Wednesday, August 6, 2008

Penguam Syarie Menulis: Ilmu agama kukuh benteng ajaran sesat

Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

PERINGATAN: Papan tanda mengenai ajaran Qadiani yang dipasang di Balai Penghulu Mukim Batu, Gombak. - Gambar Hiasan


Amalan bertentangan syariat perlu dijauhi elak gugat ketenteraman, keharmonian

AJARAN sesat berlawanan dengan pegangan agama yang diiktiraf sering kali mengganggu ketenteraman dan keharmonian hidup setempat. Walaupun ajaran itu bersifat pelik dan menyeleweng daripada yang biasa dipelajari, masih ada segelintir umat Islam terpengaruh dan menjadi sebahagian pengikut ajaran sebegini.

Antara ajaran yang difatwakan sesat dalam negeri Selangor adalah ajaran Qadiani, ajaran Haji Banuar Roslan, ajaran tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol, al-Arqam, ajaran Martabat Tujuh dan ajaran Zikir Hasan Anak Rimau.

Ada juga kalangan pengikut ajaran sebegini tidak tahu bahawa apa yang dipegang dan dipertahankan itu adalah sesat serta menyimpang daripada ajaran Islam. Justeru, ilmu mengenai asas agama perlu dipelajari supaya dengan akal dan iman yang waras, kita dapat mengenali perkara baru yang diberitahu adalah sesat ataupun sebaliknya.

Apakah yang dikatakan sesuatu ajaran itu sesat dan menyeleweng? Ajaran sesat sebenarnya merujuk kepada ajaran atau amalan yang didakwa sebagai ajaran Islam sedangkan ia bercanggah dengan isi kandungan al-Quran dan sunnah.

Ajaran sesat mempunyai beberapa ciri perlu kita fahami antaranya:

Mencemarkan kesucian al-Quran dan hadis seperti memansuhkan, mengubah, mempertikai atau membuat tafsiran menyeleweng terhadap al-Quran dan hadis. Contohnya, mengatakan ayat al-Quran mengenai sembahyang tidak ada dan dimansuhkan atau mengatakan Nabi Muhamad SAW adalah bukan seorang terpuji, bukan nabi terakhir dan ada lagi nabi selepas Nabi Muhammad.

Mengubah prinsip asas dalam akidah Islam seperti ajaran menggabungkan Islam dengan agama lain sehingga menjadi satu ajaran sangat pelik serta terasing atau mengatakan semua agama tidak berbeza dan sama taraf serta datang dari Tuhan yang sama.

Memuja dan mendewakan ketua ajaran sehingga ke tahap mengatakan ketuanya suci daripada dosa, menjadi Nabi, menjadi jelmaan Tuhan di dunia dan boleh mencipta serta membuat mukjizat seperti Nabi terdahulu.

Apabila sampai ke tahap memuja, pengikut akan berusaha melakukan segala perkara untuk ketuanya sehingga memberikan keseluruhan harta, mencium kaki, meminum air basuhan kaki, meminta syafaat pemimpin serta pelbagai perkara yang tidak ada dalam ajaran Nabi Muhammad.

Menolak perkara yang mutlak (qat'ie) dalam Islam. Contohnya, mengatakan berkahwin secara batin tanpa saksi adalah sah, ketua ajaran dan pengikutnya boleh berkahwin dengan seberapa ramai yang dikehendaki. Ketua dan ahlinya sudah bebas daripada hukum-hakam agama dan tidak perlu mengerjakan sembahyang atau puasa, mengajarkan solat tidak perlu mengerjakan dengan perbuatan, sebaliknya memadai dilakukan dengan niat saja.

Mengubah konsep pahala dan dosa seperti memberi kuasa pengampunan dosa kepada ketua ajaran. Ketua boleh memberi pahala dan menjamin pengikutnya masuk ke syurga atau pun semua yang mengikutnya tidak akan dihisab amalannya di akhirat kelak.

Mendakwa boleh melakukan sesuatu yang pelik bersangkutan dengan perkara ghaib. Contohnya, ketua ajaran mengatakan dia boleh bercakap dengan Tuhan, boleh memanggil roh simati termasuklah berinteraksi dengan Nabi, malaikat atau pun mengatakan syaitan tidak berani menggoda kerana maqamnya terlalu tinggi.

Mendewakan sesuatu yang lain selain Allah atau mensyirikkan Allah dengan sesuatu sembahan lain termasuklah meminta bantuan bukan daripada Allah tetapi menyeru nama jin atau makhluk halus. Menolak hadis Nabi serta membenci semua diriwayatkan daripada Nabi Muhammad SAW.

Apabila sesuatu ajaran bertentangan dengan prinsip asas Islam, maka setiap yang beriman perlu menjauhinya dan berusaha menyelamatkan orang lain daripada terpengaruh. Ada peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkenaan kesalahan ajaran sesat.

Contohnya, seksyen 4 (1) memperuntukkan kesalahan membabitkan memuja alam semula jadi atau melakukan perbuatan yang menunjukkan pemujaan atau rasa hormat kepada mana-mana orang, binatang, tempat atau benda dengan cara menyalahi hukum syarak.

Seksyen 7 enakmen yang sama memperuntukkan orang mengajar atau menjelaskan doktrin atau melaksanakan upacara bertentangan hukum syarak dan fatwa yang berkuat kuasa sama ada di tempat sendiri atau di tempat umum boleh disabitkan denda tidak lebih RM5,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau disebat tidak lebih enam kali sebatan.

Apakah yang boleh dilakukan jika kita mendapat tahu ada ajaran sesat berlaku dalam kawasan kita?

Kita perlu membuat aduan kepada pegawai penguat kuasa Agama (PKA) memaklumkan mengenai ajaran yang disyaki bertentangan Islam. Selepas aduan dibuat, PKA akan mengadakan siasatan ke atas aduan itu.

Seksyen 54 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Selangor) 2003 memperuntukkan cara seseorang awam boleh membuat aduan. Pengadu perlu memberi aduan bertulis dengan mengisi borang, mencatat dengan terperinci apa dan di mana perkara disyaki itu berlaku.

Borang itu perlu ditandatangani dan maklumat mengenai diri pengadu juga perlu disertakan. Ini bertujuan menjaga pertanggungjawaban pengadu terhadap aduan dibuat. Jika aduan diberi secara lisan, ia juga perlu dipindahkan kepada bentuk bertulis.

Walaupun pada dasarnya PKA akan bertindak apabila ada aduan, tetapi dalam keadaan tertentu berdasarkan Seksyen 57 enakmen sama, PKA boleh terus bertindak dan menangkap walaupun tanpa aduan jika ada sebab untuk mensyaki perlakuan sesuatu kesalahan boleh tangkap berlaku.

Contohnya kes yang sudah dihebohkan oleh media, PKA boleh terus bertindak melakukan siasatan kerana jika menunggu laporan orang awam terlebih dulu, mungkin masa sudah menjadi terlalu lambat dan pihak bersalah juga mungkin berjaya melarikan diri. Ini perlu diperhalusi antara kes membabitkan kesalahan boleh tangkap, kes umum dan kes dikecualikan.

Demi untuk menyelamatkan masyarakat daripada terjerumus dalam ajaran sesat kita mengharapkan supaya:

Umat Islam berusaha mencari ilmu membabitkan ajaran Islam daripada pihak yang diketahui berilmu atau badan diiktiraf supaya tidak terpengaruh dengan ajaran pelik yang terasing.

Kita juga perlu memantapkan kefahaman mengenai perkara asas dalam Islam sehingga berjaya membezakan antara ajaran tepat dengan yang menyeleweng.

Membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab atau PKA di tempat ajaran yang disyaki menyeleweng.

Memohon kerajaan menambah bilangan PKA profesional dan mahir dalam kaedah siasatan dan tangkapan di setiap negeri serta kawasan supaya mampu menangani permasalahan dan kesalahan berbentuk agama yang bertambah.

Memohon setiap ajaran yang dikenal pasti sesat dan menyeleweng disegerakan fatwanya oleh pihak berwajib dan dihebahkan kepada orang awam seberapa segera.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

No comments: