Saturday, August 23, 2008

Jurunikah wanita cetus keraguan, pertikaian


KONTROVERSI: Saida (tengah) menikahkan Naish Hasan dan Imran Ali di Lucknow, di New Delhi, India, baru-baru ini.


Perbuatan Dr Saida nikahkan pasangan di New Delhi menyimpang ajaran Islam

SELEPAS pemikiran liberal dan kemunculan Islam progresif membabitkan kes Amina Wadud yang menjadi imam dan khatib dalam solat Jumaat dihadiri sekumpulan jemaah wanita dan lelaki di Manhattan, New York pada 18 Mac 2005, tercetus satu lagi fenomena baru.

Kali ini bukan imam wanita, tetapi jurunikah atau kadi wanita, Dr Saida Habib yang menikahkan pasangan Naish Hasan, 34, dan Imran Ali, 35, pada satu majlis diadakan di sebuah hotel di Lucknow di New Delhi, India.

Kes terbaru itu dilaporkan akhbar harian tabloid Mail Today bertarikh 13 Ogos 2008 yang turut memaparkan gambar Dr Saida, ahli Suruhanjaya Perancangan yang sedang menjalankan upacara menikahkan pasangan pengantin berkenaan.

Laporan Mail Today memetik Naish yang ditanya apakah pernikahan itu nanti akan dikecam kadi lain, antara lain berkata: "Walaupun selama ini lelaki yang menjadi jurunikah perkahwinan, saya tidak fikir mereka akan menentangnya. Perkahwinan kami dilakukan berdasarkan al-Quran kerana tidak dinyatakan bahawa wanita tidak boleh menjadi kadi atau saksi. Masyarakat hanya tidak suka menyimpang daripada tradisi."

Sementara itu, Imran pula berkata: "Oleh kerana kadi wanita jarang menjalankan akad nikah, saya mengajak intelektual Muslim untuk menggalakkan perkara ini dan menghormati keputusan kami."


MENYALAHI SYARIAT: Amina Wadud menjadi imam dan khatib pada solat Jumaat dihadiri sekumpulan jemaah wanita dan lelaki di Manhattan, New York.


Malah, keempat-empat saksi wanita pernikahan itu berkata, ia akan membawa perubahan dalam masyarakat Muslim dan memperkasakan wanita.

Berdasarkan laporan itu juga, menurut Pergerakan Wanita Muslim India (BMMA) yang mana Naish dan Imran adalah pekerja sosialnya, perkahwinan itu mengikut model nikahanama yang diilhamkan BMMA selepas mengadakan perbincangan mengenainya selama dua tahun.

Ahli BMMA, Naaz Raza memberitahu, pihaknya berbincang mengenai idea itu dengan intelektual Muslim termasuk Asghar Ali Engineer, selain menghubungi jurunikah di Afghanistan serta Pakistan yang memberitahu mereka perkara itu tidak salah, lalu mengambil keputusan meneruskan idea melakukan perubahan itu.

Menariknya intelektual Islam yang dirujuk, Asghar Ali Engineer ialah penulis terkenal India yang bukunya Islam dan Pluralisme diisytihar haram oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) atas alasan fakta yang terkandung dalam buku berkenaan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Malah, artikelnya bertajuk 'What I Believe' memberi petunjuk bahawa beliau mempunyai pemahaman berbeza dengan aliran Islam. Antara kenyataannya: "Saya percaya perubahan keyakinan perlu dihormati" dan "Saya percaya setiap individu mempunyai hak untuk memeluk agama lain atau mempunyai pandangan tanpa sebarang halangan."

Asghar Ali Engineer pernah menjemput Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi syarahan di Institut Pengajian Islam dan Pusat Masyarakat dan Sekularisme di Mumbai, India.

Adalah menjadi harapan Penasihat PKR itu tidak berkongsi pendapat serta pandangan dengan Asghar Ali Engineer yang pemahamannya mengenai Islam jelas bertentangan kerana jika beliau bersetuju dengan apa diperkatakan rakannya itu, besar implikasinya terhadap umat Islam di Malaysia kerana beliau mempunyai pengaruh dalam masyarakat negara ini.

Pastinya, kita tidak mahu tempias fenomena berlaku di India itu tidak terkena masyarakat Islam Malaysia kerana perkahwinan oleh jurunikah wanita bukan saja melanggar tradisi, malah lebih utama, bertentangan dengan ajaran Islam.

Perkahwinan adalah amanah Allah dan untuk menyempurnakan amanah itu memerlukan lima rukun iaitu calon suami, calon isteri, wali, dua orang saksi dan sighah ijab qabul. Jika kekurangan salah satu rukun, maka perkahwinan itu tidak sah.

Wali bererti teman karib, pemimpin, pelindung atau penolong yang terdiri daripada ahli waris lelaki terdekat kepada pengantin perempuan. Dalil menunjukkan mustahaknya wali ialah sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali." (Hadis riwayat Al-Khamsah dan An-Nasa'i)

Oleh kerana wali adalah satu syarat sah nikah, maka bukan semua orang boleh menjadi wali. Syarat sah menjadi wali ialah Islam, waki, adil dan merdeka. Maka, jelaslah wanita tidak boleh menjadi wali.

Hak wali iaitu bapa untuk menikahkan anak mereka di negara ini kebanyakan diberi kepada wali hakim iaitu jurunikah yang mempunyai tauliah. Bagaimanapun, masih ada bapa iaitu wali mujbir yang menikahkan anak mereka.

Apa yang dapat disimpulkan daripada isu jurunikah wanita, inilah yang akan berlaku apabila terlalu ingin melakukan perubahan atau pembaharuan bagi disesuaikan dengan keperluan sesetengah kumpulan masyarakat. Maka lahirlah pelbagai pendapat yang tidak menyimpang daripada ajaran agama sebenar.

Malangnya, proses itu dilakukan tidak mengikut panduan, tetapi melampaui batas kerana mengikut kehendak hati. Gerakan tajdid atau pembaharuan tidak mengikut panduan ini jika dibiarkan terus menular akan menimbulkan lebih banyak keraguan serta pertikaian.

Memang tidak dinafikan tiada siapa mempunyai hak untuk mempertikai akidah atau kepercayaan seseorang tetapi, jika jelas apa yang dikatakan atau dilakukan menyalahi syariat Islam sebenar, tindakan pembetulan perlu diambil.

Kita tidak mahu fahaman yang menyalahi syariat Islam tersebar luas dan menular dalam masyarakat negara ini hingga menimbulkan rasa takut terhadap kerosakan yang bakal berlaku apabila pembaharuan itu lebih banyak menimbulkan keraguan serta pertikaian.

No comments: