Oleh Azrina Sobian
BUDAYA reka cipta di kalangan rakyat Malaysia kurang menyerlah dan tidak diberi perhatian khusus. Masyarakat Malaysia, terutama masyarakat Melayu berasakan amalan mereka cipta bukan budaya mereka.
Oleh itu, pada masa kini kita dianggap sebagai masyarakat pengguna, iaitu masyarakat yang hanya pandai mengguna ciptaan orang lain dan bukan masyarakat yang menghasilkan sesuatu ciptaan.
Namun sebenarnya, tanggapan bahawa budaya reka cipta bukan budaya masyarakat Melayu juga adalah salah. Cuba perhatikan masyarakat Melayu dulu yang bijak mencipta pantun, peribahasa, syair dan pandai pula membina rumah mengikut keadaan cuaca di negara ini.
Bukankah ini juga satu perbuatan mereka cipta yang boleh dikatakan tinggi nilainya? Oleh itu, menidakkan budaya reka cipta dalam masyarakat kita juga adalah tidak benar.
Dari sudut pandangan hidup Islam pula, kegiatan mereka cipta mudah difahami. Apa yang perlu diingat oleh setiap Muslim, reka cipta adalah sifat dan hak mutlak Maha Pencipta yang menjadikan sesuatu daripada tiada kepada ada.
Sebagai hamba-Nya, kita perlu memahami bahawa sesuai dengan kejadian dan tanggungjawab diberikan, manusia berpegang kepada amanah untuk menjaga dan memakmurkan bumi. Oleh itu, usaha untuk menambah baik kehidupan manusia di samping memelihara ciptaan-Nya adalah dituntut.
Lanjutan itu, setiap Muslim digalakkan untuk memelihara daya reka cipta dianugerahkan Tuhan. Galakan itu tidak bermakna kita cuba meniru atau mengambil alih peranan Maha Pencipta tetapi lebih kepada galakan untuk meneroka dan meningkatkan kemampuan diri untuk kebaikan semua.
Hasil reka cipta manusia haruslah bermatlamatkan kesejahteraan untuk semua memenuhi tiga aspek dalam masyarakat. Pertama, selalunya (namun bukan setiap masa) kegiatan reka cipta bermula dengan satu masalah.
Keduanya, jika budaya reka cipta menjadi kebiasaan dalam masyarakat, maka akan terciptalah lebih banyak pemikiran atau barangan berasaskan keadaan dan budaya masyarakat kita. Perlu diingat bahawa ciptaan dihasilkan dunia Barat adalah berasaskan budaya dan cara hidup mereka.
Kadangkala, apabila kita membawanya ke sini, ia tidak sesuai digunakan kerana budaya dan cara hidup mereka yang berbeza. Oleh itu, reka cipta oleh rakyat tempatan penting supaya hasil ciptaan itu mencerminkan nafas budaya dan cara hidup masyarakat kita.
Ketiganya, reka cipta juga penting jika kita ingin menjadi sebuah negara maju kerana negara maju tidak boleh sentiasa meniru dan menggunakan hasil reka cipta daripada negara maju lain. Jika ini berlaku, maknanya, kita sedang meniru bulat-bulat gaya kemajuan negara lain.
Peniruan dan penggunaan hasil reka cipta mungkin hanya sesuai di permulaan pembangunan sesebuah negara. Pada tahap seterusnya, negara itu sepatutnya mempunyai budaya reka cipta tempatan yang kukuh bagi menghasilkan banyak rekaan ciptaan rakyat tempatan.
Inilah yang berlaku di Jepun. Pada awal pembangunannya, masyarakat negara matahari terbit itu sememangnya gemar meniru lalu menambah baik barangan atau idea daripada Amerika Syarikat. Akibatnya, barangan Jepun dianggap bermutu rendah.
Tetapi kini, di mana saja barangan dan teknologi Jepun digunakan dan dianggap antara yang terbaik di dunia. Jelaslah reka cipta penting dalam masyarakat. Tetapi kenapa kegiatan reka cipta tidak begitu menyerlah dalam masyarakat Malaysia?
Pada pandangan penulis, sebabnya ialah berlakunya kekeliruan dan salah faham masyarakat terhadap amalan mereka cipta ini. Antara kekeliruan itu, kebanyakan kita takut dengan perkataan reka cipta itu.
Mungkin kita sering berasakan bahawa reka cipta adalah bidaah. Pandangan sebegini mungkin sudah ditanam dalam pemikiran kita yang tidak menggalakkan budaya reka cipta dan hanya mahu menurut kata mereka yang dikatakan bijak-pandai.
Kebanyakan kita juga berpandangan untuk mencipta sesuatu, perlu mempunyai pengetahuan mendalam dalam sains dan teknologi. Selain itu, kita sering menganggap bahawa reka cipta hanya boleh berlaku jika mempunyai pengetahuan mendalam dalam sesuatu bidang.
Sebenarnya ramai pencipta terdiri daripada orang biasa yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan tinggi seperti Thomas Edison, pencipta mentol lampu. Ketika kecilnya, beliau sering dimarah dan dianggap gurunya sebagai pelajar yang keliru.
Alexander Graham Bell (pencipta telefon) pula, meninggalkan sekolah pada usia 15 tahun. Malah, tiada yang menarik dalam rekod sekolahnya. Apa yang banyak dicatatkan hanyalah catatan ketidakhadiran ke sekolah dan keputusan peperiksaan yang tidak menarik.
Malah, Albert Einstien yang terkenal juga seorang yang tidak pandai dalam matematik ketika di sekolah. Oleh itu, kepakaran atau pendidikan tinggi tidak menjamin seseorang itu akan menjadi pereka cipta yang hebat.
Dalam hal ini, pandangan masyarakat perlu diubah supaya budaya reka cipta menjadi satu yang biasa dalam kehidupan masyarakat kita.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment