Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
SYAABAN adalah antara bulan mulia di sisi Allah. Ia adalah bulan membawa keberkatan, nikmat dan kesejahteraan bagi umat Islam seluruhnya. Justeru, Rasulullah SAW banyak berpuasa sunat pada bulan ini dan umat Islam melipatgandakan amal ibadat.
Namun, Rasulullah SAW pernah menegaskan, kedatangan Syaaban tidak begitu diraikan dan disambut penuh kesyukuran kerana ramai leka, lalai serta alpa merebut ganjaran Allah sediakan sepanjang Syaaban.
Mereka tidak mengambil kesempatan untuk beramal ibadat sebanyak mungkin seperti mereka bersungguh-sungguh meluangkan masa untuk beribadat kepada Allah pada Ramadan.
Adat jahiliah dulu, orang Makkah lebih mengutamakan dan memuliakan Rejab dan melupakan Syaaban.
Usamah bin Zaid berkata: Aku bertanya Rasulullah SAW mengenai Syaaban kerana aku tidak pernah lihat Baginda banyak berpuasa sunat seperti Baginda berpuasa dalam Syaaban. Baginda SAW menjawab: "Bulan yang banyak manusia lalai padanya ialah antara Rejab dan Ramadan. Pada bulan Syaaban akan diangkatkan segala catatan amalan hamba kepada Allah. Dengan itu, aku amat suka supaya diangkatkan segala amalanku ketika aku sedang berpuasa." (Hadis riwayat Ahmad dan Nasa'i)
Segala amal ibadat setiap Muslim sebenarnya diangkat oleh malaikat pada tiap-tiap hari, manakala amal ibadat bulan Syaaban bolehlah dikatakan sebagai laporan tahunan disediakan malaikat untuk dibawa ke hadrat Allah SWT.
Setiap Muslim sewajibnya menginsafi bahawa segala gerak geri, tindakan, perkataan, lintasan niat di hati akan dicatatkan malaikat tidak kira sama ada besar atau kecil. Firman Allah bermaksud: "Dan demi sesungguhnya Kami mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan hatinya, sedangkan (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. Ketika dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)." (Surah Qaf, ayat 16-18)
Menginsafi pengawasan malaikat Atid dan Raqib, di samping pengawasan secara langsung daripada Allah, manusia akan sedar dan insaf serta menghentikan amalan keburukan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment