SAYA dibesarkan oleh keluarga angkat sejak dilahirkan lagi. Kini saya sudah dewasa dan memutuskan untuk berkahwin dengan pasangan pilihan saya. Bagaimanapun, niat saya dihalang oleh keluarga kandung. Ibu dan abang kandung saya masih hidup, tetapi bapa kandung saya sudah tiada.
Abang saya tidak mahu mewalikan saya kerana keluarga saya mempunyai pilihan mereka. Saya tetap mahu meneruskan niat saya. Keluarga saya tiada hak dalam hal ini kerana mereka tidak pernah memelihara saya.
Abang saya berkeras tidak mahu menjadi wali atas desakan ibu saya. Apa yang perlu saya lakukan? Bolehkah bapa angkat yang memelihara saya, menjadi wali kerana dia lebih berhak, lagipun dia adalah bapa saudara saya.
Jamilah
Kelantan
WALI adalah salah satu syarat untuk menjadikan sesuatu akad perkahwinan itu sah. Seseorang perempuan perlu mendapatkan kebenaran wali bagi dirinya untuk melangsungkan perkahwinan.
Wali asal bagi seorang perempuan itu adalah wali bapa, ia akan turun kepada wali nasab yang lain mengikut turutan sebagaimana ditetapkan hukum syarak (sekiranya wali bapa sudah tiada).
Bagi perempuan yang langsung tidak mempunyai wali nasab, maka kadi yang dilantik atau yang diiktiraf di sesebuah negara (dengan mendapat kebenaran hakim) akan menjadi wali untuk mengakadnikahkan perkahwinan itu. Ia dipanggil wali hakim.
Dalam permasalahan ini, soal pemeliharaan atau siapa yang menjaga itu tidak timbul. Apa yang penting di sini ialah siapa yang berhak menjadi wali.
Sekiranya benar abang kandung itu adalah wali yang sah, maka tiada orang lain selainnya boleh menjadi wali. Abang kandung hanya boleh mewakilkan kuasa wali kepada imam, kadi atau orang lain sekiranya beliau enggan mengakadnikahkan pasangan itu.
Bagaimanapun sekiranya beliau terus enggan mewalikan pernikahan ini atau enggan mewakilkan wali, maka perkahwinan itu tidak boleh dilangsungkan.
Keengganan wali mengakadnikahkan sesuatu perkahwinan menjadikan isu itu bertambah rumit, lebih-lebih lagi ia membabitkan hubungan kekeluargaan dan juga pertalian yang bakal dibina antara pihak lelaki dan wanita.
Wali wajar mengambil kira beberapa aspek untuk menjadikan alasannya tidak mendatangkan kemudaratan atau membawa perkara buruk yang mungkin akan terjadi ke atas perempuan yang ingin melangsungkan perkahwinan.
Wali juga wajar mengetepikan keegoan atau perasaan buruk sangka dalam menghalang perkahwinan yang dicadangkan itu.
Sekiranya masih gagal mendapatkan persetujuan wali ini (abang kandung) untuk mewalikan pernikahan, tiada yang berhak atau layak untuk mengakadnikahkan perkahwinan itu melainkan wali hakim.
Bapa angkat bukanlah orang yang berhak menjadi wali mengikut susunan yang digariskan oleh hukum syarak.
Oleh itu, apa yang perlu dilakukan ialah mendapatkan kebenaran berkahwin melalui Perintah Mahkamah. Wajar dipastikan bahawa abang kandung benar-benar enggan untuk mengakadnikahkan perkahwinan itu kerana sedikit sebanyak ia akan menjejaskan hubungan kekeluargaan.
Sekiranya perkara ini diajukan ke mahkamah, segala permasalahan perlu diperjelaskan. Dengan itu, abang kandung sendiri dikehendaki memperjelaskan sebab mengapa beliau tidak mahu mengakadnikahkan perkahwinan itu.
Segala alasan yang dikemukakan akan diambil kira oleh mahkamah sama ada ia benar-benar wajar atau tidak.
Dalam menentukan alasan berkenaan, mahkamah akan mengambil kira alasan dikemukakan oleh wali terbabit benar-benar bertepatan dengan kehendak syarak.
Antara contoh yang wajar ialah keengganannya itu disebabkan oleh pasangan lelaki berkenaan adalah seorang penagih dadah, penjenayah atau sebagainya.
Sekiranya mahkamah mendapati bahawa wali mengemukakan alasan wajar dan layak diterima berdasarkan hukum syarak, maka mahkamah berhak untuk menolak perkahwinan yang dicadangkan itu.
Bagaimanapun sekiranya mahkamah mendapati alasan dikemukakan tidak menepati kehendak syarak, atau alasan itu tidak wajar untuk menghalang perkahwinan yang dicadangkan, maka mahkamah boleh membenarkan perkahwinan ini.
Dengan cara itu, maka perkahwinan ini akan diakadnikahkan oleh wali hakim, sama ada kadi atau imam yang bertauliah. Kebenaran untuk berkahwin secara wali hakim akan dikeluarkan oleh mahkamah.
Kesimpulannya, perkahwinan itu masih boleh dilangsungkan melalui kebenaran mahkamah walaupun wali enggan mewalikan pernikahan berkenaan.
Ia bergantung kepada alasan yang dikemukakan kepada mahkamah, sama ada bertepatan dengan kehendak hukum syarak atau sebaliknya.
# Jawapan disediakan peguam syarie, Salwila Abdullah yang juga ahli Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment