MENJAGA maruah diri menjadi kewajipan bagi setiap individu Muslim. Islam menekankan soal maruah diri kerana ia adalah gambaran sebenar keperibadian Muslim yang mengikut prinsip syarat Islam sejati.
Segala tingkah-laku, tindak-tanduk, pergaulan, tutur kata dan cara berpakaian selari kehendak Islam menjadikan maruah diri seseorang itu berada di tempat tinggi serta terhormat, seperti yang terhias pada diri Rasulullah SAW.
Maka tidak hairanlah jika tujuan Rasulullah SAW diutuskan Allah ialah untuk memperbetul akhlak manusia, supaya dengan itu maruah diri manusia tidak tercalar dan berada di tempat sewajarnya.
Hal ini ditegaskan Baginda SAW dalam sabda: "Bahawasanya aku diutuskan Allah untuk menyempurnakan keluhuran akhlak (budi pekerti)." (Hadis riwayat Ahmad)
Islam memberi garis panduan jelas kepada manusia bagaimana seharusnya seseorang itu menjaga maruah dirinya. Dalam hal berpakaian tetapi ternyata umat Islam terutama remaja atau muda-mudi meremehkan panduan diberikan.
Oleh itu, kita dapat lihat mereka mengenakan pakaian mengikut fesyen terkini tidak memenuhi ciri dikehendaki Islam. Pakaian mereka mendedahkan aurat, ketat dan jarang menampakkan susuk tubuh.
Keadaan itu disebabkan pemikiran bahawa mengikut budaya Barat sebagai maju dan moden biarpun terpaksa mengorbankan tradisi dan kebudayaan Islam. Mereka tidak gentar dengan larangan agama dan ancaman Allah kerana kejahilan.
Apabila keyakinan terhadap agama tipis, maka akhlaknya ikut terhakis. Benarlah seperti pernah diungkapkan oleh Muhammad Quthb dalam buku Jahiliah Abad 20: ".... apabila akidah menyeleweng, lambat laun moral pasti turut menyeleweng."
Jika keadaan yang membimbangkan ini tidak dipandang serius dan ditafsirkan sebagai topik berkait rapat dengan agama, maka akibatnya sangat buruk. Golongan remaja yang seharusnya memimpin masa depan nanti bukan mustahil akan mundur dan hancur.
Seharusnya kita insaf hikmah Allah memerintahkan hamba-Nya supaya berpakaian mengikut syariat. Pakaian bukan saja melindungi tubuh badan daripada perubahan cuaca serta kekotoran, pakaian membuatkan manusia kelihatan kemas dan cantik.
Memakai pakaian yang indah bukan bertujuan bergaya, bermegah dan menyombong diri, sebaliknya ialah supaya nampak bersih, sopan dan menutup aurat. Ini menjadikan seseorang itu ada harga diri dan terpelihara maruahnya.
Perintah menutup aurat dapat diperhatikan dalam firman Allah yang bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isterimu dan anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa keluar)...." (Surah al-Ajzan, ayat 59)
Sesungguhnya agama sudah menetapkan batas aurat yang perlu ditutup bagi lelaki iaitu antara pusat hingga lutut dan perempuan seluruh tubuhnya kecuali muka juga kedua tapak tangannya. Pentingnya menutup aurat sehingga Allah menentukan dalam solat di mana satu syarat sahnya ialah menutup aurat.
Mereka yang selalu menjaga maruah diri menampilkan ciri sangat mengagumkan seperti taat perintah Allah, berakhlak mulia dan terpuji, tawaduk, pemaaf, baik dalam pergaulan serta lunak tutur kata.
Lantaran itu, apabila seseorang gemar menjaga maruah diri bermakna mereka memiliki sifat insan dikasihi Allah seperti sabda Rasulullah SAW: "Sikap yang baik, menjaga diri dan hidup berhemat adalah satu bahagian daripada dua puluh empat bahagian daripada kenabian." (Hadis riwayat Tarmizi)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment