Oleh Ruzain Syukur Mansor
REMAJA dan tarbiah tidak dapat dipisahkan dan kerana itulah proses pembangunan jati diri serta usaha menjadikan mereka pemimpin masa hadapan harus dijadikan keutamaan aktivis remaja serta pendakwah.
Justeru, program latihan dan tarbiah remaja di masjid perlu digerakkan dengan lebih aktif dan efektif.
Masjid turut boleh berfungsi sebagai institusi sosial dan medan tarbiah kepada masyarakat terutama golongan remaja.
Pengalaman aktivis remaja Kelab Remaja Jamaah Islah Malaysia (JIM) Petaling Jaya yang bergerak aktif mengendalikan program motivasi dan latihan di sekitar daerah ini banyak memberikan pendedahan kepada masyarakat pentingnya menjadikan masjid sebagai medan penyubur minda dan iman remaja. Remaja sepatutnya disediakan ruang dan peluang untuk memupuk jatidiri sebelum mereka mencari aktiviti yang dirasakan boleh memupuk identiti diri. Jangan hanya mencemuh remaja tetapi tidak menyediakan peluang untuk mereka terbabit aktiviti sihat.
Bentuk program latihan remaja yang boleh dilaksanakan di masjid termasuk program motivasi dan jatidiri, kem ibadah, pemantapan solat, program pengurusan diri , kewangan, teknologi maklumat (ICT), latihan pembinaan sahsiah juga sukan antara masjid seperti kejohanan futsal daerah.
Prasyarat merealisasikan masjid sebagai pusat pembangunan remaja ialah mewujudkan suasana yang mesra remaja seperti mewujudkan ruang yang lebih terbuka untuk menganjurkan program turut membabitkan pengurusan masjid.
Kesediaan dan keterbukaan ini seharusnya disambut dengan memperkasakan jawatankuasa belia dan remaja sebagai sebuah jawatankuasa yang mampu merencana dan mencadangkan idea untuk pembangunan remaja.
Ketiadaan kepakaran mengurus aktiviti remaja di masjid bukanlah alasan untuk meminggirkan aspek pembangunan remaja kerana banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sudi bekerjasama dengan pengurusan masjid membangunkan program memperkasa remaja.
Aspek kemudahan asas seperti kawasan aktiviti dan rekreasi boleh membantu keperluan program latihan remaja di masjid. Dewan serba guna yang boleh dijadikan lokasi aktiviti, manakala pusat sumber sebagai pusat perkembangan ilmu.
Bagi memantapkan institusi ini, aspek pengurusan latihan kepada penggerak remaja juga tidak harus dipandang ringan. Sebaliknya mereka perlu didedahkan dengan ilmu untuk berdakwah supaya dapat menarik rakan sebaya.
Firman Allah yang bermaksud: "Hanya yang memakmurkan masjid Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang diharapkan termasuk golongan orang mendapat petunjuk." – (Surah at-Taubah, ayat 18)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment