Oleh Hasliza Hassan
PENGUKUHAN umat Islam terutama di kalangan remaja yang bakal menjadi pelapis, penting untuk kelangsungan usaha membangun modal insan yang akan menentukan corak kehidupan masyarakat akan datang mengikut syariat Islam.
Penaung Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Selangor (LKPIS), Tengku Puteri Arafiah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz, berkata penerapan nilai Islam dalam kehidupan akan menjayakan usaha pembangunan sahsiah melalui pendidikan.
Selain itu, katanya, pembabitan semua pihak untuk membangunkan keluarga berlandaskan nilai Islam membolehkan masalah membelenggu institusi kekeluargaan seperti perceraian, ibu tunggal dan gejala sosial kalangan remaja ditangani dengan berkesan.
“Maknanya, semua pihak perlu mengambil berat masalah melanda masyarakat kerana kita mahu umat Islam kukuh. Apabila kita kuat dan bersatu, walau apa cabaran datang, kita mampu mengatasinya.
“Kami di LKPIS menjadikan pembangunan golongan pelapis seperti puteri Islam, ibu tunggal dan institusi keluarga sebagai misi utama kerana kejayaan mereka menentukan kejayaan masyarakat Islam,” katanya.
Penubuhan LKPIS adalah lanjutan penubuhan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam oleh Tunku Puan Besar Kurshiah pada 17 Oktober 1961 bagi membantu meringankan penderitaan wanita yang menghadapi masalah rumah tangga.
Setahun selepas itu, Selangor mengambil inisiatif menubuhkan LPKIS meneruskan usaha membantu wanita di negeri itu. Dalam usia mencecah 46 tahun, LKPIS boleh berbangga kerana memiliki pejabat di Klang.
Pejabat yang dinamakan Darunna (Rumah Kami) menjadi pusat pelaksanaan aktiviti dan program antaranya ceramah agama, tafsiran al-Quran dan solat sunat dengan kerjasama Unit Mubalighat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) serta masjid negeri Selangor.
Tengku Puteri Arafiah berkata, LKPIS juga bergiat cergas dalam aktiviti kebajikan dengan memberi sumbangan kepada mangsa bencana alam, fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim, warga emas dan orang kurang upaya.
Beliau berkata, pertubuhan mempunyai kira-kira 5,000 ahli itu juga aktif menggalakkan pembabitan masyarakat dalam kegiatan sukan serta menitikberatkan kepentingan menimba ilmu pengetahuan dengan menganjurkan kursus dan seminar bagi melahirkan ahli berilmu, berdaya saing serta bertakwa.
“Ahli LKPIS juga aktif dalam bidang sukan apabila kami menghantar wakil ke pertandingan badminton, bowling dan congkak ke sukan peringkat kebangsaan LKPIM. Kita mahu semua ahli melalui kehidupan seimbang demi kesejahteraan fizikal dan kerohanian.
“Kita bersyukur kerana mendapat kerjasama dan sokongan penderma terutama yang menyumbang secara tetap. Menjadi hasrat kami supaya masyarakat bersama menjayakan misi mengurangkan penderitaan dan membangun insan,” katanya.
Hingga kini, LKPIS mempunyai 17 cawangan yang bergiat aktif di tujuh daerah di Selangor dan pertubuhan itu akan membuka cawangan baru di Batu Caves dan Petaling Jaya Selatan tahun ini.
Tuesday, August 12, 2008
LKPIS perkukuh sahsiah golongan pelapis jayakan masyarakat
Labels:
(A) Hasliza Hassan,
Akhlak,
Remaja,
Sahsiah,
Wanita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment