WARISAN SEJARAH: Masjid Kapitan Keling di Georgetown, Pulau Pinang antara produk pelancongan yang sering menjadi tumpuan pelancong Muslim. - Gambar hiasan
Media perlu proaktif sebar maklumat untuk pikat lebih ramai pelancong Muslim prasarana.
PRODUK pelancongan Islam di negara ini memang ada, tetapi tidak dilabelkan atau dijenamakan sebagai pelancongan Islam kerana sifat pelancongan di negara ini adalah terbuka, tidak memfokuskan kepada golongan atau bangsa tertentu saja.
Bagaimanapun, persepsi itu perlu diubah kerana jenama boleh menarik perhatian terutama bagi mereka yang mahukan produk khusus termasuk pakej pelancongan memenuhi cita rasa dan keperluan apabila bercuti di negara asing.
Bagi rakyat Malaysia, pastinya apabila berkunjung ke luar negara, akan ada perkara yang mereka harapkan dapat dipenuhi supaya sepanjang berada di sana nanti tidak banyak kesukaran dihadapi seperti kemudahan mendapatkan makanan halal yang sering menjadi masalah utama.
Oleh itu, cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya ada inisiatif menubuhkan sebuah badan penyelaras atau sekretariat bagi mengkaji strategi dan memasarkan produk pelancongan Islam diberi perhatian serius.
Walaupun menyedari usaha itu memerlukan perancangan teliti kerana perlu mengambil kira banyak perkara seperti ekonomi global, beliau berkata usaha perlu dilakukan dan kerajaan akan menyokong langkah penting itu kerana pelancongan Islam adalah satu pasaran khusus yang semakin berkembang.
"Namun, untuk menggerakkan satu idea baru bukannya mudah. Di sinilah terletaknya cabaran. Bagaimanapun, mereka yang terbabit dalam industri pelancongan terdiri daripada orang yang kreatif dan mampu menghadapi cabaran," katanya pada perasmian Pameran dan Persidangan Pertama Pelancongan Islam Global di Putrajaya, baru-baru ini.
Dalam ucapannya yang dibacakan Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said itu, Najib juga berkata, industri pelancongan yang kompetitif pada peringkat dunia memerlukan idea baru disokong oleh program tertentu bagi menjamin pulangan pelaburan yang baik.
Membicarakan mengenai usaha itu pada Bengkel Media sempena Pameran dan Persidangan Pertama Pelancongan Islam Global di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), kesimpulan yang boleh dibuat ialah memang banyak aspek penting dalam sektor pelancongan masih dibiarkan sepi.
Antaranya, usaha menjadikan destinasi tertentu sebagai produk pelancongan Islam yang menarik perhatian pelancong terdiri daripada masyarakat Islam seluruh dunia melalui penyebaran maklumat dalam pelbagai media serta peningkatan prasarana.
Ia termasuk menyediakan pemandu pelancong iaitu orang penting yang akan menentukan sama ada pelancong gembira dengan kunjungan mereka atau sebaliknya. Sebagai orang penting, pemandu pelancong perlu memenuhi kriteria diperlukan untuk menjadi hos yang disenangi kehadirannya.
Malangnya, perkara penting itu sering diambil mudah pihak yang bertanggungjawab membawa pelancong bukan saja di negara ini, malah juga negara lain seperti pengalaman didedahkan Pengarang Eksekutif Perkhidmatan Berita Travel Impact Thailand, Imtiaz Muqbil.
Ketika lawatannya ke Masjid al-Hamra di Sepanyol dan Taj Mahal di India, beliau bertanya kepada pemandu pelancong mengenai ayat al-Quran serta tulisan tertera di dua monumen terkenal itu, tetapi jawapan diterima mengecewakan.
Sebaliknya, beliau pula yang terpaksa menjelaskan maksud ayat yang tertulis di dinding bangunan berkenaan kepada pemandu pelancong.
"Ini semua berkaitan komunikasi kerana kebanyakan kita tidak tahu apa yang sepatutnya diketahui. Begitu juga dengan hubungan Muslim dan bukan Islam, ada isu serius perlu diberi perhatian jika kita mahu memastikan keharmonian serta mempromosikan Islam melalui pelancongan," katanya.
Sebagai cadangan katanya, kualiti siaran berita melalui risalah pelancongan perlu dipertingkatkan supaya maklumat disediakan lengkap dan mampu memberi gambaran sebenar kepada pelancong walaupun sebelum mereka tiba ke destinasi tumpuan itu.
Perkara sama diketengahkan Ketua Pengarang Bernama, Yong Soo Heong, yang tidak pergi jauh, tetapi menjadikan Malaysia sebagai contoh terbaik untuk menekankan kuasa yang ada pada 'maklumat' sebagai daya penarik industri pelancongan.
Beliau yang satu-satunya ahli panel bukan Islam petang itu, sempat berjenaka mengenai dirinya tidak termasuk dalam penganut Kitab Mulia (al-Quran) tetap memberi pandangan bernas untuk menggalakkan lebih ramai pelancong Islam berkunjung ke negara ini.
Katanya, Malaysia yang tidak mempunyai banyak destinasi pelancongan untuk dikaitkan secara langsung dengan Islam tidak sepatutnya berpuas hati dengan hakikat bahawa majoriti penduduk negara ini beragama Islam sebaliknya perlu memanfaatkan setiap sumber yang ada.
"Masjid di Putrajaya memang diketahui menjadi destinasi pelancongan, tetapi bagaimana dengan masjid lain. Di sini maklumat memainkan peranan penting kerana melalui maklumat orang dapat tahu dan kemudian menimbulkan perasaan ingin melihat.
"Masjid di Shah Alam contohnya, kenapa ia berwarna biru. Semua itu perlu dimasukkan dalam maklumat kerana kita tidak ada satu tarikan yang kuat. Memang Islam berkembang di Melaka, tetapi kita tidak tahu di mana sebenarnya pedagang Arab berlabuh untuk berdagang dan menyebarkan Islam di sana," katanya.
Yong turut membangkitkan pentingnya peranan media sebagai mekanisme utama memberitahu berita yang berlaku dalam negara bergerak dengan pantas seperti isu membabitkan keselamatan serta keamanan kerana pelancong tidak akan pergi ke negara bergolak.
Menyusul mengenai cabaran industri pelancongan, Malaysia yang tersenarai di tangga ke-11 Destinasi Terkenal Pelancongan, sejak 10 tahun lalu sudah berusaha keras untuk meningkatkan industri pelancongan negara.
Usaha itu termasuk menjadi negara terbabit dalam Tahun Melawat Negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada 2010 nanti untuk memberitahu seluruh dunia Islam yang sebenar di samping mempromosikan negara Islam kepada pelancong luar.
Melihat fakta dikemukakan ahli panel bengkel, tidak dinafikan ada tindakan proaktif diambil ke arah menggiatkan usaha menarik lebih ramai pelancong Muslim ke negara ini. Terbaru, pelancaran Pemandu Pelancong Masjid terdiri daripada pesara dan ahli pertubuhan bukan kerajaan yang bertanggungjawab memberi maklumat kepada pelancong yang datang ke masjid.
Walaupun buat masa ini Pemandu Pelancong Masjid hanya akan bertugas di Masjid Negara dan Masjid Putrajaya, ada cadangan program itu akan disebar luas ke semua masjid yang menjadi tarikan pelancong di seluruh negara.
Begitu juga program pelancongan seperti Tiga Hari Dua Malam yang disiarkan TV9 setiap malam Ahad untuk memperkenalkan destinasi pelancongan negara. Cuma, selain mengajak penonton mengunjungi tempat menarik, penonton turut mendapat maklumat tambahan jika program berkenaan memuatkan fakta sejarah.
Jika berjaya menampilkan bahan menarik, tidak mustahil program pelancongan itu akan diterima untuk ditayangkan di negara lain.
No comments:
Post a Comment