AMALAN SALIH: Umat perlu mendekatkan diri kepada Tuhan melalui membaca serta menghayati al-Quran. - Gambar hiasan
Muslimin mesti pertingkatkan amalan bagi pastikan kebahagiaan di akhirat
AYAT-ayat cinta menjadi fenomena novel di Nusantara selama dua tahun kebelakangan ini. Contoh, novel karya Habiburrahman al-Shirazy mengisahkan perilaku manusia yang tidak akan henti-henti membincangkan soal 'cinta'. Yang menjadikan novel ini fenomena adalah kisahnya yang berlaku di Kaherah, Mesir bukan di Eropah atau Amerika. Di sana jugalah dua kisah cinta bersejarah dirakamkan tamadun dunia iaitu cinta Zulaikha terhadap Yusuf (yang kemudian menjadi Nabi Yusuf AS) dan percintaan Cleopatra.
Novel ini berkesudahan dengan 'happy ending' di mana Fahri menjadi graduan berkahwin dengan wanita cantik dan kaya serta mendapat kerja diidamkan setiap lelaki.
Cinta adalah kata keramat bagi seluruh manusia dan di dalamnya ada dua paradoks. Ada bahagia dan ada sengsara; ada tawa dan ada tangis; ada giat dan ada malas; serta ada syurga dan ada neraka.
Dalam ucapan pada majlis Israk Mikraj Universiti Islam Sultan Sharif Ali (Unissa), Brunei, Rabu lalu, Rektornya yang juga Pemangku Menteri Pendidikan Brunei, Pg Datuk Seri Setia Dr Mohammad Pg Abdul Rahman, menyentuh konsep cinta dalam kejadian mukjizat Israk Mikraj Nabi Muhammad SAW dan menyeru warga universiti itu untuk menghayati dan mengamalkannya.
Beliau berkata, peristiwa ini sewajarnya membawa kita kepada mencintai tiga perkara sebagai faktor utama dalam Israk Mikraj. Ketiga-tiga perkara itu adalah cinta Rasulullah SAW sebagai pelaku Israk Mikraj; cintakan masjid sebagai tempat bermula dan tujuan Israk Mikraj; dan cintakan solat sebagai buah tangan Israk Mikraj.
Beberapa hari lagi, umat Islam akan menyambut malam pertengahan Syaaban, Nisfu Syaaban. Pada malam itu umat Islam yang berpendapat bahawa malam Nisfu Syaaban memiliki banyak fadilat akan melaksanakan beberapa amalan termasuk solat dua rakaat, membaca Surah Yasin dan lain-lain. Mereka berpendapat bahawa pada malam itu adalah lembaran baru bagi catatan amalnya untuk setahun ke depan di mana pada siang sebelumnya adalah lembaran penutup bagi catatan amalnya setahun ke belakang.
Berkenaan dengan amalan menghidupkan malam Nisfu Syaaban, kitab Lata'if al-Ma'arif fi ma Limawasim al-'Ammin al-Wazaif karangan Ibn Rajab al-Hambali (w 795H) membincangkan dengan jelas permasalahan ini dalam muka surat 259-269 yang intinya ulama Hijaz membidaahkan amalan menghidupkan malam Nisfu Syaaban, manakala ulama Syam khasnya para Tabi'in mengagungkan malam Nisfu Syaaban.
Nampaknya, ulama Nusantara mengikuti jejak ulama Syam, utara Semenanjung Arab sekarang dengan tidak menyalahkan ulama Hijaz, Saudi sekarang. Bagi ulama Syam cara menghidupkan malam Nisfu Syaaban adalah dengan memperbanyak ibadah dan doa, bagi ulama Nusantara cara menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan atur cara khas individu bahkan kenegaraan dengan solat, baca Surah Yasin dan doa. Di antara fadilat malam Nisfu Syaaban adalah pengampunan Allah ke atas umat manusia kecuali orang musyrik, orang yang bermusuhan, pembunuh diri dan pelaku zina.
Nisfu Syaaban adalah akhir laporan amal manusia pada tahun lalu dan permulaan laporan amal manusia pada tahun depan. Agar sesebuah laporan elok dan baik mestilah ia dimulakan dan diakhiri dengan sesuatu yang baik. Satu daripada yang baik untuk menutup dan membuka laporan tahunan kita adalah meluahkan cinta kepada Allah, Pencipta dan Pemberi rezeki kita. Dia yang mewujudkan kita daripada tidak ada menjadi ada. Dia yang menghidupkan kita dan kemudian Dia akan mencabut nyawa kita. Ketika nyawa bersama kita mesti berpada-pada memanfaatkannya kerana ketika dia tidak ada lagi bersama badan kita, segala sesuatu sudah tamat. Ketika nyawa bersama kita masih boleh memilih untuk berbuat baik atau buruk tapi ketika ia tidak bersatu lagi dengan jasad, maka yang tinggal adalah hasil daripada yang baik atau yang buruk yakni syurga atau neraka.
Dengan cinta Allah pada akhir dan permulaan laporan seorang hamba sudah memiliki tanda dia akan selamat hidup di dunia dan akhirat. Cinta kepada Allah akan direalisasikan dengan keimanan sempurna tidak berbelah bahagi kepada-Nya; melaksana semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya. Cinta kepada Allah tidak cukup hanya dengan luahan kata-kata tapi ia mesti dibuktikan dengan perbuatan.
Apatah ertinya mengucapkan uhibbullah, aku cinta Allah tapi dia membelakangkan ajaran-Nya? Apakah ertinya mengucapkan uhibbullah, aku cinta Allah tapi dia melakukan larangannya. Jika ini berlaku, maka ia akan menjadi kisah cinta yang bertepuk sebelah tangan.
Menjelang kedatangan Nisfu Syaaban, kita sepatutnya mempersiapkan diri untuk menyambutnya. Persiapan ini juga sebagai persiapan awal kedatangan tamu agung berikutnya iaitu bulan suci Ramadan. Persiapan ini tidak akan bermakna jika tidak ada cinta terhadapnya dalam hati kerana cinta adalah penggerak utama roda kehidupan manusia dalam bermasyarakat.
Setiap manusia melihat dunia ini sesuai dengan perbuatan, fikiran dan dorongan hidupnya. Apabila amal perbuatannya baik, fikirannya bersih dan motivasi hidupnya suci, maka dia akan melihat dunia ini bersih dan indah sebagaimana dunia itu diciptakan. Jika terjadi sebaliknya, dunia akan terlihat gelap-gelita dan dia melihat segala sesuatu terasa hitam pekat. Dan akhirnya, terbentuklah dua sisi jiwa, pada satu sisi ada jiwa yang dapat membuat sesuatu terasa sengsara, di sisi yang lain pula ada jiwa yang mampu menciptakan sesuatu menjadi bahagia.
Bagaimana manusia melihat dunia? Orang yang bahagia melihat dunia dengan cinta Allah dan orang yang sengsara melihat dunia tidak dengan cinta Allah. Orang yang pertama disebut adalah orang beriman dan orang yang kedua disebut adalah orang tidak beriman.
Allah berfirman maksudnya: "(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain daripada Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), dan mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah." (Surah al-Baqarah: 165)
Al-Quran al-Karim memberi satu jawapan mengenai cara bagaimana kita mencintai Allah. Dalam ayat 31 Surah Ali 'Imran ada disebut maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mencintai Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Mengapa kita mesti mengikuti Baginda Rasulullah SAW sebagai bukti cinta kepada Allah SWT? Ini kerana sejarah sudah membuktikan bahawa sahabat Baginda menemui kenikmatan hidup ketika bersama Baginda. Mereka berasakan hangatnya kasih sayang dan ketulusan hati selama berdekatan dengan Baginda. Mereka berasakan ketenteraman ketika berada di bawah payung ajaran Baginda. Mereka memperoleh keselamatan dengan mematuhi perintah Baginda. Dan mereka mendapat kekayaan batin dengan meneladani sunnahnya. Di antara sunnahnya ini adalah sambutan malam Nisfu Syaaban dengan menzahirkan cinta kepada Allah Subhanahu wata'ala pada pandangan sesetengah pihak umat Islam. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment