Friday, August 1, 2008

Resm Uthmani lahir 300 guru al-Quran

Oleh Hasliza Hassan

BERMULA 2001 dengan hanya 28 peserta, Kelas al-Quran Resm Uthmani daerah Hulu Langat terus berkembang untuk meningkatkan minat membaca, mengajar serta menghayati pengajaran yang terkandung dalam kitab suci al-Quran.

Pengasas kelas itu yang juga bekas johan Qariah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa ke-47, Faizah Mohd Husain, kini boleh berbangga dengan kesungguhan 300 peserta di lapan kelas al-Quran di daerah Hulu Langat.

Hasratnya untuk melebarkan sayap ke daerah lain memang kena dengan masanya kerana ilmu membaca al-Quran dengan tajwid yang betul dan secara berlagu kini menjadi tumpuan segenap lapisan masyarakat dari usia muda hingga dewasa.

"Menjadi harapan saya untuk mengembangkan kelas ini supaya ilmu mendalami al-Quran dapat dikongsi dengan lebih ramai peserta. Selain untuk diri sendiri, kelas ini juga membimbing mereka yang ingin mengajar setelah mendapat pentauliahan.

"Saya bersyukur kerana mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan ketua kampung untuk menubuhkan kelas ini. Selepas Hulu Langat, saya akan menubuhkan kelas al-Quran untuk peserta di daerah Klang pula," katanya.

Beliau yang ditemui pada Majlis Ihtifal al-Quran Resm Uthmani daerah Hulu Langat berkata, semua peserta yang mengikuti kelas berkenaan layak menduduki peperiksaan dan yang berjaya akan menerima sijil daripada Jais.

Seramai 156 peserta kelas al-Quran Resm Uthmani daerah Hulu Langat menerima sijil pada majlis yang dirasmikan Pembantu Exco Agama Negeri Selangor, Dr Sahfie Abu Bakar dan diserikan dengan kehadiran Penaung Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Selangor, Tengku Puteri Arafiah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz.

Daripada jumlah itu, 18 menerima sijil tahap tiga yang membolehkan mereka mengajar al-Quran, sementara 24 peserta menerima sijil tahap dua dan 25 peserta menerima sijil tahap satu kerana menguasai hukum tajwid dengan baik.

Peserta terdiri daripada pelajar kelas al-Quran Masjid Kampung Jawa, Masjid Ar-Rahman Sungai Lui, Surau Al-Falahiyah Taman Desa Pelangi, Masjid Qariah Batu 10 Cheras, Surau Al-Falah Bukit Dukong, Surau Saujana Impian Kajang, Surau Al-Hidayah Taman Sungai Jelok dan Maahad Tahfiz Az-Zaharah Hulu Langat.

Faizah berkata, minat membaca al-Quran dan keinginan melihat lebih ramai ahli masyarakat mendalami ilmu al-Quran mendorong beliau menubuhkan kelas selepas dinobatkan sebagai Johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-47.

Kelas yang dimulakan anjuran Rukun Tetangga Taman Desa Pelangi, Hulu Langat kemudian berkembang di kawasan lain seperti Kampung Jawa, Sungai Lui, Batu 10 Cheras dan Bukit Dukong, Kajang.

Katanya, beliau berbangga kerana ramai anak muridnya sudah boleh membaca al-Quran dengan berlagu malah ada antara mereka memiliki tauliah untuk mengajar seterusnya menyebarkan ilmu al-Quran kepada lebih ramai lagi.

No comments: