Wednesday, June 3, 2009

Bersama YaPEIM: Potensi memakmurkan negara Islam tidak dimanfaat

Oleh Dr Abdul Hamid Othman

APABILA negara Islam berpindah ke Syria (kawasan Empayar Rome), kehendak dan gesaan al-Quran bagi hasanah di dunia di perhebatkan. Gesaan pertama di dalam al-Quran untuk mencari ilmu dan mempergiatkan aktiviti pelajaran (Iqra - alloma) diambil secara bersungguh-sungguh dan penuh kefahaman umat Islam.

Bani Ummaiyah perhebatkan seruan ini. Natijahnya umat Islam cemerlang (pada ketika umat Rome sedang menurun) dalam pelbagai bidang hidup duniawi. Mereka mempunyai kebolehan dan keberanian untuk bergerak dan mengembara keluar secara perniagaan dan ketenteraan dengan niat yang satu iaitu dakwah dan perkembangan Islam, melalui jalan laut dan darat, di Asia dan Afrika Utara hingga menyeberang Jibrelta hingga sampai ke Rome.

Niat mereka adalah satu iaitu menyempurnakan gesaan al-Quran bagi menyebarkan Islam dengan penuh keagungan dan berjaya dalam perniagaan dan keagungan Islam. Mereka berjaya menegakkan syiar dan menerapkan kehendak Islam dalam pemerintahan dan kehidupan di tempat itu.

Keagungan mereka makin terbina dan berterusan hinggalah orang Barat mula mengkaji kekuatan dalaman Islam dan berusaha bagi mematahkan kekuatan itu melalui pelbagai cara dengan tujuan memperkukuhkan dasar dan pelaksanaan program penjajahan.

Pengajian Islam (orientalisme) berjalan dengan cara halus dan mendalam serta memberi impak besar. Perubahan mendadak terbesar dan terhebat ialah memujuk umat Islam supaya percaya pengajian Islam mengenai ketuhanan dan hasanah di akhirat, iaitu pengajaran dan konsep yang paling berkesan dalam Kristian bagi melemahkan peranan dan kuasa orang agama sedang urusan lain dalam negara termasuk perniagaan adalah duniawi yang tidak digesa di dalam agama (sekular).

Banyak negara Islam jatuh ke tangan penjajah mulai kurun ke-14. Negara Arab yang menjadi tumpuan umat Islam dijajah dan penjajah berusaha memperkukuhkan dasar dan kuasa penjajah. Mereka berminat dengan negara Islam kerana di situ banyak kekayaan yang dikurniakan Allah termasuk minyak, bijih dan hasil bumi.

Mereka tumpukan perhatian kepada negara Islam yang menjadi tumpuan dan contoh kepada umat Islam terutama Mesir dan Arab Saudi kerana dua tempat ini menjadi tumpuan kepada alam Melayu, tempat kediaman umat Islam yang terbanyak dan hasil bumi dan alam semula jadi yang boleh memenuhi hajat mereka.

Di kawasan ini sangat hebat gerakan orientalisme dengan tujuan membina semangat pergantungan umat kepada penjajahan. Mereka mengambil pengajaran Islam sendiri bagi menjalankan dasar penjajahan. Islam membahagikan tugas hamba kepada Allah ialah bagi mencapai hasanah di dunia dan di akhirat.

Lanjutan daripada ini kegiatan keagamaan dan pengajaran Islam ditumpu kepada fardu ain (Usuluddin). Akibatnya kegiatan pengajian Islam adalah tertumpu pada aqidah. Kurikulum pengajian Islam ditumpu kepada hal ini. Kitab yang ditinggalkan ulama terdahulu begitu hebat dalam syariah dan tauhid dipelajari bahagian tauhid saja.

Bahagian fikah (syariah) tidak diambil berat, hinggakan al-Quran pun diambil aspek ‘ritual’. Contoh yang paling nyata mengenai hal ini ialah institusi pengajian secara formal dan tidak formal tertumpu pada tauhid dan ritual.

Adapun muamalah diabaikan dan tidak diajar bersungguh-sungguh. Contohnya, tajuk zakat. Dalam ajaran Islam dan kitab zakat ertinya pertumbuhan dan pembersihan. Hasil daripada penjajahan minda dan ilmu di samping pemerintahan semua negara Islam bergantung kepada negara lain.

Sungai Nil terletak dalam negara Islam tetapi negara itu selalu menghadapi kebuluran dan mengharap orang lain menguruskan makanan mereka. Hal sama berlaku di kawasan Nusantara kita. Potensi kemakmuran negara tidak dipergunakan untuk mengeluarkan makanan.

Pendidikan Nasional di Malaysia, pemimpin kita berjaya menjadikan Islam agama rasmi. Terbit daripada itu mereka berjaya memasukkan pengajian Islam dalam kokurikulum rasmi pendidikan di Malaysia sebanyak 13 peratus.

Mata pelajaran ini diajar dan wajib dipelajari ke atas murid yang beragama Islam. Hasil dasar ini dan aktiviti yang terbit daripadanya sangat membanggakan kita. Bagaimanapun kejayaan kita belum sempurna kerana dibelenggu dengan pemikiran orientalis dan dasar penjajahan bahawa tumpuan kepada fardu ain tidak kifayah.

Semua menjerit kalau masjid dicerobohi atau dihina tetapi semua reda apabila diberitahu nasi, daging, ikan, sayur dan buah-buahan diimport dengan harga mahal dan reda pula kalau ada cakap atau tayangan yang menghina dan memburuk industri bersangkutan dan memandang dengan tidak peduli apabila melihat tanah yang berpotensi terbiar begitu saja.

Dalam pengurusan ekonomi mengikut Islam, dasar besar mesti dibuat supaya tidak ada pergantungan ekonomi secara terus atau tidak terus terutama dalam hal makanan dan peluang kerja bagi generasi muda.

Justeru, dasar yang murni dalam pengurusan ekonomi yang disusun oleh Islam tidak menjadi pedoman kepada orang Islam kerana penjajah yang faham mengenai orientalisme menutup hidayat dari hati kita.

Di Malaysia, tidak dianggap isu agama kalau soal ekonomi tidak diambil berat penderitaan yang ditempuh kerana penurunan harga komoditi tidak dianggap perkara yang menyentuh iman dan tidak disedari oleh sesiapa, ada orang yang berdosa kalau penderitaan ekonomi menimpa masyarakat.

Pengajian Islam di Malaysia pada semua peringkat perlu disusun semula supaya kesedaran dan semangat mengenai syariah dihidupkan iaitu pencapaian hasanah di dunia. Kita mulakan gagasan ini dengan kefahaman Islam Hadhari.

Penulis ialah Penasihat Khas Agama Islam kepada Perdana Menteri yang membentang kertas kerja bertajuk ‘Pengajian Islam Dalam Pendidikan Nasional Memantapkan Budaya Keusahawan Di Kalangan Generasi Baru, Gagasan Dan Cabaran” pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

No comments: