BERI SEMANGAT: Tengku Puteri Arafiah melawat Nasrullah Zulkifli, 7, selepas berkhatan di Kuarters Istana Alam Shah, Kampung Seri Alam.
BERKHATAN atau bersunat adalah perkara yang disyariatkan dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Lima perkara adalah fitrah; berkhitan (bersunat), mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan menipiskan misai." (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah)
Amalan berkhatan yang sudah menjadi budaya masyarakat Islam di negara ini diteruskan melalui pelbagai pendekatan termasuk penganjuran majlis berkhatan secara beramai-ramai yang nyata mempunyai manfaat besar.
Antaranya, selain memenuhi tuntutan syariat, majlis yang selalunya dilakukan secara bergotong royong dapat menanamkan semangat kejiranan serta perpaduan antara penduduk setempat. Pada masa sama, dapat menjimatkan belanja dan meringankan beban keluarga yang ingin mengadakan kenduri kesyukuran.
Menyedari kelebihan penganjuran majlis berkhatan beramai-ramai, Lembaga Kebajikan Islam Selangor (LKPIS) cawangan Kampung Seri Alam, Klang, turut mengambil inisiatif meraikan tujuh anak ahlinya pada majlis ringkas tetapi meriah.
Majlis anjuran Biro Agama LKPIS Kampung Seri Alam dimeriahkan dengan kehadiran Penaung LKPIS, Tengku Puteri Arafiah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, serta penduduk kawasan perumahan berkenaan.
Sebelum majlis berkhatan bermula, kanak-kanak itu diraikan dengan perarakan diiringi paluan kompang, upacara merenjis tepung tawar diikuti suapan pulut kuning oleh Tengku Puteri Arafiah. Mereka kemudian disiram pasukan bomba dan terus dikhatankan.
Pengerusi LKPIS Kampung Seri Alam, Raja Noor Aleza Raja Azman Shah berkata, majlis yang pertama kali diadakan itu bertujuan mengeratkan silaturahim antara ahli dan memastikan generasi hari ini tidak lupa kepada adat.
Pada masa sama katanya, menggalakkan ahli pertubuhan berkenaan khususnya lapisan muda untuk bersama meningkatkan pengetahuan mengenai kepentingan berkhatan yang menjadi amalan masyarakat Islam.
"Apabila dibuat majlis berkhatan secara beramai-ramai, ia membuka mata anak muda mengenai pentingnya meneruskan amalan baik yang dicetuskan generasi terdahulu. Majlis berkhatan bukan sekadar memenuhi tuntutan agama tetapi mengembangkan syiar Islam melalui hubungan silaturahim.
"Oleh itu, menjadi harapan LKPIS Kampung Seri Alam, majlis ini dapat diteruskan dan jika boleh kami ingin gabungkan majlis berkhatan dengan majlis khatam al-Quran serta bertindik yang memang menjadi tradisi keluarga kerabat Selangor," katanya.
LKPIS Kampung Seri Alam yang mempunyai 120 ahli, kebanyakan terdiri daripada kakitangan istana Alam Shah, turut merancang pelbagai program sempena bulan Ramadan seperti sedekah kepada fakir miskin, program motivasi percuma dan sambutan hari raya.
No comments:
Post a Comment