Sunday, December 6, 2009

Persoalan Agama: Tak sah korban sebelum solat Aidiladha

Soalan:

KITA baru saja selesai menyambut ibadat korban. Tetapi saya musykil, bolehkah seorang Muslim yang kaya atau yang bergelar hartawan, tidak melakukan korban? Bagaimana cara pembahagian daging korban? Bolehkah korban dilakukan sebelum solat Hari Raya?

Adib
Kulim,
Kedah.

Jawapan:

Korban adalah sunnah muakkad menurut kebanyakan mazhab dan wajib hukumnya menurut mazhab Abu Hanifah.

Manakala permasalahan pembahagian daging korban menurut Dr Yusuf al-Qardhawi iaitu disunnahkan pembahagiannya menjadi tiga bahagian. Satu bahagian untuk dirinya dan keluarganya. Satu bahagian lagi untuk jiran tetangga sekitarnya dan satu bahagian lagi untuk fakir miskin.

Seandainya disedekahkan kesemuanya, maka ia lebih afdal, kecuali sedikit saja diambil berkatnya dan ia makan.

Allah mensyariatkan korban supaya dilakukan pada hari Aidiladha dan beberapa hari sesudahnya (iaitu hari tasyriq). Disyariatkan juga korban mesti dilakukan selepas solat (Hari Raya). Sekiranya dilakukan sebelum solat itu, maka korbannya tidak sah dan dia tidak akan mendapat pahala berkorban.

Berkorban adalah ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ibadat itu ada yang terbatas dengan waktu tertentu termasuklah berkorban. Kerana waktunya bermula selepas solat Aidiladha.

Apabila suatu tempat atau negeri ada beberapa tempat melakukan solat Aidiladha, maka bolehlah menyembelih korban sesudah dilakukan solat di suatu tempat yang melaksanakannya paling awal. Dan boleh juga mengakhirkan penyembelihan korban itu hingga hari kedua atau ketiga yang disebut sebagai hari tasyriq. Sesetengah ulama berpendapat boleh menyembelih korban pada hari tasyriq ini sama ada siang atau malam.

No comments: