HILANGNYA perasaan malu dalam jiwa boleh menyebabkan seseorang insan itu tanpa segan silu mengerjakan maksiat. Baru-baru ini kita digemparkan dengan tajuk utama akhbar, “Trend Baru Remaja Melayu: Kelab Tiada Dara”.
Memetik laporan akhbar itu: “Walaupun masih belasan tahun, mereka bangga tiada dara. Kumpulan remaja Melayu terbabit juga menubuhkan kelab untuk bertukar teman lelaki. Ahlinya diwajibkan memakai tatu.”
Ini hanyalah sekelumit pendedahan mengenai sikap anak muda kita yang semakin jauh hanyut hidup bergelumang maksiat disebabkan hilangnya sifat malu. Sehubungan itu, ada satu keperluan mendesak untuk menerapkan sifat malu iaitu aspek ditekankan ajaran Islam dalam jiwa setiap umat Islam.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Iman mempunyai lebih daripada enam puluh cabang. Adapun malu adalah salah satu cabang dari cabang iman.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Abu Mas’ud ‘Uqbah bin ‘Amr al-Ansari al-Badri berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya salah satu perkara yang sudah diketahui manusia dari kata-kata kenabian terdahulu adalah: Jika engkau tidak malu, berbuatlah sesuka hatimu.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqolani: “Secara bahasa malu (al-Hayaa’) bermaksud perubahan yang ada pada diri seseorang
kerana takut melakukan perbuatan dapat menimbulkan aib. Dari
segi terminologi pula ia bererti perangai yang mendorong untuk menjauhi sesuatu yang buruk dan
mencegah untuk tidak memberikan sesuatu hak kepada pemiliknya.”
Malu adalah satu cabang daripada cabang iman kerana ia dapat menjadi faktor mendorong seseorang menjadi insan yang taat kepada segala perintah Allah dan mencegahnya daripada terjerumus dalam perbuatan maksiat.
Mengenai hubungan iman dan malu, Ibnu Quthaibah berkata, sifat malu dapat menghalang dan menghindarkan seseorang melakukan kemaksiatan seperti iman. Maka sifat malu disebut sebagai iman, seperti sesuatu dapat diberi nama dengan nama lain yang dapat menggantikan posisinya.
Perasaan malu sudah diwarisi daripada nabi terdahulu kepada satu generasi ke generasi dan oleh itu anjuran supaya memiliki perasaan malu kekal menjadi sebahagian syarak bagi umat Nabi Muhammad SAW.
Sabda Baginda SAW supaya mereka yang tidak malu untuk berbuat sesuka hati mereka, ulama mentafsirkannya dengan tiga cara, pertama iaitu perintah berbentuk ancaman jika tiada malu, buatlah perkara bertentangan syarak kerana pasti akan dibalas Allah.
Firman Allah yang bermaksud: “Kerjakanlah olehmu apa-apa yang kamu kehendaki, sesungguhnya Dia melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Sajdah, ayat 40)
Kedua ialah perintah berbentuk penjelasan bahawa bagi sesiapa yang tidak memiliki perasaan malu maka dia tidak akan malu untuk melakukan apa juga perbuatan termasuk perkara yang bercanggah dengan syariat.
Ia kerana yang mampu mencegah seseorang daripada mengerjakan maksiat adalah perasaan malu. Sabda Baginda SAw yang bermaksud: “Barang siapa melakukan pembohongan atas namaku, dia hendaklah mengambil tempat duduknya daripada api neraka.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Ketiga, perintah yang menunjukkan erti pembolehan seperti dijelaskan Imam al-Nawawi: “Perintah itu mengandungi erti pembolehan. Maksudnya, jika engkau ingin mengerjakan sesuatu, maka lihatlah jika perbuatan itu sesuatu yang menjadikan engkau tidak merasa malu kepada Allah dan manusia, maka lakukanlah. Jika tidak maka tinggalkanlah.”
Pendapat pertama adalah pandangan yang dipilih majoriti ulama dan lebih tepat. Demikianlah bagaimana Rasulullah SAW menitikberatkan umatnya menerapkan perasaan malu dalam kehidupan seharian kerana ia boleh menghalang seseorang melakukan perkara dilarang.
Sifat malu adalah gabungan daripada sifat takut akan dosa dan keinginan untuk menjaga kesucian diri. Namun sifat malu tidak seharusnya menyebabkan seseorang itu mensia-siakan hak Allah dan Rasul-Nya, diri sendiri serta ahli keluarganya.
Kita tidak boleh malu menuntut ilmu, melaksanakan amar makruf nahi mungkar atau malu untuk bekerja mencari nafkah. Sifat malu sebegini adalah malu yang tercela dan hanya menunjukkan kelemahan jiwa seseorang insan
Oleh itu hendaklah kita memupuk dalam jiwa perasaan malu yang positif kerana ia adalah akhlak Islam yang dituntut. Sabda Baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap agama memiliki akhlak, dan akhlak Islam adalah malu.” (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah)
Rasulullah SAW bersabda lagi: “Sesungguhnya Allah Maha Pemalu (al-Hayaa’) dan Maha Menutupi (al-Sitr), Dia mencintai rasa malu dan yang tertutup. Apabila salah seorang daripada kalian mandi, maka hendaklah dia menutupi diri.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud)
Monday, June 1, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment