Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
Dokumentari temui penonton awal Ramadan turut papar utusan tidak disebut al-Quran
DOKUMENTARI berbentuk ilmiah Al-Risaalah terbitan TV9 yang masuk musim ketiga tahun ini bakal memfokuskan kisah Nabi Isa sebagai tajuk utama di samping menjejaki kisah nabi yang tidak disebut dalam al-Quran seperti Nabi Uzer dan Nabi Maika.
Menyusuri perjalanan Nabi Isa dan nabi lain termasuk Nabi Yahya, pelbagai perkara menarik bakal dipaparkan kepada penonton setia program berkenaan antaranya lokasi cukup menarik, Isfahan di Iran yang menyingkap kisah Raja Cyrus Agung yang disebutkan dalam kitab Injil.
Cyrus yang mendapat gelaran Cyrus Agung berjaya menjadikan Parsi empayar terluas dan terkuat selain dikenali sebagai raja yang berkuasa sebelumnya. Orang Parsi menggelar Cyrus sebagai Bapa Bangsa.
Penonton juga dapat menziarah secara visual Masjid Umayyad di Syria yang juga dikenali sebagai Masjid Agung Damsyik tempat dikatakan tertanam kepala Nabi Yahya yang mati dipancung kaumnya di Bukit Mukawwir di Jordan.
Di masjid itu juga dan lokasinya di Menara Timur, dikatakan akan turun Nabi Isa. Kenangan manis bagi krew Al-Risaalah musim baru ini turut merasai pengalaman bercakap dengan dinding batu antara kubah di masjid berkenaan.
Menceritakan kenangan itu, penerbit dan pengarah Al-Risaalah musim ketiga, Roslan Abdul Rahman, berkata kehebatan ciptaan kubah di masjid berkenaan membuktikan kemampuan jurutera masa itu menghasilkan rekaan menakjubkan.
"Jarak antara satu kubah dengan kubah lain ialah 50 kaki tetapi apabila saya bercakap di dinding batu, orang yang ada di kubah satu lagi boleh mendengar dengan melekapkan telinga ke dinding.
"Ajaibnya kerana seakan saya bercakap dengan orang di dinding bersebelahan sedangkan jarak antara kami ialah 50 kaki," katanya.
Beliau berkata, banyak lagi penemuan serta lokasi menarik dimuatkan dalam program yang bakal menemui penonton sepanjang Ramadan nanti, termasuk mendengar bahasa Armenia iaitu bahasa percakapan Nabi Isa oleh masyarakat yang masih menggunakannya.
Krew penerbitan Al-Risaalah kali ini mengembara ke Turki, Syria, Iran dan Israel yang dimasuki melalui Jordan. Malang bagi Roslan, beliau tidak dibenarkan masuk dengan alasan sudah ada pemilik nama yang serupa memasuki negara itu.
Cabaran lain yang terpaksa ditempuh krew penerbitan ialah mendapatkan gambar menarik apabila kebanyakan lokasi yang ingin dilawati di Turki diselaputi salji tebal, malah ada beberapa tempat gagal ditemui.
Penggambaran di Turki menumpukan kisah Saint Paul, orang yang bertanggungjawab meminda catatan kitab Injil. Pada masa sama, krew penerbitan sempat membuat rakaman ucapan Aidilfitri untuk pelajar Malaysia di sana.
Al-Risaalah musim ketiga bukan saja menjejaki kisah Nabi Isa, malah memaparkan episod mengenai nabi keturunan Bani Israil yang tidak disebut dalam al-Quran dan kebanyakan mati dibunuh oleh kaum mereka sendiri.
Selepas melalui penggambaran beberapa bulan, Al-Risaalah musim ketiga yang menemui penonton jam 10.30 malam bermula malam sebelum 1 Ramadan, kini dalam proses suntingan gambar dan memasukkan suara.
Program Al-Risaalah yang bermakna utusan musim pertama menceritakan kisah 12 rasul bermula dengan Nabi Adam sementara musim kedua memilih sembilan rasul untuk diketengahkan dengan tajuk Musa Kalimullah.
Pendekatan program ini ialah berusaha menjawab persoalan yang timbul dalam perjalanan kisah nabi berpandukan fakta serta maklumat yang diperoleh ketika membuat lawatan ke lokasi bersejarah yang dikaitkan dengan nabi berkenaan.
Justeru, akan ada penemuan terbaru dan fakta dikumpulkan hasil perbincangan, pencarian serta maklum balas diterima daripada masyarakat setempat yang kadang-kala menjawab persoalan, tidak kurang menidakkan maklumat sebelum ini.
Saturday, June 6, 2009
Al-Risaalah musim ketiga tumpu kisah Nabi Isa
Labels:
(A) Hasliza Hassan,
Al-Risaalah,
Kisah Nabi,
Nabi Isa,
TV9
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment