Sunday, August 24, 2008

Persoalan Agama: Cinta pada usia remaja lebih mengikut nafsu

Soalan:

Berdasarkan pengetahuan saya, tiada istilah teman lelaki atau teman wanita dalam Islam. Bagaimanapun, realitinya inilah yang berlaku dalam masyarakat Islam sekarang. Oleh itu, saya ingin tahu apakah pandangan Islam terhadap bercinta sebelum berkahwin. Bagaimana pula bercinta pada usia remaja. Jika masih hendak bercinta, apakah pula batasnya?

Mishkat Mutalib,
Muar, Johor.

Jawapan:

Islam adalah agama yang sempurna kerana meliputi bidang akidah, syariat dan akhlak. Dalam bidang akhlak, Islam menitikberatkan perasaan kasih sayang sesama makhluk di muka bumi.

Secara terperinci, cinta menurut kaca mata Islam terbahagi kepada tiga tahap. Pertama, cinta agung kepada Allah, Rasul dan Islam serta berjihad membuktikannya. Kedua, cinta pertengahan iaitu cinta sesama manusia, ibu bapa, anak, isteri, saudara-mara dan sahabat handai. Ketiga, cinta bawahan iaitu menyintai sesuatu melebihi cinta kepada Allah, Rasul dan Islam.

Allah SWT berfirman dalam Surah Hujurat Ayat 13 Surah 49 yang bermaksud:

“Wahai manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam pengetahuannya”.

Berpandukan ini, tiada salah bercinta, terutama apabila dapat menambah keimanan terhadap Allah. Tidak perlu hanya melihat negatifnya sebab setiap sesuatu itu asalnya baik, tetapi menjadi buruk jika dilihat dari perspektif buruk dan dipraktikkan secara buruk.

Bercinta pada usia remaja menjadi satu trend kehidupan remaja sekarang. Bagaimanapun, tidak ada istilah bercinta dalam Islam seperti yang berlaku di kalangan remaja kerana ia membuka ruang kepada zina. Perkara ini jelas terdapat dalam al-Quran yang melarang menghampiri zina.

Perzinaan di kalangan remaja sekarang bermula dari cinta. Mereka bergaul bebas tanpa menyedari perbuatan itu menyimpang jauh dari akhlak Islam, malah ada yang sanggup berzina secara sukarela.

Oleh itu, bercinta pada usia remaja perlu dihindarkan kerana kemudaratan lebih besar dari kemaslahatan, bahkan tidak ada keperluan bercinta pada usia muda yang tidak lebih daripada hanya nafsu.

Remaja perlu bermuhasabah diri dengan menilai baik buruk bercinta pada usia remaja. Memang benar, perasaan cinta adalah fitrah yang wujud dalam diri seseorang, tetapi perlu dipupuk dan dikawal dengan keindahan syariat Allah SWT supaya tidak disalahgunakan atau tersasar dari landasan yang betul.

Cinta yang ditentang Islam ialah yang dicemari maksiat serta berteraskan nafsu. Jika mereka yang memupuk cinta berpegang kepada Islam, ia tidak menjadi kesalahan.

Sebaik-baiknya bercintalah selepas ikatan pernikahan yang sah antara dua insan, iaitu setelah bergelar suami isteri. Islam memberi panduan membina kasih sayang antara pasangan suami isteri.

Rasulullah SAW menjadi contoh dan ikon yang perlu diikuti oleh umatnya sepanjang zaman dalam membina kasih sayang antara suami isteri apabila Baginda membina dan memupuk rasa kasih serta cinta kepada isteri-isterinya setelah berkahwin.

No comments: