Wednesday, August 13, 2008

Peguam Syarie Menulis: Dialog terurus rungkai kemusykilan agama

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

ISU SENSITIF: Sebahagian orang Islam membantah tindakan Majlis Peguam yang tetap meneruskan forum ‘Memeluk Islam’ di bangunan Majlis Peguam, Sabtu lalu. - Foto Effendy Rashid


Tindakan Majlis Peguam anjur forum cetus provokasi kesabaran Melayu MASYARAKAT Islam prihatin dan tersinggung dengan tindakan Majlis Peguam yang tetap meneruskan forum 'Memeluk Islam' Sabtu lalu. Forum itu sebenarnya boleh disifatkan sebagai satu provokasi terhadap kesabaran masyarakat Melayu, selain mengundang keresahan dan rasa tidak tenteram orang Islam di negara ini.

Kekecohan yang berlaku pagi Sabtu itu mendapat liputan meluas media. Kejadian di bangunan Majlis Peguam itu hendaklah menjadi iktibar kepada semua. Walaupun sudah dinasihatkan beberapa menteri, parti politik berteraskan Islam dan Melayu, Majlis Peguam tetap berkeras mahu meneruskan forum berkenaan.

Asalnya forum itu akan menampilkan tiga tokoh pada pihak Islam, iaitu Dr Mohd Naim Mokhtar daripada Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia; Dr Wan Azhar Wan Ahmad dari Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Mohamad Haniff Khatri Abdullah peguam yang mengendalikan beberapa kes mempertahankan kedudukan Islam.

Namun, Dr Mohd Naim dan Dr Wan Azhar terpaksa menarik diri selepas Majlis Peguam membuat publisiti dilihat agak negatif kepada umat Islam.

Pada sesi awal forum, didedahkan beberapa orang yang mendakwa mengalami masalah disebabkan seorang ahli keluarga mereka memeluk Islam. Memang tidak dapat dinafikan pertukaran agama, bukan saja daripada agama lain kepada Islam, malah antara agama lain juga suatu perkara besar dan kadangkala mengundang polemik.

Tiada kajian menyeluruh dibuat ke arah itu. Namun, persoalan timbul ialah berapa ramaikah yang memeluk Islam saban tahun di Malaysia dan berapa ramai menghadapi masalah mengenai hal ini? Ia kelihatan berat sebelah terhadap pemelukan Islam dan digambarkan seolah-olah memeluk Islam itu suatu kesalahan.

Kenapa pula tidak dipanggil contohnya isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah yang menceritakan pengalaman manis ketika ingin memeluk Islam. Keluarga beliau langsung tidak menentang hasratnya, walaupun dibesarkan dalam keluarga Katolik yang taat kepada agama mereka.

Malah, bapa beliau sendiri menjemput kadi yang ingin meng-Islamkan beliau makan malam di rumah mereka. Begitu juga dengan Toh Puan Dr Aishah Ong, yang memeluk Islam tanpa sebarang masalah.

Apakah motif Majlis Peguam hanya memanggil sebelah pihak saja? Bukanlah prinsip asas undang-undang hendaklah mendengar daripada kedua-dua belah pihak?

Perbincangan perkara sensitif sebegini tidak seharusnya mendapat liputan luas media dan dibuat secara terbuka kerana ia hanya akan mengundang kegusaran pihak terbabit saja. Dialog perbandingan agama perlu terus digalakkan, tetapi tidak bermakna sehingga kita boleh menghina atau mencerca agama lain.

Majlis Peguam seharusnya lebih bijak menangani keadaan ini apatah lagi mereka baru saja menjalankan forum kontrak sosial yang juga mendapat bantahan orang Melayu/Islam. Apabila diketahui sekali lagi Majlis Peguam ingin mengadakan forum mengenai pemelukan Islam, sudah tentu umat Islam sudah tidak boleh bersabar lagi.

Gambaran dilakarkan Majlis Peguam sendiri pada mata masyarakat Islam ialah Majlis Peguam tidak prihatin terhadap sensitiviti masyarakat Islam di Malaysia. Ia dihasilkan kerana tindak tanduk Majlis Peguam dalam penyertaan berat sebelah terhadap kes Lina Joy, Subahsini, Shamala dan lain lagi. Diburukkan dengan kenyataan dikeluarkan Majlis Peguam beberapa tahun ini.

Apa yang cuba dibawa seolah-olah orang bukan Islam di negara ini sentiasa ditindas dan orang Islam mendapat apa saja yang mereka mahukan. Ini tidak benar. Banyak keperluan orang Islam masih tidak dapat dipenuhi atas pelbagai alasan. Jika orang Hindu mengadu kuil mereka dirobohkan pihak berkuasa, ketahuilah ada banyak surau dan masjid dirobohkan atas pelbagai alasan.

Bagi umat Islam pula, penulis mengucapkan kesyukuran kerana tindakan mereka berjaya menghentikan forum lebih awal. Setiap tindakan hendaklah bertepatan dengan undang-undang. Jangan sesekali membuat sesuatu di luar batasan yang dibenarkan undang-undang.

Penulis percaya orang Islam yang kuat agamanya sudah tentu tidak akan terjebak kepada tindakan di luar lingkungan undang-undang. Penulis juga dimaklumkan beberapa tindakan dilakukan seolah-olah tidak menggambarkan akhlak Islam sebenar.

Dalam memperjuangkan Islam, kita jangan sesekali lupa akhlak Islamiah yang wajib digalas setiap masa, walaupun dalam keadaan tegang. Jika kita mahu orang lain mengikuti Islam tunjukkanlah akhlak yang mulia.

Secara umumnya kedua-dua belah pihak perlu akur, kita perlu berdialog bagi memahami antara satu sama lain. Dialog terurus perlu digiatkan dari masa ke masa ke arah itu. Keikhlasan penting dalam berdialog dan sudah semestinya ia diadakan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang memberi keistimewaan kepada Islam di Malaysia.

Susun atur masyarakat majmuk sudah lama dibina dan janganlah kita cuba menukar susun atur itu kerana mungkin ia tidak akan dapat disusun kembali selama-lamanya. Majlis Peguam seharusnya lebih prihatin kepada sensitiviti umat Islam yang menjadi tunjang masyarakat di Malaysia. Malah peguam beragama Islam membentuk lebih 40 peratus daripada jumlah keseluruhan peguam berdaftar dengan Majlis Peguam.

Majlis Peguam tidak pernah membuat kaji selidik sama ada peguam Islam berkongsi hasrat dengan apa diperjuangkan Majlis Peguam ini.

Malah, ketika ini ada cakap-cakap di kalangan peguam beragama Islam, mereka agak terkilan dengan tindakan itu, namun apakan daya kehendak undang-undang tidak memberikan pilihan kepada mereka untuk keluar daripada menjadi ahli badan peguam itu.

Mereka sudah hilang kepercayaan terhadap Majlis Peguam dan cuba mengusulkan supaya sebuah badan peguam alternatif bagi peguam sivil diwujudkan bagi mengimbangi Majlis Peguam sekarang. Beberapa negara lain mempunyai lebih daripada satu badan peguam seperti di England.

Apatah lagi di kalangan peguam syarie, Akta Guaman Syarie yang diharapkan menjadi wadah kepada peguam syarie untuk bersuara masih belum diluluskan, walaupun sudah diperjuangkan sekian lama. Hal seperti ini memberi natijah Majlis Peguam adalah badan guaman statutori tunggal di Semenanjung Malaysia.

Badan lain tidak dapat menyaingi Majlis Peguam dan menyebabkan monopoli pada pihak Majlis Peguam. Segala keputusan Majlis Peguam selalunya tidak dapat dibantah melainkan di bawa ke mahkamah untuk diputuskan.

Berbalik kepada forum itu, bukanlah tujuan penulis untuk menghentikan semua dialog agama. Penulis sendiri banyak menghadiri dialog antara agama yang diadakan dari masa ke masa.

Namun dialog sedemikian perlu mengambil kira sensitiviti umat Islam dan dibuat dalam kerangka undang-undang, termasuk Perlembagaan Persekutuan yang memberi keistimewaan kepada Islam sebagai agama Persekutuan. Dialog sedemikian juga hendaklah tidak menyentuh inti pati hukum atau aturan sesuatu agama, tetapi hanya ke arah memahami agama itu sendiri.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

INTIPATI: Kelemahan forum

Forum 'Memeluk Islam' sebenarnya boleh disifatkan sebagai satu provokasi terhadap kesabaran masyarakat Melayu, selain mengundang keresahan dan rasa tidak tenteram orang Islam di negara ini.

Perbincangan perkara sensitif sebegini tidak seharusnya mendapat liputan luas media dan dibuat secara terbuka kerana ia hanya akan mengundang kegusaran pihak terbabit saja.

Gambaran dilakarkan Majlis Peguam sendiri pada mata masyarakat Islam ialah Majlis Peguam tidak prihatin terhadap sensitiviti masyarakat Islam di Malaysia.

Apa yang cuba dibawa seolah-olah orang bukan Islam di negara ini sentiasa ditindas dan orang Islam mendapat apa saja yang mereka mahukan. Ini tidak benar.

Dalam memperjuangkan Islam, kita jangan sesekali lupa akhlak Islamiah yang wajib digalas setiap masa, walaupun dalam keadaan tegang. Jika kita mahu orang lain mengikuti Islam tunjukkanlah akhlak yang mulia.

Susun atur masyarakat majmuk sudah lama dibina dan janganlah kita cuba menukar susun atur itu kerana mungkin ia tidak akan dapat disusun kembali selama-lamanya.

Badan lain tidak dapat menyaingi Majlis Peguam dan menyebabkan monopoli pada pihak Majlis Peguam. Segala keputusan Majlis Peguam selalunya tidak dapat dibantah melainkan di bawa ke mahkamah untuk diputuskan.

Dialog perlu mengambil kira sensitiviti umat Islam dan dibuat dalam kerangka undang-undang, termasuk Perlembagaan Persekutuan yang memberi keistimewaan kepada Islam sebagai agama Persekutuan.

No comments: