Sunday, August 24, 2008

Persoalan Agama: Isteri dibenar tebus talak jika terbukti suami curang

Soalan:

Saya suri rumah yang berkahwin dengan mualaf sejak sembilan tahun lalu dan mempunyai empat anak. Sejak beberapa bulan lalu, suami saya mempunyai hubungan dengan perempuan lain. Dia juga gagal menunaikan nafkah batin dan berubah sikap. Saya mahu menuntut cerai, tetapi bimbang suami yang masih dipengaruhi agama asal akan mendapat hak penjagaan anak. Adakah saya patut menuntut cerai dan apakah yang perlu diketahui mengenai cerai serta hak penjagaan anak?

Isteri Buntu
Kuala Lumpur.

Jawapan:

Allah SWT banyak mensyariatkan hukum dan adab untuk mengekal dan menyemarakkan hubungan suami isteri, tetapi kadangkala hukum dan adab itu tidak diikuti oleh suami isteri atau seorang daripada mereka.

Sebagai contoh suami curang dan tidak melaksanakan tanggungjawab yang boleh menimbulkan kerenggangan. Keadaan ini bukan saja dialami oleh puan, malah kebanyakan isteri hari ini. Walaupun suami mempunyai kuasa untuk menceraikan, isteri boleh menuntut cerai atau membubarkan perkahwinannya melalui khulu', taklik dan fasakh.

Jika puan rasa perkahwinan tidak boleh diselamatkan lagi dan ia menjadi jalan penyelesaian, puan boleh menuntut cerai secara biasa atau khulu' (tebus talak). Puan perlu melaporkan perbuatan suami kepada Jabatan Agama Islam/Mahkamah Syariah dengan bukti kukuh bagi menyokong tuntutan.

Puan akan diberi makluman berkaitan dengan mendapatkan kaunseling atau prosedur tuntutan cerai oleh isteri terhadap suami.

Hak penjagaan anak yang belum mumayyiz secara umum diberikan kepada ibu. Ini bergantung kepada beberapa syarat dan kelayakan yang digariskan oleh Islam dan wajib dipenuhi seperti beragama Islam, baligh dan sempurna akal, mampu dan boleh dipercayai untuk menjalankan tugas penjagaan dan ibu belum berkahwin lain.

Kelayakan ini diperuntukkan dalam Undang-Undang Keluarga Islam Negeri-Negeri. Hak penjagaan akan hilang jika ibu kepada anak itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian darah dengan kanak-kanak berkenaan, ibu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka, ibu menukar kawasan mastautin dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak daripada pengawasan yang perlu, ibu murtad, cuai atau menganiayai kanak-kanak itu.

Hak penjagaan anak tamat selepas umur tujuh tahun bagi lelaki dan sembilan tahun bagi perempuan. Bagaimanapun, mahkamah atas permohonan penjaga membenarkan penjagaan sehingga umur sembilan tahun bagi lelaki dan 11 tahun bagi perempuan.

Apabila tamat tempoh itu, hak penjagaan berpindah kepada bapa. Apabila mencapai umur mumayyiz, anak boleh memilih untuk tinggal bersama ibu atau bapa. Kesimpulannya, keputusan muktamad bagi menentukan hak penjagaan anak dan tuntutan lain diputuskan Mahkamah Syariah.

No comments: