Soalan:
Mengapa wanita tidak diwajib menunaikan solat Jumaat seperti diperintahkan terhadap lelaki? Saya berpendapat bahawa solat Jumaat tidak terlalu berat untuk dilakukan kerana hanya dua rakaat. Selain itu, khutbah Jumaat mendatangkan manfaat kepada semua, tanpa mengira sama ada lelaki atau wanita.
Saya mendapat tahu di Amerika Syarikat, ada wanita Islam bersolat Jumaat, malah menjadi imam yang makmumnya termasuk lelaki. Bolehkah persoalan ini dikupas?
NorAzura Ismail
Kajang, Selangor.
Jawapan:
Solat Jumaat wajib kepada lelaki dan tidak wajib kepada wanita. Ia berdasarkan sabda Rasulullah SAW “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat hendaklah dia menunaikan (solat) Jumaat kecuali wanita, orang yang musafir, hamba sahaya dan orang yang sakit.” ( Riwayat Abi Daud, al-Baihaqi ).
Sahabiyyat (sahabat wanita) pada zaman Rasulullah SAW juga tidak menghadiri solat Jumaat.
Solat Jumaat adalah persoalan ibadah wajib yang bersifat ‘ta’abbudi’ dan ‘tawqifi’ yang mana hanya perlu mengikut apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW kepada sahabatnya. Tidak boleh ada pembaharuan dan perubahan dalam perkara asas seperti sabda Rasulullah SAW oleh Aisyah RA “Sesiapa yang mengada-adakan di dalam ajaran Islam yang bukan berasal daripadanya, ia tertolak.” ( Riwayat Muslim).
Oleh itu, merujuk kepada apa yang berlaku di Amerika Syarikat di mana seorang wanita yang menjadi imam solat Jumaat kepada makmum lelaki dan wanita, itu adalah perbuatan bid’ah lagi sesat. Dunia Islam pernah menyaksikan raja perempuan Islam menjadi pemerintah seperti Syajaratud Dur, Ratu Adil dan Cek Siti Wan Kembang tetapi mereka tidak menjadi imam sembahyang walaupun dalam solat fardu di masjid. Istilah imam itu sendiri merujuk kepada golongan lelaki. Malah, dalam al-Quran ada menyebut ayat yang bermaksud “Lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita.” (Surah al- Nisa’ : 34)
Justeru, dalam mengejar kesamaan gender sekalipun, tidak sepatutnya perkara asas yang sudah disepakati oleh ulama menjadi persoalan yang perlu dihebohkan.
Pertikaian oleh cendikiawan zaman ini dalam perkara pokok yang berlangsung zaman berzaman hanya mengundang kekeliruan dan fitnah dalam masyarakat. Sedangkan ulama salaf dan khalaf memelihara disiplin ilmu dalam membahaskan sesuatu hukum bersumberkan dalil-dalil yang kuat dan sahih.
Sunday, August 17, 2008
Persoalan Agama: Hanya lelaki wajib solat Jumaat
Labels:
(B) Soal Jawab Agama,
Ibadah,
Solat,
Solat Jumaat,
Wanita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment