Thursday, August 7, 2008

Hak Muslim: Serah anak dijaga bukan Islam dikira jenayah Syariah

SAYA ada jiran yang agak daif kehidupannya. Dia baru-baru ini melahirkan anak perempuan. Kerana kesempitan hidup, dia berhasrat menyerahkan anak itu kepada orang lain untuk dijadikan anak angkat. Masalahnya, ada seorang bukan Islam berhasrat mengambil anaknya itu. Boleh saya tahu, apa akan jadi jika seseorang Islam menyerahkan anaknya untuk dijaga oleh bukan Islam?

Mohamad Ikram,
Kuala Selangor.

Saya cuba kupas persoalan ini secara berhemah supaya tidak menjadi isu kontroversi atau dimanipulasi sesetengah pihak untuk kepentingan peribadi.

Menurut hukum syarak, seperti pendapat imam Mazhab Shafie yang disebut dalam kitab al-Fiqh wa Adillatuhu, oleh Dr Wahbah al-Zuhaili (Juzuk 7), syarat umum pihak yang diberi hak penjagaan anak (haadin) ialah cukup umur, sempurna akal, berkeupayaan mendidik kanak-kanak, berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah dan seorang Islam.

Islam adalah syarat penting untuk seseorang menjaga kanak-kanak Islam. Dari segi hukumnya, seorang kanak-kanak itu dikira Islam jika ibu atau bapanya seorang Islam. Orang bukan Islam tidak harus diberikan hak penjagaan kanak-kanak Islam, kerana hak penjagaan adalah hak penguasaan (haq al-wilayah).

Orang bukan Islam tidak mempunyai hak penguasaan terhadap orang Islam. Firman Allah yang bermaksud: "Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang kafir untuk membinasakan orang beriman." (Surah An-Nisa', ayat 141)

Al-Syeikh Muhammad al-Khatib al-Syarbini dalam kitabnya Mughni Muhtaj, menyebutkan: "Hadanah dari segi syarak bererti tanggungjawab menjaga seseorang yang tidak mampu menguruskan dirinya sendiri, oleh kerana masih belum mampu atau tidak mampu membuat pemilihan mana satu yang baik dan mana satu yang buruk, seperti kanak-kanak kecil atau orang dewasa yang gila, dan juga tanggungjawab memberi pendidikan kepada mereka yang berkenaan itu hingga menyebabkan mereka berjaya menjadi manusia baik, serta tanggungjawab memberi makan minum dan seumpamanya kepada mereka."

Hadanah dalam Islam juga bertujuan menjaga kebajikan dan kepentingan kanak-kanak itu dari segi agamanya, keturunannya (nasab) dan lain-lain.

Dalam kes Wan Abdul Aziz lwn Siti Aishah, kes Rayuan Mal Negeri Kelantan, jemaah pengadilan memberikan pendapat, antaranya: "Pokok dan tujuan hadanah ialah maslahat dan kebaikan budak yang dipelihara dan dijaga sebagai hak asasi budak itu. Hak mesti diutamakan lebih daripada hak pihak yang memelihara sebagaimana difahamkan daripada fatwa Ibnu Al-Salah dalam 'Tuhfah' dan 'Nihayad' serta diakui muktamadnya oleh Ali Shabramulsi, juga seperti disalin Sayid Sabiq dalam Fiqhul al-Sunnah, yang bermaksud, "Sesungguhnya setiap menjaga dan dijaga (anak) mempunyai hak dalam pemeliharaan tetapi hak dijaga lebih kuat daripada hak yang menjaga, dan diterangkan oleh Ibnu Qadamah dengan katanya yang bermaksud: "Sabit hadanah adalah untuk menentukan nasib (kepentingan) budak (kanak-kanak) itu."

Juga dikhuatiri penjaga kanak-kanak itu akan mengubah agamanya dengan apa cara sekalipun. Bagaimanapun, Islam memberi kelonggaran jika dari segi hukumnya ibu bapa kanak-kanak itu bukan Islam, maka sama ada orang Islam atau bukan Islam boleh menjaganya.

Perbuatan seorang Islam yang menyerahkan, memberikan atau menjual anaknya atau kanak-kanak di bawah peliharaannya kepada seorang bukan Islam untuk menjaganya adalah satu kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah.

Seksyen 35 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 memperuntukkan: "Mana-mana orang yang menjual, memberikan atau menyerahkan anaknya atau kanak-kanak di bawah peliharaannya kepada seseorang yang tidak beragama Islam adalah melakukan suatu kesalahan, dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan mahkamah boleh membuat apa-apa perintah yang difikirkan patut berkenaan dengan anak atau kanak-kanak itu."

Penjenayah hadanah boleh dikenakan denda atau penjara atau kedua-duanya serentak. Walau bagaimana susah atau miskin sekalipun, janganlah sesekali menyerahkan anak untuk dipelihara oleh orang dari agama lain.

Jawapan disediakan Setiausaha Agong Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Tuan Musa Awang. Sebarang komentar boleh dihantar ke exco@yahoo.com. Layari http:// peguamsyarie.blogspot.com

No comments: