MEMUSLIMKAN ibadah, feqah dan tasauf, itulah tiga perkara yang dibahas serta dikembangkan secara mendalam pada Program Pemantapan Iman yang diadakan di Surau The News Straits Times Press (NSTP), Sabtu lalu.
Program anjuran Jabatan Agama NSTP dan dihadiri kira-kira 150 kakitangan serta ahli keluarga itu memberi peluang kepada peserta memahami tanggungjawab sebagai Muslim serta tindakan perlu diambil bagi memastikan tanggungjawab sebagai hamba tidak dilupakan.
Penceramah program, Dzulkarnain Hamzah al-Hafiz yang juga pengacara rancangan Kalam Suci terbitan Astro Oasis berkata, tumpuan kepada kerja selalu membuatkan manusia leka hingga terlupa tanggungjawab lebih penting sebagai hamba Allah.
Justeru katanya, menjadi tanggungjawab setiap insan untuk saling ingat mengingati serta melakukan usaha yang boleh mendatangkan kesedaran supaya mereka yang terlupa dapat diingatkan akan amanah perlu dilaksanakan.
“Tidak dapat dinafikan disebabkan leka dengan tugas di pejabat, kita lupa melaksanakan tanggungjawab kepada Allah. Usaha Jabatan Agama NSTP menganjurkan program seumpama ini dapat menyedarkan kakitangan bahawa di samping tugas pejabat ada lagi tugas lain perlu ditunaikan.
“Program hari ini ibarat mengecas semula kesedaran peserta yang hadir terhadap keperluan rohani seperti kefahaman mengenai ibadah, ilmu feqah dan tasauf yang menjadi asas kepada setiap aspek kehidupan manusia,” katanya.
Beliau yang mengupas tajuk Muslim Akidah dan Muslim Ibadah menjelaskan keperluan setiap ibadat serta perkara berkaitan kehidupan dilakukan semata-mata kerana Allah sesuai kejadian manusia sebagai hamba yang bertanggungjawab memenuhi setiap suruhan tuannya.
Dzulkarnain mengingatkan peserta supaya menjaga akidah kerana terlalu banyak perlakuan masyarakat hari ini jelas menyimpang daripada syariat disebabkan tidak faham atau menganggap apa yang diamalkan adalah ajaran agama sedangkan ia jauh bercanggah.
Mengambil contoh kepercayaan sesetengah golongan amalan yang sudah menjadi budaya seperti membaling baju ke bumbung ketika mengadakan majlis kahwin bagi mengelak hujan atau menegakkan penyapu ke arah langit bagi masyarakat di sesetengah daerah.
Semua itu katanya termasuk dalam persoalan iktikad dan jika tidak berhati-hati boleh menyebabkan seseorang Muslim terkeluar akidahnya kerana melakukan amalan yang boleh menjurus kepada menyekutukan Allah.
“Perkara atau amalan berkaitan dengan iktikad ini kita perlu jaga dan berhati-hati kerana boleh menyebabkan syirik. Kita sangka ia ajaran agama tetapi sebenarnya amalan turun temurun yang tiada kaitan dengan agama, sebaliknya bertentangan dengan syariat,” katanya.
Menyentuh topik Muslim Ibadah, katanya, adalah jelas bagi umat Islam memastikan ibadat yang dilaksanakan mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bersandarkan kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW serta ijtihad sahabat.
Beliau berkata, ijtihad sahabat menjadi rujukan kerana ada perkara yang tidak berlaku di zaman Nabi Muhammad SAW tetapi dilaksanakan pada zaman sahabat dan dalam persoalan feqah, ikhtilaf atau perselisihan pendapat dibenarkan.
Bagaimanapun, kemuncak kepada ibadah yang merangkumi ibadat khusus (seperti solat, puasa, zakat), muamalah (kegiatan harian termasuk berjual beli), munakahat (kekeluargaan) dan jinayat (kenegaraan) ialah perasaan takut sebagai hamba yang mengabdikan segala-galanya untuk Allah.
Dzulkarnain yang turut membacakan ayat al-Quran secara berlagu sebagai pendekatan dalam penyampaian ceramah pada majlis ilmu itu turut memperincikan perkara semasa yang sering menimbulkan perbincangan hangat.
Antaranya, isu berkaitan nafkah, berlebihan dalam menghias diri seperti mewarnakan rambut, mencabut alis mata, mengasah gigi, melukis tatoo (termasuk lukisan inai di tangan) dan persoalan halal haram membabitkan makanan serta minuman.
Ini kerana katanya, setiap amal perbuatan perlu dilihat kepada tiga hukum iaitu halal, haram dan makruh atas kesedaran mungkin ada perbuatan yang sesetengah pihak fikirkan tidak bersalahan dengan ajaran agama tetapi sudah ada hukum jelas mengenainya.
Persoalan dosa pula, peserta dijelaskan mengenai empat sifat dosa iaitu dosa rububiah (ketuhanan), bahimiah (binatang ternakan), subu’iah (binatang buas) dan syaitaniah (sifat syaitan) yang menjadi dinding antara manusia dengan Allah.
Kesimpulan daripada penjelasan mengenai dosa mendedahkan peserta mengenai tingkah laku sebahagian manusia yang tidak ubah seperti bintang ternakan yang hanya mementingkan perut, binatang buas yang kejam pada mangsa dan syaitan dengan tujuan menyesatkan manusia.
Justeru katanya, dalam melaksanakan ibadah kepada Allah, ia perlu dilakukan dengan ikhlas, secara berterusan serta perasaan tamak iaitu untuk mendapat segala kebaikan apabila mendekatkan diri kepada-Nya.
Sesi ketiga program Pemantapan Iman bersama Dzulkarnain atau lebih terkenal dengan panggilan Ustaz Dzul mengupas persoalan tasauf yang merujuk kepada akhlak Rasulullah SAW berhadapan dengan keluarga, anak serta sahabat.
Semua tunjuk ajar daripada Baginda SAW baik ketika bergaul dengan isteri, anak serta sahabat adalah panduan terbaik kepada umat Islam untuk membina akhlak yang mulia serta jati diri menggambarkan kehidupan mengikut syariat Islam.
Sesi sebelah petang dikendalikan oleh Muhammad Nizam Kamaruzaman, pembimbing Haji dan Umarah Rayhar Travel.
Peserta program, Muhammad Razhe Mohamad berkata, rangkuman tiga topik iaitu akidah, feqah dan tasauf adalah gandingan terbaik memberi kefahaman untuk memperbaiki kelemahan diri supaya dapat menjadi insan lebih baik.
Beliau bertugas di Balai Berita Shah Alam bersetuju bahawa ada kalanya manusia sebagai pekerja jika tidak diingatkan mengenai tanggungjawab baik kepada Pencipta, diri sendiri, keluarga dan majikan, akan lalai daripada melaksanakan amanah dengan berkesan.
“Banyak saya dengar hari ini yang difikirkan boleh membantu memperbaiki diri kerana sebagai manusia kita ada kelemahan dan tunjuk ajar daripada mereka yang berilmu dapat membantu kita melakukan perubahan serta penambahbaikan,” katanya.
Bagi Aziz Bakar Othman yang bertugas di Art Studio NSTP, program Pemantapan Iman mendedahkan peserta kepada cabaran yang dihadapi generasi zaman moden serta kaedah berdepan setiap perkara bersandarkan ajaran agama.
Justeru, katanya, pihak pengurusan perlu memperbanyakkan program ilmu seumpama itu untuk memberi peluang kakitangan mendalami lebih banyak perkara yang bukan saja dapat meningkatkan ketakwaan juga, prestasi dalam melakukan tugas harian di pejabat.
Sementara peserta wanita yang ditemui, Jamaliah Husain, berharap program itu dapat diteruskan sebagai kemudahan kepada kakitangan untuk meningkatkan kefahaman dalam bidang agama di luar waktu kerja.
“Sesetengah perkara sudah kita ketahui tetapi peringatan semula dapat memantapkan lagi diri seterusnya menyedarkan kita. Maklumlah, kita mudah lupa dan program sebegini adalah peluang memperbaiki diri. Dulu kita kena keluar cari ilmu tetapi sekarang ilmu datang kepada kita,” katanya.
Noor Abdul Wahab yang bertugas di bahagian pengiklanan berkata, ceramah yang disampaikan secara santai berjaya menarik perhatian peserta ditambah topik yang dibincangkan juga begitu dekat dengan keperluan mereka dalam usaha memperbaiki diri.
“Saya bersyukur kerana mengikuti majlis ilmu ini yang banyak memberi pendedahan kepada perkara semasa. Ada yang kita tidak tahu dan tercari jawapannya, jawapan diberikan penceramah hari ini yang menyentuh boleh dikatakan keseluruhan aspek kehidupan,” katanya.
Monday, June 1, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment