BERI TUMPUAN: Sebahagian peserta mengikuti persidangan Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar 2008 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pengubahsuaian minda perlu terhadap kajian tamadun, reformasi institut
JIKA kita merujuk kajian dibuat pihak Barat berkaitan universiti dan kolej pertama di dunia, mereka akan menyebut universiti Salerno dan Bologna di Itali yang masing-masing ditubuhkan pada abad kesembilan dan ke-19, seperti ditulis Noel Cox (2000), Profesor Undang-undang di Auckland University of Technology, New Zealand dalam Academical Dress in New Zealand.
Jika kita merujuk tulisan pihak Barat mengenai rob (cappa clausa), baju gaun yang dipakai pendidik dan graduan, penutup kepala dan yang sejenisnya maka mereka akan merujuk kepada sejarah penubuhan Universiti Oxford dan Cambridge pada 1222 menerusi arahan Arbishop Canterbury ketika itu, Stephen Cardinal Langton kemudian dikembangkan oleh Tudor, intelek kenamaan England pada pertengahan Abad 16 seperti dalam A Brief Introduction to English Academic Costume.
Oleh itu, di mana peranan dan sumbangan atau sejarah universiti Islam yang lebih dulu wujud daripada universiti Barat? Universiti Nizamiah di Baghdad di mana Imam al-Ghazali (w. 504H) pernah menjadi profesornya di sana 1,000 tahun lalu. Universiti al-Azhar yang melahirkan banyak cendikiawan dunia dibina 1,100 tahun yang lalu. Universiti Zaitunah di Tunisia yang mendahului al-Azhar beberapa dekad sebelumnya. Kegiatan akademik yang menyerlah dalam universiti Andalusia selama kewujudan Islam sepanjang 600 tahun di sana. Belum lagi kita menyebut universiti Abu Hanifah (w. 150H), universiti Malik (w. 129), universiti Syafi'i (w. 204H) dan universiti Ahmad ibn Hanbal (w. 234H) jika kita mengambil kira tulisan Prof Cox: "Universities as we know them today started as scholastic guilds, and developed on an analogy with tradesmen's guilds and the later guilds of aliens in foreign cities which sprang up in the thirteenth and fourteenth centuries in most of the great European cities."
Inilah yang dipromosi pihak Barat selama ini. Mereka menafikan bahkan menidakkan kewujudan satu tamadun agung dunia di bawah naungan ajaran Islam selama beberapa abad lamanya. Mereka hanya mengiktiraf ketamadunan mereka saja yang baru dimulai pada abad pertengahan yang terkenal dengan istilah zaman Renaisance.
Malangnya ada di antara umat yang mengamini promosi Barat di atas hingga mereka terjebak dalam krisis jati diri antara seorang Muslim yang hanya menyembah Allah dan seorang Muslim yang 'menyembah' (baca: mengikut) selain Allah. Dia berasa rendah diri berdepan dengan Barat, tetapi menjadi singa kelaparan ketika berdepan dengan umatnya. Mereka dihinggapi penyakit yang disebut sebagai mentaliti hamba, slavish mentality yang membuat mereka tidak kritikal dan berasa selesa dengan kesan penyakit mereka yang tidak disedari.
Satu lagi bidang dinafikan Barat adalah bidang penulisan ilmiah di mana mereka juga mendakwa ia berasal dari Barat. Padahal jika kita perhatikan tradisi keilmuan Islam sudah sepatutnya mereka mengaku murid kepada tamadun Islam. Istilah sammu lana rijalakum atau 'sebutkan rujukanmu' adalah tradisi keilmuan Islam yang sudah melekat lama dalam masyarakat Islam hanya ahli hadis dalam akhir abad pertama Hijrah. Mereka sepatutnya berterima kasih juga dengan budaya 'indexing' ulama Islam terdahulu.
Rabu lalu, di Institut Pengajian Islam Sultan Haji Omar Ali Saifuddien, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dibuka perasmian bengkel penulisan Latihan Ilmiah bagi pelajar Tahun 4 oleh Dekannya, Prof Madya Dr Md Som @ Muhammad Sujimon.
Ia adalah program tahunan pelajar universiti itu yang baru saja mendapatkan Naib Canselornya yang baru, Dr Zulkarnain Hanafi, seorang pakar perubatan Brunei. Pada bengkel ini pelajar didedahkan cara atau metod penyelidikan dalam penulisan Latihan Ilmiah. Sebagai seorang pemudahcaranya, penulis bertanggungjawab membimbing mereka ke arah penulisan Latihan Ilmiah yang benar.
Tradisi penyelidikan adalah tradisi tulen ilmuwan Islam sejak dahulu kala. Ia tidak terlepas daripada ajaran Islam yang menggalakkan mencari kebenaran. Yang agak merisaukan pada hari ini adalah semakin redupnya kegiatan ini di pusat pengajian tinggi Islam. Bahkan ia tidak lagi menjadi tumpuan kerana dikalahkan oleh keglamoran komersialisasi pengajian tinggi. Mereka lebih memberi tumpuan ramainya bilangan pelajar, bukan bilangan penyelidikan.
Penyelidikan adalah satu proses yang sistematik dalam mengumpul dan menganalisis data atau maklumat untuk tujuan tertentu. Oleh itu, penyelidikan saintifik adalah satu penyelidikan terhadap satu fenomena semula jadi yang dilaksanakan secara yang sistematik, empirikal, terkawal dan begitu kritikal dengan berpandukan teori dan hipotesis mengenai pertalian atau kaitan yang diandaikan wujud di antara fenomena berkenaan.
Penyelidikan pendidikan dikategorikan kepada dua iaitu penyelidikan kualitatif dan kuantitatif. Yang pertama disebut adalah penyelidikan yang menghuraikan sesuatu fenomena itu dengan perkataan. Ia berasal dari analisis huraian. Pada asasnya ia membabitkan proses pengukuran daripada yang spesifik kepada membuat rumusan yang umum sedangkan yang kedua disebut adalah penyelidikan yang menghuraikan sesuatu fenomena yang berlaku atau wujud dalam bentuk angka atau pengukuran. Berkait rapat dengan penakulan deduktif. Bermula daripada prinsip yang umum kepada lebih spesifik.
Dalam penyelidikan dan aktiviti ilmiah lainnya, pelajar kita hari ini tidak kira apa bidang kajiannya menghadapi cabaran krisis jurang digital (Digital Divide). Mereka masih lagi ketinggalan dalam penguasaan teknologi. Perlu disedari bahawa pada hari ini keupayaan kita menguasai kemahiran teknologi maklumat khususnya menjadi sangat penting. Tamadun yang berasaskan ilmu (knowledge-based civilization) harus menjadi matlamat utama pelajar kita (baca: Muslim) khasnya apabila al-Quran itu sendiri sejak awal mencetuskan idealisme ilmu cukup signifikan dalam sejarah kemanusiaan menerusi gagasan Iqra'.
No comments:
Post a Comment