Oleh Wan Aminurrashid W Abd Hamid
Masa terbaik umat Islam bersih jiwa sebagai persiapan sambut Ramadan
RASULULLAH SAW menyatakan bahawa Syaaban adalah satu bulan mengandungi banyak keutamaan dan kebaikan, di mana nilai kebajikan akan dilipatgandakan bagi mereka yang sungguh-sungguh beribadah serta melakukan amal salih.
Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Tahukah kamu sekalian mengapa bulan ini dinamakan Syaaban? Jawab mereka: Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui. Lalu Baginda SAW bersabda: Kerana di bulan ini bercabang banyak kebaikan."
Mengingat kelebihan Syaaban, Rasulullah SAW memanfaatkan peluang iaitu meningkatkan prestasi ibadat dan amal salih berbanding bulan lain, sehingga Rasulullah SAW seolah-olah tidak pernah melakukan sedemikian pada bulan lain.
Antara aktiviti mulia sering dilakukan Baginda SAW dalam bulan Syaaban ialah memberi hiburan dan kegembiraan kepada anak yatim dan taman asuhan, iaitu dengan cara mengunjungi mereka serta menyalurkan bantuan berupa makanan dan pakaian.
Bagi menghormati dan memuliakan Syaaban yang mengandungi berkat, bulan ini perlu diisi dengan:
l Berpuasa
Umat Islam digalakkan berpuasa (sunat) pada bulan ini bagi meraih pahala dan kebesaran ditawarkan Allah. Rasulullah SAW banyak berpuasa dalam bulan Syaaban berbanding bulan lain.
Aisyah berkata: "Saya tidak melihat Rasulullah menyempurnakan puasa satu bulan penuh kecuali bulan Ramadan, dan saya tidak melihat baginda berpuasa lebih banyak di bulan lain kecuali di bulan Syaaban." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
l Memelihara dan menjauhkan diri daripada berbuat kederhakaan.
Mengingat besarnya kurniaan Allah kepada sekalian hamba-Nya di bulan ini, maka umat Islam digesa menghormati sekali gus memanfaatkan bulan Syaaban dengan melakukan amal kebaikan serta berusaha menjauhkan diri dari tergelincir ke lembah kejahatan, kederhakaan dan maksiat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Siapa memuliakan bulan Syaaban, bertakwa kepada Allah dan taat pada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, maka Allah mengampuni semua dosanya dan menyelamatkan dia dalam satu tahun itu daripada semua bencana dan penyakit."
l Memperbanyakkan selawat kepada Nabi SAW.
Umat Islam dianjurkan banyak mengucapkan selawat kepada Nabi SAW dalam bulan Syaaban kerana orang yang banyak berselawat kepada Baginda pada bulan ini, malaikat meminta ampun kepada Allah baginya.
Marilah kita berusaha menghidupkan dan memanfaatkan bulan yang mengandungi keutamaan ini kerana Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Siapa menghidupkan malam dua hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dan malam pertengahan bulan Syaaban, maka hatinya tidak akan mati di saat hati semua orang mati."
Monday, August 11, 2008
Syaaban buka luas peluang buat kebaikan, ganda ibadat
Labels:
(A) Wan Aminurrashid Wan Abd Hamid,
Ibadah,
Syaaban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment