Oleh Ahmad Redzuwan Mohd Yunus
SAYYID Qutb menjelaskan kewujudan manusia pada alam ini mempunyai matlamat tertentu. Matlamat itu akan dapat dicapai dengan melakukan tugas yang ditetapkan, iaitu memperhambakan diri kepada Allah.
Untuk mendapatkan keredaan Allah, umat Islam hendaklah sentiasa memastikan segala amalan dilakukan termasuk dalam kategori yang disuruh dan meninggalkan segala amalan yang dilarang.
Mereka yang berusaha mendapatkan keredaan Allah akan sentiasa melakukan perkara kebaikan dan apabila berlaku pertentangan antara apa yang diredai Allah dengan kehendak diri, tanpa rasa ragu memilih keredaan Allah.
Sikap istiqamah dalam melakukan kebaikan mendorong mereka melaksanakan kebaikan sepanjang masa sama ada ketika bersendirian mahupun bersama orang ramai, kerana dia mengetahui Allah Maha Melihat perbuatan hambanya.
Kehidupan bagi mereka yang ingin mendapatkan keredaan Allah mendorong untuk memahami bahawa segala nikmat diberikan mesti dimanfaatkan untuk meraih ganjaran yang disediakan Allah.
Mereka yang mendapat keredaan Allah akan ditempatkan dalam syurga.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan (sebaliknya) akan dijauhkan (azab neraka) itu daripada orang bertakwa bersungguh-sungguh, yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan harta bendanya, sedang ia tidak menanggung budi sesiapa pun, yang patut dibalas, hanyalah mengharapkan keredaan Tuhan Maha Tinggi. Dan demi sesungguhnya ia tetap akan berpuas hati (pada hari akhirat dengan mendapat segala yang diharapkan)." (Surah al-Lail, ayat 17-21)
Menurut al-Quran, mereka ini digambarkan sebagai golongan kanan yang berada dalam syurga di kelilingi pohon bidara yang rendang, tidak berduri dan mempunyai banyak buahnya yang tidak pernah putus.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya dalam syurga ada sebatang pohon. Jika orang yang berkenderaan berjalan di bawahnya selama seratus tahun, ia tetap berada di bawah naungannya dan tidak berhasil menaklukinya." ( Hadis riwayat Muslim dan Tirmizi)
Hadis itu menjelaskan bahawa syurga Allah terlalu luas seperti diwahyukan dalam al-Quran, di mana sungai mengalir dengan air yang tidak berubah rasa dan aromanya serta diciptakan Allah untuk mereka bidadari yang langsing.
Sebaliknya, bagi mereka yang disediakan Allah pelbagai nikmat tetapi tidak berusaha mendapatkan keredaan Allah akan dimasukkan ke neraka kerana mereka kufur dengan nikmat itu hingga leka terhadap tanggungjawab kepada Allah.
Mereka ini akan diseksa oleh Allah dengan angin yang sangat panas, air mendidih dan naungan asap hitam dalam neraka kelak seperti dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: "Mereka diseksa dalam angin yang amat panas dan air panas yang mendidih dan dalam naungan asap yang hitam yang tidak sejuk dan tidak pula memberi kesenangan." (Surah al-Waqiah, ayat 42-44)
Oleh demikian, marilah bertindak serta berusaha membetulkan perjalanan hidup kita supaya benar-benar memenuhi matlamat mendapatkan keredaan Allah, mudah-mudahan kehidupan di dunia ini akan beroleh berkat serta mendapat rahmat berkekalan.
Dr Ahmad Redzuwan Mohd Yunus adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, UKM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment