Thursday, December 3, 2009

Berdakwah kepada Orang Asli tuntut kesabaran

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh


BERDAKWAH kepada Orang Asli adalah satu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan walaupun banyak keutamaan lain yang harus didahulukan. - Gambar hiasan


Wajib bagi orang Islam mengutuskan nasihat sesama insan, terutama yang memerlukan

PENEMPATAN 200 pegawai agama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di semua perkampungan Orang Asli di negara ini bagi memastikan masyarakat itu mengenali agama Islam dan cara hidup Islam yang sebenar boleh memperkasakan program dakwah yang sudah lama dilakukan di negara ini.

Ia menjadi agenda dakwah yang utama di era globalisasi selain tuntutan mengembalikan akidah dan akhlak yang tercalar di kalangan umat Islam moden, yang kurang mengamalkan cara hidup Islam kerana pengaruh sosial dan budaya yang mengatasi syarak.

Berdakwah kepada Orang Asli adalah satu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan walaupun banyak keutamaan lain yang harus didahulukan. Setelah mereka menyatakan syahadah, mereka perlu dibimbing dan dibantu, tambahan pula cara hidup asal yang jauh menyimpang daripada agama baru yang mereka anuti sudah sebati dalam diri mereka dan menjadi ikutan sejak berzaman lamanya.

Pengalaman berkampung di salah sebuah pos Orang Asli di Gua Musang lebih 10 tahun lalu mengingatkan penulis mengenai tugas wajib setiap individu Muslim dalam mengutuskan nasihat sesama insan, lebih-lebih lagi yang amat memerlukan panduan dan pedoman dalam melayari kehidupan berpaksikan agama yang satu.

Merentasi perjalanan jauh dari Kuala Lumpur ke destinasi yang asing bagi penulis menimbulkan tanda tanya kerana penganjur membawa bekalan minyak masak, beras, susu tepung, gula, sabun mandi, mancis, sayur-sayuran, ikan bilis, rempah ratus dalam jumlah yang begitu besar.

Telahan penulis, ia untuk diagihkan kepada setiap keluarga Orang Asli yang akan kami lawati. Dengan menaiki trak milik Kementerian Kesihatan, kami meredah jalan tanah merah yang berdebu.

Perjalanan jauh ke dalam hutan tebal menggusarkan tetapi pemandu kenderaan yang sudah acap kali merentas denai yang sama meyakinkan penulis bahawa tiada apa yang perlu dibimbangkan.

Sebaik tiba, deretan Orang Asli mula datang menyambut kami yang kali pertama mengunjungi mereka, mengeratkan talian kasih dari jauh di kota batu ke penempatan yang terlalu luar biasa untuk kami. Kebanyakan mereka datang untuk meminta sabun dan mancis, tetapi kami dilarang mengagihkannya.

Namun, mereka diminta supaya datang sebelum Maghrib ke surau yang dibina di setiap pos untuk kemudahan 'saudara baru' menunaikan solat dan mengadakan aktiviti keagamaan. Surau itu jugalah menjadi tempat tinggal kami sepanjang seminggu berada di pos Orang Asli. Walaupun tiada kemudahan seperti surau lain, kami cukup teruja memanfaatkan setiap saat bersama mereka, terutama yang belum menerima hidayah Allah SWT, tetapi tetap ingin tahu mengenai agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW ini.

Aktiviti berbentuk solat jemaah, membaca Muqaddam, qiyamullail dan Fardhu Ain menjadi rutin setiap kali Orang Asli dikunjungi pegawai agama atau pelajar institusi pengajian tinggi, yang mencuri peluang menunaikan kewajipan berdakwah terhadap saudara baru sewaktu cuti semester. Biarpun sukar berkomunikasi kerana bahasa berbeza, ia tidak sedikit pun membuatkan penulis berputus asa, sebaliknya masa yang terlalu singkat menjadi sebab untuk tidak mensia-siakan peluang yang ada.

Aktiviti paling menyeronokkan buat mereka ialah sukaneka, kerana mereka akan diberikan hadiah berupa hamper berisi makanan dan minuman yang langsung tidak pernah mereka jamah sebelum ini.

Pada hari terakhir, penulis dan teman sama-sama mengadakan kenduri kesyukuran di atas silaturrahim yang terbina dan ia sangat menyeronokkan, apabila Orang Asli di situ datang membawa pisang hutan untuk dimasak lemak bersama terung pipit dan buah-buahan yang mereka tanam.

Walaupun jauh beratus batu, perjalanan pulang terasa amat singkat apabila kami saling menghimbau kenangan sewaktu berada di pos Orang Asli yang tidak pernah terbayang sebelum ini, lebih-lebih lagi apabila kami ke sungai untuk mandi dan mengambil wuduk sebelum azan subuh berkumandang.

Yang paling manis, apabila beberapa orang saudara baru dapat menghafal beberapa surah pendek yang diajar sepanjang kami berada di sana.

Pegawai agama yang perlu bermukim di pos-pos Orang Asli tentulah luar biasa semangat dakwahnya kerana tidak mudah mengarifkan mereka yang sifar langsung mengenai agama ini, tambahan pula ada di kalangan Orang Asli hanya memahami bahasa mereka sahaja dan juga fobia terhadap kehadiran'orang luar'.

Bagaimanapun, tiada apa yang mustahil dalam urusan dakwah kerana menyeru kepada haq adalah satu kewajipan, bukannya pilihan.

No comments: