Tuesday, July 14, 2009

Perspektif Ikim: Silap faham konsep berikhtiar galak masyarakat berhutang

Oleh Mohd Noor Omar

RAMAI orang berlumba mengejar kekayaan tidak kira apa latar belakang dan kerjaya. Dalam kesibukan mengejar harta dunia, pertimbangan antara pendapatan dan perbelanjaan menjadi semakin pincang. Hutang atau kredit yang suatu masa dulu satu penghinaan kini dianggap amalan biasa.

Sebut saja along, ramai menggambarkan kesengsaraan yang dihadapi apabila berurusan dengan mereka. Along sewenang-wenangnya membelakangkan pemerintah dan meletak undang-undang di tangan sendiri. Lebih malang, masyarakat membenarkan mereka berleluasa dengan mendapatkan perkhidmatan ditawarkan kerana desakan hidup. Walaupun along pilihan terakhir yang tidak sesuai, sesetengah masyarakat tiada lagi pilihan.

Ada pandangan menyatakan kaya ialah apabila kita mempunyai kemewahan merencana tindakan masyarakat dan amalan ekonomi semasa. Budaya berhutang menjadi kebiasaan di kalangan rakyat Malaysia terutama belia dan eksekutif muda mendapatkan apa dihajati.

Akibat permintaan tidak dikawal, penawaran hutang atau kredit juga tidak dipantau, pasaran kredit membabitkan permintaan dan penawarannya kini amat memberangsangkan termasuk penawaran kad kredit, pinjaman peribadi, skim pemilikan alatan, kelengkapan rumah dan aksesori kenderaan.

Hakikat perlu ditangani ialah amalan hutang semakin membimbangkan. Menurut perangkaan Sistem Perbankan Bank Negara Malaysia, nisbah pertumbuhan pinjaman meningkat daripada 6 peratus pada 2007 kepada 11.7 peratus (2008) berbanding peratusan peningkatan pendeposit daripada 16.2 peratus (2007) menguncup kepada hanya 10.9 peratus (2008).

Ternyata, sehingga akhir Jun 2008, RM520 juta hutang tidak berbayar membabitkan 7,298 peminjam diuruskan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), manakala bagi tempoh Januari hingga April 2009 pula membabitkan 16,626 individu.

Berdasarkan perangkaan Bank Negara, hutang kad kredit RM24.4 bilion setakat akhir Mac lalu. Peningkatan kos sara hidup terutama di bandar besar terus menggalakkan perkembangan amalan kredit.

Suasana itu berlaku kerana galakan memberi hutang. Akibatnya beban membayar balik melebihi pendapatan sehingga menjejaskan kemampuan menyediakan keperluan asas keluarga. Laporan menunjukkan ada kakitangan menghadapi lebihan 60 peratus potongan gaji. Namun, mereka yang berhutang tidak pula kaya atau bebas daripada masalah kewangan malah lebih tertekan serta menjejaskan kerja.

Walaupun pelbagai tindakan diambil pihak tertentu untuk memulihkan keadaan, ia tidak berubah jika kefahaman terhadap hutang tidak diubah. Orang berhutang secara tidak wajar dalam lingkungan sikap tidak mahu susah dan tidak faham maksud ikhtiar.

Penulis ialah pegawai penyelidik di Pusat Perundingan dan Latihan IKIM

No comments: