Friday, August 1, 2008

Nikmat kesihatan anugerah tidak ternilai

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

RIADAH: Islam juga menggalakkan aktiviti kecergasan badan seperti menunggang kuda atau aktiviti senaman lain untuk mendapat kesihatan yang baik. - Gambar hiasan


Islam sedia garis panduan menjaga kecergasan tubuh dan kecerdasan minda

ALLAH yang Maha Pemurah dan Penyayang menganugerahkan pelbagai nikmat kepada hamba-Nya di atas muka bumi ini. Akan tetapi, kurniaan nikmat itu tidak dapat dihitung sesiapa pun seperti firman Allah yang bermaksud: "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya." (Surah Ibrahim, ayat 34)

Antara kurniaan nikmat yang tiada ternilai harganya ialah nikmat kesihatan. Dengan kesihatan ini, manusia dapat menjalani kehidupan aman sentosa. Kesihatan juga membolehkan manusia melakukan kerja dan aktiviti harian dengan lancar.

Kesihatan memungkinkan seseorang melakukan ibadah kepada Allah dengan sempurna. Demikian tingginya nilai kesihatan yang mewarnai serinya kehidupan Muslim. Akan tetapi, ada manusia yang alpa dan leka oleh kesihatan yang menyerikan hidupnya hingga tidak menghargai betapa mahalnya nilai kesihatan dalam kehidupan.

Dia tidak sedar dan insaf betapa sihat itu juga sebahagian daripada detik kehidupan yang dilalui. Rasulullah SAW ada memberi peringatan mengenai kesihatan melalui sabda Baginda yang bermaksud: "Ada dua jenis nikmat yang banyak melekakan ramai manusia iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang." (Hadis riwayat Bukhari)

Ramai manusia hanya menyedari mahalnya nilai kesihatan apabila mereka ditimpa kesakitan atau penyakit. Dalam keadaan itu barulah mereka menginsafi betapa kesihatan amat penting dalam kehidupan.

Pada ketika itu, barulah mereka menyedari betapa perlunya menjaga diri dan mengekalkan kesihatan supaya aktiviti kehidupan tidak tergendala. Perlu diingat kesihatan menurut perspektif Islam tidak terhad kepada kesihatan lahiriah malah mencakupi kesihatan rohaninya.

Hakikat ini menepis sama sekali kesilapan persepsi umat Islam yang hanya menekankan kepada kesihatan jasmani semata-mata dengan mengabaikan aspek kerohanian.

Begitu juga, Islam menolak pandangan sebahagian umat Islam yang hanya menitikberatkan kesihatan rohaninya tanpa mengambil berat aspek kesihatan jasmani. Islam adalah agama yang seimbang dalam urusan duniawi dan ukhrawi. Kedua-duanya ada hak yang perlu ditunaikan.

Firman Allah yang bermaksud: "Tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau lupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) di dunia." (Surah al-Qasas, ayat 77)

Jika begini kepentingan kesihatan dalam kehidupan Muslim, maka Islam dari awal lagi sudah memberi perhatian serius dalam isu kesihatan. Islam menyediakan garis panduan lengkap kepada umatnya dari segi penjagaan, pengekalan dan pengawalan kesihatan.

Bab pertama dalam kitab fekah ialah berkaitan kesucian. Islam mensyariatkan setiap Muslim mengambil wuduk sebelum menunaikan solat lima waktu. Begitu juga disyariatkan mandi untuk kebersihan diri dan bersugi untuk kebersihan gigi.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Mandi hari Jumaat itu wajib atas tiap-tiap orang yang baligh kemudian bersiwak (gosok gigi) dan mengenakan sedikit wangian." (Hadis riwayat Muslim)

Kebersihan dan kesucian diri adalah asas penting ke arah kesihatan jasmani. Bahkan kebersihan dan kesucian adalah antara sifat utama bagi Muslim yang bertakwa dan layak mendapat kasih sayang Ilahi.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa menyucikan dirinya." (Surah al-Baqarah, ayat 222)

Seterusnya, Islam memberikan panduan ke arah penjagaan kesihatan berterusan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Lima amalan ini daripada fitrah iaitu mencukur bulu di bahagian kemaluan, berkhatan, menggunting misai, mencabut bulu ketiak dan mengerat kuku." (Hadis riwayat Bukhari)

Begitu juga apabila kita hendak mengadap hidangan makanan, maka Islam menganjurkan kita membersihkan tangan terlebih dulu seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Berkat makanan itu terletak pada wuduk sebelumnya dan selepasnya." (Hadis riwayat Abu Daud)

Di samping itu, Islam juga menggalakkan aktiviti kecergasan badan seperti berenang, memanah dan menunggang kuda. Aktiviti itu hendaklah disesuaikan dengan peredaran dan keadaan semasa berdasarkan kemampuan seperti bersenam, berjoging, bermain bola sepak dan mendaki bukit.

Islam mengharamkan beberapa jenis makanan yang perlu dijauhi seperti arak, dadah dan bangkai kerana Allah Maha Mengetahui makanan itu membawa lebih banyak kemudaratan berbanding manfaatnya yang sedikit.

Allah berfirman yang bermaksud: "Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat kepada manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya." (Surah al-Baqarah, ayat 219)

Segala perkara yang terkandung dalam tegahan itu ialah yang menjadi punca bagi penyebaran penyakit di kalangan orang Islam kerana orang awam selalu mengabaikannya dalam kehidupan seharian.

Oleh itu Islam menggariskan kaedah tertentu sebagai mengawal kesihatan penduduk sesuatu tempat apabila berlaku wabak penyakit berjangkit, maka penduduk di tempat itu dilarang keluar dan masuk supaya wabak tidak merebak ke kawasan lebih besar.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jika kamu dengar berita suatu wabak taun berlaku di satu-satu tempat maka janganlah kamu memasuki tempat itu dan jika ia sedang berlaku di tempat kamu maka janganlah kamu keluar daripadanya." (Hadis riwayat Bukhari)

Pernah tercatat dalam sejarah Islam bahawa Saidina Umar al-Khattab menolak pemergiannya ke Syam tatkala berlakunya wabak taun di sana. Lalu ada orang berkata kepadanya: Adakah tuan hendak lari dari takdir Tuhan? Ujar Saidina Umar: Kita lari dari takdir Tuhan kepada takdir Tuhan.

Islam memerintahkan umatnya berwaspada dan mengawal diri daripada penularan penyakit berjangkit. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak sepatutnya orang yang sakit mengunjungi (bergaul dengan) orang yang sihat." (Hadis riwayat Bukhari)

Demikianlah antara garis panduan Islam yang serba lengkap berkenaan kesihatan dari sudut penjagaan, pengekalan dan pengawalannya serta kepentingannya dalam hubungan seseorang Muslim terhadap Allah dan hubungan seseorang Muslim sesama Muslim.

No comments: