MENURUT Syeikh Muhammad Solih al-Munajjid, ada beberapa faktor penting yang dilihat boleh membantu umat Islam untuk bangun bagi melakukan solat di tengah malam antaranya:
- Ikhlas kepada Allah dalam setiap tindakan dilakukan bagi meraih keredaan-Nya, iaitu melakukan solat malam dengan merahsiakannya daripada pengetahuan orang ramai, ia bertujuan supaya tidak ada rasa riak dalam diri.
- Hendaklah bagi orang yang melakukan solat malam itu mempunyai perasaan dalaman, bahawa Allah menjemputnya untuk bangun di tengah malam.
- Mengetahui sedalam-dalamnya ilmu mengenai kelebihan bangun di tengah malam berdasarkan pengajian dan perbincangan.
- Memerhati kepada kesungguhan individu terdahulu daripada kita yang istiqamah dan iltizam melakukan qiyamulail khususnya para solihin di kalangan sahabat dan ulama.
- Tidur di atas lambung sebelah kanan akan memudahkan seseorang itu bangun di tengah malam seperti ditunjukkan Rasulullah SAW.
- Tidur dalam keadaan berwuduk seperti ditegaskan Rasulullah dalam sabda yang bermaksud: “Apabila anda hendak masuk tidur, berwuduklah seperti untuk menunaikan solat.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim daripada al-Barra’Bin ‘Azib)
- Bersegera masuk tidur (tidur pada awal waktu) terutama lepas solat Isyak seperti amalan dilakukan Rasulullah SAW.
- Berzikir dengan wirid yang Ma’thur seperti Ma’thurat sebelum tidur (kerana ia menjadi benteng diri daripada kejahatan syaitan dan membantu untuk mudah bangun) atau membawa ayat pilihan dari al-Quran, baca doa tidur dan membaca tiga Qul.
- Seboleh-bolehnya tidur sebentar pada siang hari yang dikenali sebagai ‘Qailulah’, iaitu sebelum masuk waktu Zuhur atau selepasnya.
- Elak daripada banyak makan dan minum kerana ia boleh membantutkan hasrat untuk bangun di tengah malam.
- Bertekad sedaya upaya untuk bangun malam dalam apa juga keadaan.
- Menjauhkan dosa dan maksiat, kerana ia dikenal pasti sebagai penghalang pertama mudah untuk bangun di tengah malam.
- Membuat perhitungan diri (muhasabah) jika tidak mampu untuk bangun di tengah malam.
Qiyamullail adalah ibadat yang menghubungkan hati kita dengan Allah selain ia adalah sunat muakkad yang sangat dianjurkan oleh Nabi SAW.
Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu lakukan solat di tengah malam, sesungguhnya ia adalah kebiasaan orang salih sebelum kamu, ia boleh mendekatkan kamu kepada Tuhan, penghapus segala dosa, penghalang daripada terjebak kepada maksiat dan dosa dan penawar kepada penyakit yang ada di tubuh.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment