Wednesday, August 27, 2008

Peguam Syarie Menulis: DNA kenal pasti nasab anak kes zina

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip
excopgsm@yahoo.com


KEJAYAAN DNA: Ana Escobar dari Guatemala menemui kembali anaknya Esther Zulemita Rivas yang diculik pada tahun lalu hasil kejayaan padanan DNA ibu dan anak yang dijalankan terhadap mereka.


Islam benarkan pasangan bersumpah li'an selesai tuduhan isteri curang

KEWUJUDAN asid deoksiribonukleik atau DNA antara keajaiban Allah. Uniknya DNA yang menjadi identiti biologi setiap individu berbeza, ia membolehkan agensi penguatkuasaan seperti polis mengenal pasti identiti pemilik DNA.

Ujian DNA sudah lama digunakan dan terbukti keberkesanannya dalam menyelesaikan kes jenayah di negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura. Ujian DNA mampu memberi ketepatan mengenai kehadiran seseorang yang melakukan jenayah.

Ketepatan ujian itu hampir sempurna iaitu sehingga 99.9 peratus kerana profil bagi setiap individu adalah unik dan berbeza serta kemungkinan untuk serupa dengan individu lain hanya satu daripada satu trilion, melainkan penjenayah itu kembar seiras.

Dari sudut lain, penggunaan teknologi itu juga dapat menyelesaikan kes berkaitan penentuan nasab. Dengan kata lain ujian seperti itu dapat menyelesaikan masalah di Mahkamah Syariah dalam menentukan sama ada seseorang adalah anak kandung atau sebaliknya.

Contohnya, dalam kes suami yang menuduh isterinya atau bekas isterinya berzina dan kes suami tidak mengaku anak dilahirkan isteri darah dagingnya. Tuduhan suami bahawa isterinya berzina adalah perbuatan yang serius.

Jika berlaku, maka beban pembuktian adalah terhadap suami untuk membuktikan bahawa isterinya berzina dan perkara itu sukar dilakukan melainkan suami menyaksikan atau dapat mengemukakan saksi ke mahkamah terhadap perlakuan zina itu.

Jika suami tidak mempunyai bukti terhadap tuduhan isterinya berzina atau anak yang dikandung itu bukan benihnya, suami boleh bersumpah li'an dan isteri perlu bersumpah menafikan tuduhan terhadapnya.

Li'an adalah tindakan perlu dilakukan jika yakin anak yang bakal dilahirkan isteri bukan daripada darah dagingnya. Suami perlu bersumpah di mahkamah anak itu bukan zuriatnya dan jika ia berbohong akan menerima laknat Allah.

Suami bersumpah dengan nama Allah dan menyebut: "Saya naik saksi atas nama Allah bahawa isteri saya melakukan zina" atau "saya naik saksi atas nama Allah anak yang dikandung bukan daripada benih saya".

Sumpah itu perlu diulang empat kali berturut-turut dan akhir sekali suami akan melafazkan: "Sesungguhnya Allah melaknat saya jika saya berdusta" dan sumpah ini hanya diulang sekali.

Namun, tuduhan suami hanya sabit selepas isteri tidak mahu bersumpah. Jika isteri sanggup bersumpah, segala tuduhan suami tadi dengan sendirinya gugur. Seperti suami, isteri perlu bersumpah dengan nama Allah.

Sumpah isteri berbunyi: "Saya bersaksi kepada Allah, saya tidak berzina" atau "saya bersaksi kepada Allah, kandungan ini daripada benih suami saya".

Sumpah ini juga perlu diulang empat kali berturut-turut dan pada akhir isteri melafazkan: "Bahawa suami saya berdusta dan kemurkaan Allah ke atas saya jika suami saya bercakap benar" dan sumpah ini hanya diulang sekali.

Firman Allah yang bermaksud: " Orang yang menuduh isterinya (dengan berzina) tetapi mereka tiada mempunyai saksi kecuali dirinya sendiri maka kesaksiannya ialah empat kali bersumpah dengan Allah bahawa ia seorang yang benar dan yang kelima laknat Allah atas dirinya jika ia dusta. Hukuman tertolak daripada isteri jika ia bersumpah empat kali dengan Allah bahawa suaminya dusta dan yang kelima bahawa kemurkaan Allah atas dirinya jika suaminya yang benar." (Surah al-Nur, ayat 6-9)

Mengikut hukum syarak, li'an memberi impak besar kepada hubungan suami isteri yang akan berakhir dan mereka tidak boleh merujuk semula. Disebabkan termasuk dalam kategori bain kubra ia adalah bentuk perceraian yang tidak boleh dirujuk.

Selain itu, anak berkenaan tidak boleh dinasabkan kepada suami dan anak itu dinasabkan semata-mata kepada ibu. Suami juga tidak diwajibkan membayar nafkah anak itu.

Dari sudut jinayat syariyyah, suami akan gugur had qazaf (tidak dikenakan 80 kali sebatan atas tuduhan itu) jika beliau bersumpah, manakala bagi isteri wajib dikenakan had zina (rejam) jika isteri tadi tidak sanggup bersumpah.

Seksyen 51 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan, jika pihak kepada sesuatu perkahwinan mengangkat sumpah dengan cara li'an mengikut hukum syarak di depan Hakim Syarie, hakim perlu memerintahkan mereka difaraqkan (dipisahkan) dan hidup berasingan selama-lamanya.

Mengikut peruntukan undang-undang, seseorang lelaki juga boleh berli'an menafikan anak yang dilahirkan bekas isterinya itu sebagai anaknya dalam tempoh empat tahun qamariah selepas perceraiannya dengan syarat bekas isteri tidak berkahwin lain dalam tempoh empat tahun berkenaan. Jika lelaki itu tidak berli'an, anak berkenaan perlu dinasabkan kepadanya.

Peruntukan itu termaktub dalam seksyen 111 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 yang memperuntukkan: "Jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah daripada tarikh perkahwinannya atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau sebab perceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh dengan cara li'an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan mahkamah."

Masalah di sini adalah apabila seseorang suami menuduh isterinya berzina dan menafikan anak yang dikandung isterinya itu adalah anaknya tetapi beliau enggan bersumpah dengan cara li'an. Pada masa sama, isterinya menafikan tuduhan itu serta menegaskan anak yang dikandung itu adalah anak dari benih suaminya.

Bagi menyelesaikan masalah itu dengan cara terbaik, suami dan isteri berserta bayi yang dinafikan itu menjalani ujian DNA bagi menentukan nasab sebenar anak.

Begitu juga kes membabitkan bekas isteri mendakwa anaknya bernasabkan kepada bekas suami di mana anak itu lahir dalam tempoh empat tahun selepas perceraian mereka dan perempuan itu belum berkahwin lain.

Menurut peruntukan undang-undang dan hukum syarak, bekas suami adalah ayah kandung kepada anaknya jika ia mengandung dalam tempoh itu. Bagaimanapun, jika bekas suami menafikan anak itu adalah anaknya, cara terbaik menyelesaikan masalah itu dengan menjalankan ujian DNA bagi menentukan nasab anak.

Penulis adalah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Komentar dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

INTI PATI: Sumpah li'an

Li'an adalah sumpah yang perlu dilakukan suami jika yakin anak yang bakal dilahirkan isteri bukan darah dagingnya dan dilakukan di mahkamah, jika berbohong dia akan menerima laknat Allah.

Suami bersumpah empat kali berturut-turut dengan nama Allah dan menyebut: "Saya naik saksi atas nama Allah bahawa isteri saya melakukan zina" atau "saya naik saksi atas nama Allah anak yang dikandung bukan daripada benih saya" dan akhirnya melafazkan: "Sesungguhnya Allah melaknat saya jika saya berdusta" dan sumpah ini hanya diulang sekali.

Tuduhan suami hanya sabit selepas isteri tidak mahu bersumpah. Jika isteri sanggup bersumpah, segala tuduhan suami dengan sendirinya gugur.

Seperti suami, isteri perlu bersumpah dengan nama Allah empat kali berturut-turut iaitu: "Saya bersaksi kepada Allah, saya tidak berzina" atau "saya bersaksi kepada Allah, kandungan ini daripada benih suami saya" dan akhirnya melafazkan: "bahawa suami saya berdusta dan kemurkaan Allah ke atas saya jika suami saya bercakap benar".

Li'an memberi impak besar kepada hubungan suami isteri yang akan berakhir dan tidak boleh dirujuk semula dan anak tidak boleh dinasabkan kepada suami tetapi kepada ibu. Suami juga tidak wajib membayar nafkah anak itu.

No comments: