Sunday, August 17, 2008

Persoalan Agama: Wanita boleh tuntut talak, fasakh atau Khulu'

Perceraian jalan terakhir jika keharmonian dibina tidak dapat dikekal

Soalan:

Saya mendirikan rumah tangga sejak lima tahun lalu dan mempunyai tiga anak. Sepanjang perkahwinan itu, suami saya kerap bertindak ganas dan suka mendera saya. Dia memukul, menampar dan menendang saya kerana sebab remeh-temeh. Penderitaan yang saya alami ini menyebabkan saya mahu menuntut cerai.

Pada masa sama, saya tahu bahawa Islam benci terhadap perceraian. Berdasarkan keadaan yang saya alami, adakah saya berhak menuntut cerai pada pandangan Islam?

Wanita Malang
Jalan Klang Lama,

Jawapan:

Sabda Rasulullah SAW "Perkara halal yang paling dimurkai Allah Taala ialah talaq" (Riwayat Abi Daud). Talaq adalah pilihan terakhir bagi pasangan suami isteri yang tidak dapat mengekalkan keharmonian rumah tangga atau seorang daripada suami isteri tidak dapat mematuhi hukum, adab dan peraturan bersuami isteri sehingga berlaku perselisihan yang menyebabkan hilang perasaan hormat, nusyuz, penderaan, pengabaian nafkah dan sebagainya. Bagi mereka yang melakukannya kerana mengikut nafsu syahwat pula, itu adalah perkara halal yang dimurkai Allah SWT.

Merujuk kepada pertanyaan puan, wanita boleh menuntut perceraian melalui jalan talaq, fasakh atau khulu' (tebus talaq) atas sebab tertentu. Contohnya, khulu' berlaku sekiranya isteri ingin membebaskan diri daripada suami dengan cara mengembalikan mas kahwin atau suami bersetuju menjatuhkan talaq dengan kadar bayaran tertentu. Khulu' dibenarkan seperti firman Allah SWT yang bermaksud "Oleh itu, kalau kamu khuatir kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan Allah, maka tidak berdosa mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). (al-Baqarah :229)

Begitu juga ada hadis yang menyebut mengenai Sabit bin Qais menemui Nabi SAW dan berkata: "Wahai Nabi Allah, Sabit bin Qais, aku ingin berpisah dengan isteriku bukan kerana perangainya yang buruk dan agamanya yang tidak terjaga. Tetapi aku bimbang (jika aku terus hidup bersamanya), aku tidak dapat melaksanakan hak-hak suami" Rasulullah SAW bertanya "Bolehkah kamu pulangkan kebunnya kepadanya?" Dia menjawab " Boleh...Nabi bersabda kepada Sabit bin Qais: "Terimalah kebun itu dan ceraikannya dengan talak satu." (Riwayat al- Bukhari)

No comments: