Friday, August 29, 2008

Hadiah RM40,000 menanti pemenang

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my

Kuiz Al-Risaalah 2 anjuran TV9, Berita Harian disiar sepanjang Ramadan mulai 31 Ogos

HADIAH bernilai RM40,000 menanti pemenang kuiz program dokumentari Al-Risaalah musim kedua terbitan TV9 yang akan menemui penonton sepanjang Ramadan bermula 31 Ogos ini. Kuiz anjuran TV9 bersama Berita Harian dan Berita Minggu itu menawarkan hadiah utama kereta Perodua Viva.

Pembaca perlu menonton program Al-Risaalah yang disiarkan pada jam 10.30 malam setiap hari serta menjawab soalan kuiz dalam borang disiarkan ruangan agama Berita Harian dan Berita Minggu. Peserta kuiz juga perlu melengkapkan slogan dalam borang terakhir nanti.

Selain kereta Perodua Viva berharga RM28,000 tajaan Darul Fikir Sdn Bhd, hadiah lain menanti pemenang ialah pakej umrah untuk seorang bernilai RM4,800, tiket umrah (pergi balik untuk seorang) bernilai RM3,000 dan lima hadiah sagu hati barangan elektrik bernilai RM700.

Pengurus Projek Khas TV9, Che Wan Alias Abdullah, berkata kuiz Al-Risaalah 2 berbeza kerana penonton tidak menjawab soalan sebaliknya mereka perlu menentukan episod bagi gambar yang disiarkan pada borang kuiz.

Katanya, kuiz kali ini juga agak mencabar kerana penonton perlu menonton setiap episod Al-Risaalah 2 bagi memastikan mereka mendapat jawapan yang tepat memandangkan setiap gambar disiarkan tidak mengikut turutan.

"Maknanya gambar disiarkan dalam borang kuiz pertama bukan daripada program Al-Risaalah episod pertama. Justeru, penonton perlu setia menonton setiap episod Al-Risaalah sepanjang Ramadan bagi memastikan mereka mendapat jawapan yang tepat," katanya.

Beliau berkata, walaupun kuiz itu nampak sukar, pihaknya akan memastikan gambar yang disiarkan nanti adalah gambar yang mudah dicam oleh penonton dengan syarat mereka tidak terlepas mengikuti kesemua 30 episod Al-Risaalah 2.

Al-Risaalah 2 bertemakan Musa-Kalimullah adalah kesinambungan daripada kisah nabi yang disiarkan program Al-Risaalah musim pertama yang memaparkan cerita 12 nabi bermula dengan Nabi Adam hingga Nabi Ayub.

Kali ini, cerita sembilan nabi diketengahkan iaitu Nabi Syuib, Nabi Musa, Nabi Ilyasa', Nabi Zulkifli, Nabi Harun, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Ilyas dan Nabi Yunus. Sebanyak lapan episod menumpukan riwayat hidup Nabi Musa yang menjadi tema program berkenaan.

Che Wan Alias berkata, keistimewaan Al-Risaalah ialah ia bukan program dokumentari biasa sebaliknya bahan yang dipaparkan menjawab persoalan dan membuktikan kisah sebenar cerita mengenai nabi yang ada dalam sejarah.

Beliau berkata, penyelidikan yang bersumberkan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW itu juga bertujuan memberi maklumat tepat kepada penonton serta masyarakat umum bagi mengikis salah faham terhadap fakta sejarah.

"Sekarang ini maklumat boleh diperoleh secara mudah tetapi bagaimana hendak menentukan kebenarannya. Contohnya, selepas umatnya dimusnahkan ada cerita kononnya Nabi Lut lari ke gua dan tidur bersama anak perempuannya. Jadi kita nak betulkan fakta ini," katanya.

Sementara itu, lapan episod mengenai Nabi Musa memaparkan kisah perjalanan hidup Baginda yang diwahyukan untuk berdakwah kepada Firaun serta mukjizat Allah kurniakan kepada baginda.

No comments: