Thursday, October 15, 2009

Melayu sebar Islam ke Afrika Selatan

Oleh Hasliza Hassan

Muslim, Kristian dan Yahudi hidup aman sejak 300 tahun lalu

BERCERITA mengenai Islam di Afrika tidak lengkap jika tidak dimulakan dengan menghargai masyarakat Melayu yang datang menyebarkan agama suci itu 300 tahun lalu, kata Presiden Majlis Kehakiman Muslim dan Majlis Haji dan Umrah Afrika Selatan, Maulana Igshaan Hendricks.

Beliau yang memberi ceramah mengenai Islam di Afrika Selatan di Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS), Kuala Lumpur berkata, masyarakat Melayu yang dimaksudkan ialah semua orang Melayu di rantau ini yang membawa Islam ke Afrika Selatan.

"Apabila saya katakan orang Melayu bukan satu saja kerana Melayu itu ramai termasuk Melayu di Malaysia. Saya bukan etnik Melayu tetapi saya tidak boleh bercakap mengenai Islam di Afrika Selatan tanpa bercakap mengenai masyarakat Melayu.

"Melayu sudah ada dalam masyarakat Afrika Selatan sejak 300 tahun lalu dan ia adalah tinggalan orang hebat yang datang ke Afrika Selatan," katanya memulakan sesi ceramah yang turut dihadiri Imam Masjid Raabie, Portlands, Afrika Selatan, Sheikh Ebrahim Gabriels dan Ketua Pegawai Eksekutif IAIS, Prof Dr Mohammad Hashim Kamali.

Igshaan berkata, sebagai kumpulan minoriti, umat Islam yang hanya dua peratus daripada 47 juta rakyat Afrika Selatan boleh berbangga kerana bebas menjalani kehidupan di kalangan masyarakat pelbagai agama.

Katanya, kejayaan itu adalah terjemahan daripada proses asimilasi kerana umat Islam tidak merasakan diri mereka lain tetapi menjadi sebahagian daripada masyarakat yang membentuk rakyat Afrika Selatan.

Sejak 300 tahun lalu umat Islam, Kristian dan Yahudi di Afrika Selatan hidup aman dan walaupun di Cape Town, 50 peratus penduduknya adalah orang Islam yang asalnya beragama Kristian, percakapan berkisar kepada aspek kemanusiaan sebelum merujuk kepada agama atau bangsa.

"Muslim dan Kristian boleh hidup bersama dalam suasana aman kerana perasaan kebersamaan hidup dalam sebuah negara. Mereka saling hormat menghormati antara satu sama lain. Malah, orang Kristian akan suruh anak mereka masuk rumah sebaik azan selesai," katanya.

Beliau berkata, itu semua adalah hasil daripada saling mengambil tahu dan kesediaan umat Islam meletakkan diri secara berhati-hati dalam masyarakat pelbagai agama di Afrika Selatan menyebabkan Islam menjadi agama yang diterima.

Igshaan berkata, orang Islam tidak boleh merasakan diri mereka golongan istimewa sementara orang lain tidak kerana Islam dijelaskan melalui nilai dan peristiwa 9/11 yang berlaku menjadi pengajaran kerana umat Islam terpaksa menerangkan semula Islam yang sebenar.

Katanya, polisi di Afrika Selatan mengajar umat Islam tidak merasakan diri mereka sebagai kumpulan istimewa malah penekanan kini ialah jika Muslim ingin menjaga moral maka mereka perlu membasmi kemiskinan serta membabitkan dalam semua program pembangunan negara.

Demi masa depan umat Islam, mereka tidak boleh mempunyai anggapan tanggungjawab hanya untuk menjaga kepentingan sendiri tetapi mereka juga perlu menyumbang serta berperanan supaya boleh menjadi sebahagian daripada rakyat Afrika.

"Umat Islam juga mesti belajar kerana kita adalah kerajaan untuk negara kita. Umat Islam tidak boleh nak kata mereka sebahagian daripada rakyat Afrika Selatan jika tidak bersedia menyumbang sebaliknya sedar bahawa agama adalah untuk Allah tetapi negara milik semua orang," katanya.

Beliau berkata, Islam yang ditunjukkan juga perlu serasi atau bersesuaian dengan keperluan politik, ekonomi, intelek serta ilmu pengetahuan dan ini boleh dicapai melalui gabungan ajaran Islam dengan perkembangan kontemporari.

Oleh itu katanya, jika rakyat Amerika Syarikat, India, Jepun atau negara lain mempunyai kepakaran yang tidak dimiliki umat Islam, mereka tidak sepatutnya menjadi takbur sebaliknya bersedia untuk mendalami kepakaran itu.

"Umat Islam tidak boleh bersikap konservatif sebaliknya perlu bersedia mendalami semua bidang. Perundangan Islam di Afrika Selatan yang wujud pada 1945 terus berhadapan pelbagai cabaran dan kami mengambil pakar luar yang ada bagi membolehkan kami menangani cabaran," katanya.

Bagaimanapun katanya, berdasarkan pencapaian umat Islam di Afrika Selatan, mereka boleh dikira sebagai kumpulan minoriti yang bijak meletakkan diri dalam dunia dan buktinya 10 peratus wakil di Parlimen Afrika Selatan adalah orang Islam termasuk bekas Menteri Kehakiman.

Malah katanya, sebagai masyarakat minoriti sejak 300 tahun lalu, umat Islam di Afrika Selatan boleh berbangga kerana tidak ada satu pun daripada 600 masjid dan 450 pusat Islam di sana dibina menggunakan wang kerajaan tetapi daripada sumbangan atau yang diwakafkan umat Islam sendiri.

No comments: