Sunday, August 17, 2008

Persoalan Agama: Manusia disunat perbanyak ingati mati

Soalan:

Ada yang mengatakan bahawa orang yang hendak menghadapi kematian akan berasa sangat dahaga. Selain itu, ada pelbagai cerita mengenai saat nyawa dicabut daripada jasad. Kadangkala saya sendiri tidak tahu adakah gambaran itu benar atau tidak kerana penceramah tidak pula menyatakan sumbernya sama ada daripada al-Quran atau hadis. Saya bimbang gambaran itu mungkin tidak begitu tepat. Apakah gambaran sebenar mengenai saat menghadapi kematian mengikut al-Quran dan hadis?

Junaidi Omar,
Kulim, Kedah

Jawapan:

Kematian adalah saat perpisahan antara roh dan jasad. Dengan kata lain terputusnya fungsi roh dalam mengendalikan tubuh badan fizikal seperti berfikir, bergerak, makan minum dan sebagainya. Manusia disunatkan mengingati mati, kerana Rasulullah ada bersabda “Perbanyakkanlah mengingati perkara yang meng-hancurkan kelazatan (yang memutuskannya dengan segera iaitu mati)” (Riwayat Ibnu Hibban)

Saat menghadapi kematian adalah saat yang penuh kritikal dikenali sebagai nazak iaitu saat roh ditarik bermula dari hujung kaki lalu menjalar dari segenap bucu tubuh sehingga keluar dari tubuh melalui ubun-ubun. Rasulullah SAW juga mengalami saat ‘sakarat’ (kesakitan) sebelum Baginda SAW wafat. Berdasarkan hadis Aisyah RA, ketika Nabi SAW dalam keadaan nazak, di hadapan Rasulullah SAW terdapat satu bekas berisi air. Lalu Baginda mencelupkan tangan dan menyapu muka dengan air itu berkali-kali sambil berkata: “Tiada tuhan melainkan Allah, sesungguhnya mati itu mempunyai ‘sakarat’ (kesakitannya).” (Riwayat al- Bukhari)

Gambaran ketika manusia menghadapi sakaratul maut ini juga digambarkan oleh Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan daripada Ubadah bin Somit katanya, Rasulullah SAW bersabda “Apabila seseorang mukmin hampir mati, dia akan diberitahu dengan berita gembira iaitu keredaan dan kemuliaan Allah SWT ke atasnya. Tidak ada sesuatu yang dia lebih disukai daripada apa yang ada di hadapannya. Bagi ahli neraka yang hidup berakhir dengan suul khatimah (kesudahan yang buruk), dia akan diberi berita gembira dengan azab neraka, sedangkan dia berada dalam suasana yang penuh menakutkan.” (Riwayat al- Bukhari).

Apa yang penting pada saat ini ialah orang yang berada di sisi orang yang sedang nazak perlu mengajar melafazkan kalimah syahadah secara mudah dan lemah lembut bagi membantu menetapkan pendirian mereka dalam bersangka baik kepada Allah Taala yang akan mengampunkan dosanya dan kerana Rasulullah SAW ada bersabda dalam hadis Qudsi “Aku berada di sisi sangkaan hambaKu terhadapKu.” (Riwayat al- Bukhari).

No comments: