kamu bersifat rahmat. Ujar sahabat: Kami semua sememangnya bersifat rahmat. Lantas Baginda SAW menjawab: Bukan itu maksudku, rahmatmu kepada kawan kamu, sebaliknya maksudku ialah rahmatmu kepada umum (alam sejagat)." (Hadis riwayat Tabarani)

Dimaksudkan dengan rahmat adalah apa juga perkara yang membawa kebaikan dan Islam satu-satunya agama membawa misi keamanan, kedamaian, keharmonian, kemesraan dan rahmat kepada seluruh isi alam termasuk binatang.

Oleh itu, bagi menjamin kedamaian dan rahmat terlaksana Islam memerintahkan umatnya menghias diri mereka dengan sifat belas kasihan yang turut menjadi bukti kepada kesempurnaan iman seseorang kepada Allah.

Belas kasihan ini bukan saja kepada sahabat terdekat tetapi alam seluruhnya, lebih-lebih tetangga dan tetangga dalam Islam termasuklah orang yang hampir dengan kita kerana rumahnya berdekatan atau hampir kerana hubungan nasab mahupun agama.

Sebagai umat Islam, kita perlu berbuat baik terhadap mereka paling hampir dengan kita terlebih dulu sehingga apabila ingin memberi sedikit juadah kepada tetangga, Rasulullah SAW mengajar supaya diberi kepada jiran pintunya paling hampir dengan rumah kita, bukan yang paling rapat.

Sifat belas kasihan membuatkan kita mudah tersentuh apabila melihat kesusahan menimpa orang lain dan begitu juga sebaliknya. Jika perasaan seumpama itu tidak wujud dalam diri manusia, maka ia menurunkan taraf manusia lebih teruk daripada binatang, seperti sanggup membunuh anak sendiri sedangkan binatang masih lagi memiliki perasaan belas kasihan terhadap anaknya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah menjadikan rahmat 100 bahagian, satu bahagian daripadanya sudah diturunkan ke bumi. Daripada bahagian satu inilah, sekalian makhluk dapat berbelas kasihan sesama sendiri antara satu sama lain hinggakan ada seekor binatang yang mengangkat kakinya kerana takut terpijak anaknya sendiri." (Hadis riwayat Bukhari)

Ibu bapa yang mempunyai anak memikul tanggungjawab berat dalam pendidikan anak. Ibu bapa perlu mempunyai sifat kasihan belas dalam proses pendidikan anak. Jika mereka melakukan kesalahan, hendaklah ditegur dan betulkan dengan kasih sayang, bukan memukul dengan kekerasan.

Dalam tahap pendidikan pada awal usia, anak perlu dibelai, ditatang serta diasuh dengan penuh kasih sayang, bukannya dengan kekerasan yang hanya akan menyebabkan anak semakin liar dan nakal. Perlu diingat gejala sosial yang semakin membarah dalam masyarakat berpunca daripada kepupusan perasaan kasihan belas serta kemesraan dalam rumah tangga.

Justeru, apabila berlaku kesilapan atau kesalahan oleh anak, ibu bapa perlu menilai kemungkinan itu berpunca daripada kesilapan mereka yang gagal mewujudkan keharmonian rumah tangga seperti dituntut Islam dan bukannya bermula daripada masalah sosial yang dilalui selepas besar panjang.

Dalam konteks kekeluargaan pula, suami isteri perlu bertolak ansur dan berbelas kasihan antara satu sama lain menguruskan serta melancarkan perjalanan rumah tangga mereka. Ia selaras objektif perkahwinan untuk menyuburkan bibit kasih sayang dan kemesraan antara suami isteri bagi mengecapi kebahagiaan sejati.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan." (Surah al-Rum, ayat 21)

Justeru, warga Malaysia yang harmoni, paksikan tatacara kehidupan dengan moral dan akhlak tinggi, zahirkan kasih sayang yang syarie, belas kasihan tanpa malu dan sangsi, semata-mata kerana rahmat dari Ilahi, pasti tidak ada bencana terjadi, apatah lagi kekejaman melanggar hak asasi.

No comments: