Oleh Md Asham Ahmad
Insan jadi zalim apabila ilmu, Islam dirosak ulama palsu melampau, tersalah asuhan
BANGSA yang mahu maju ke depan ialah bangsa yang mengambil pengajaran daripada kesilapan sendiri dan bangsa lain serta belajar kelebihan serta kepandaian orang lain. Bangsa yang mahu berubah daripada keadaan tidak baik kepada baik atau sedia baik kepada lebih baik mesti belajar, yakni mahu belajar dan boleh diajar (menerima ajaran).
Belajar adalah jalan memperoleh ilmu dan kepandaian, akan tetapi tidak semua orang melalui jalan itu sampai ke tujuan perjalanan. Ada syaratnya yang mesti dipenuhi, jika tidak sia-sia saja perjalanan itu.
Bijak pandai ada berkata: "Takkan sekali-kali beroleh ilmu seorang yang malu tidak juga yang takbur." Kata-kata itu dalam maknanya dan harus direnungkan dengan cermat. Ia merujuk sifat yang menjadi penghalang kepada kehendak belajar seseorang manusia.
Kehendak dan kemahuan untuk belajar datang daripada keinsafan terhadap kejahilan diri yang juga suatu keaiban, kelemahan dan kekurangan diri yang hanya boleh dihapuskan apabila ilmu mengambil tempatnya.
Keinsafan itu, mewajibkan suatu tindakan diambil bagi menyelesaikan masalah berkenaan iaitu memperoleh ilmu yang benar dengan jalan menuntutnya daripada yang memilikinya. Seorang yang malu untuk belajar bukanlah seorang menginsafi kekurangan diri kerana dia tidak menyedari bahawa kekurangan itu adalah sesuatu yang membinasakan kehidupannya.
Seorang yang takbur pula enggan mengakui kelemahan dan kekurangan diri sehingga tidak memungkinkan dia meletakkan dirinya di bawah tunjuk ajar seseorang yang dia mesti akui kelebihan dan kewibawaannya. Selagi kedua-dua sifat itu bersarang di jiwa, tidak mungkin seseorang itu meletakkan dirinya sebagai murid kepada sesiapa.
Bangsa yang mahu berubah juga mesti memenuhi syarat sama. Ia tentunya sukar kerana sesuatu bangsa itu mesti diyakinkan dan dipujuk untuk berubah. Justeru, mereka mesti terlebih dulu diinsafkan kenapa mesti berubah dan untuk menjelaskan mestilah diterangkan dulu keadaan mereka yang sebenarnya dan punca atau sebab mereka berada dalam keadaan itu.
Usaha mengubah sesuatu bangsa adalah usaha yang panjang dan jauh perjalanannya. Ia menuntut perjuangan diasaskan kepada kebijaksanaan, keikhlasan, kesabaran dan keberanian. Usaha menyedar dan menginsafkan sesuatu bangsa adalah peringkat paling sukar.
Ia hanya boleh bermula apabila timbul segolongan daripada mereka orang yang sedar, insaf serta mahu pula berdaya usaha menyedar dan menginsafkan bangsanya. Pengalaman sejarah mengajar bahawa golongan ini sering menjadi sasaran kecaman, cemuhan, ejekan dan momokan pada peringkat awalnya dan mula ditindas dan diganyang jika dilihat mendapat sambutan dan mula mengancam apa yang selama ini diterima.
Seruan mengubah pemikiran, minda, paradigma bangsa Melayu bukanlah sesuatu yang asing bahkan semakin lantang kedengaran kebelakangan ini apatah lagi melihatkan kepada krisis akhlak dan siasah yang semakin parah. Sudah menjadi kelaziman manusia, 'sudah terhantuk baru tengadah'.
Apabila sesuatu masalah mencapai tahap krisis barulah riuh redam bertempik menuding jari menyalahkan satu sama lain. Perjumpaan, rundingan, perbincangan, seminar dan bengkel mula dianjurkan pihak yang berkenaan bagi mengumpulkan buah fikiran buat memecahkan pokok persoalan.
Dalam keadaan begini, mereka perlukan seorang yang jujur dan ikhlas menyatakan kelemahan serta keaiban supaya terbuka mata hati untuk melihat dan mengenali diri sendiri. Malangnya, kejujuran, keikhlasan, keterbukaan, ketegasan dan keberanian bukan sifat dipandang tinggi bangsa kita.
Mereka melihat masalah, nasib dan masa depan dalam kerangka siasah kebangsaan dan semangat kenegaraan yang sempit. Demikian jugalah mereka mentafsirkan agama Islam dan keislaman mereka serta amanah yang dipikul.
Lupakah mereka bangsa Melayu tidak punya sebarang kemuliaan jika tidak kerana agama Islam? Lupakah mereka amanah sebenar adalah terhadap agama Islam dan dalam rangka itulah mereka sepatutnya mentafsir, memahami dan melunaskan amanah yang lain?
Apabila kedudukan siasah mereka tergugat dan tercabar, mereka hadapinya dengan semangat kebangsaan melulu iaitu taksub. Si taksub tetap membela keluarga, puak dan bangsanya tanpa mengira mereka pada pihak yang benar (dizalimi) atau salah (menzalimi).
Orang taksub seorang yang buta matanya dan pekak telinganya. Dia hanya mahu melihat dan mendengar apa yang menyenangkan perasaannya. Justeru, si pengampu dan si munafik diangkat menjadi penasihat dan sahabat karib. Masakan mereka ini akan memberikannya nasihat yang benar bahawa dia menzalimi diri sendiri dan mengkhianati amanah.
Ketidakpuasan hati bangsa lain berpunca daripada pengkhianatan bangsa Melayu sendiri terhadap amanah dipikulkan ke atasnya. Bangsa Melayu menjadi zalim kerana tidak mengendahkan peringatan dan teguran.
Mereka menjadi zalim kerana ilmu mengenai agama Islam sudah dirosakkan ulama palsu yang melampau. Mereka zalim kerana berguru dengan manusia salah asuhan. Mereka tidak akan beroleh petunjuk selagi tidak mengubah sifat yang melayakkan mereka menerima petunjuk.
Penulis ialah Felo Institut Kefahaman Islam Malaysia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment