Oleh Azman Zaharia
Menghina, cela orang lain ketika berceramah pamer sifat riak
SATU kewajipan dalam Islam adalah tahdzibun nafs (penyucian diri) tanpa pengecualian. Meninggalkan kewajipan ini menyebabkan kerugian dunia dan akhirat, sedangkan kesucian hati adalah sumber segala keutamaan, sementara kekotoran hati, sumber kehinaan. Akhlak mulia terpancar daripada hati yang bersih, suci dan luhur.
Tidak syak lagi bahawa jiwa yang bersih akan melahirkan tingkah laku dan gerak-geri mulia, sopan dan tertib. Kita mungkin berasa geram dan marah apabila ada kalangan ilmuan agama mengeluarkan kenyataan yang terlalu angkuh dan sombong berbentuk menghina terhadap kalangan ilmuan agama yang lain, lebih-lebih lagi oleh kalangan mereka yang tidak sealiran sama ada dengan individu atau kumpulan dimusuhi.
Bahasa yang diguna untuk mencela dan menghina tidak mencerminkan imej merendah diri dan tawaduk mereka. Apa yang lebih ditakuti ialah lahirnya golongan berilmu tetapi jumud, berani tetapi kurang ilmu, emosi tak bertempat dan berbagai lagi sifat negatif golongan agama ini tetapi mengaku bahawa mereka juga perlu diiktiraf sebagai golongan ulama.
Ulama seperti ini kata Muhammad al-Ghazali, biasanya menjadi tumpuan ramai, kerana gambaran zahir yang kononnya lebih Islamik ini menampilkan keberanian mereka mempertikaikan banyak perkara. Pertikaian remeh-temeh ini terus disuburkan oleh media. Tambahan pula mereka disokong pula oleh golongan 'ulama segera'.
Syeikh Muhammad al-Ghazali pernah menegur mereka yang belajar ilmu hari Sabtu, pada hari Ahad sudah mengajar, hari Isnin sudah ditabal sebagai ulama besar, hari Selasa dengan berani menegur orang lain secara terbuka.
Sikap dan keinginan mendabik dada sebagai golongan yang berilmu tinggi ini boleh menimbulkan rasa angkuh dan sombong dalam diri individu berkenaan. Mereka tidak boleh dikritik apatah lagi daripada kalangan yang tidak sealiran. Inilah bunga-bunga keangkuhan dan kesombongan yang mula mekar dalam diri mereka.
Buanglah jauh-jauh rasa sombong, takbur dan angkuh yang melanda sebahagian daripada ilmuan agama kita. Imam Al-Ghazali pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang itu menjadi takbur apabila ia merasakan dirinya lebih mulia daripada seekor anjing.
Contohilah para sahabat seperti Umar al-Khattab yang begitu menghormati Abu Bakar as-Siddiq kerana menyedari hakikat kedudukan dirinya jika dibandingkan dengan Abu Bakar as-Siddiq. Sesiapa bersikap dengan kesombongan maka ia melakukan dosa.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan kami hanyalah orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merendahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur." (Surah al-Sajdah: 15).
Mereka yang beriman kepada ayat-ayat Allah terdiri daripada mereka yang bersifat tidak sombong, angkuh dan takbur serta merendah diri tanpa mengecualikan golongan dan individu tertentu yang dikatakan mempunyai kedudukan dan penghormatan tinggi.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawaduk sehingga tidak ada seorang pun berasa dirinya megah (lebih bangga diri) daripada orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain". (Riwayat Muslim).
Dalam sejarah mencatatkan bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah mengutamakan pendapat para sahabat dalam persoalan pengurusan dan perancangan seperti di Badr, Uhud dan banyak lagi peristiwa yang lain.
Bahkan cadangan Salman Al-farisi membina parit sebagai strategi untuk melawan musuh berakhir dengan pembinaan parit mengelilingi Madinah sewaktu perang Khandak sebagai membuktikan penghormatan Rasulullah SAW kepada pandangan sahabat.
Dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, diceritakan satu peristiwa berhubung amalan pendebungaan pokok tamar oleh orang Madinah yang ditegur oleh Baginda dan mereka menghentikan amalannya kerana menghormati Rasulullah SAW.
Akhirnya hasil berkurangan dan apabila Rasulullah mendengar keadaan ini, maka bersabda Rasulullah: "Saya hanya manusia biasa. Hanya apabila saya mengarahkan kamu berhubung persoalan kewajipan keagamaan saja perlu kamu mematuhinya, tetapi sekiranya saya menyatakan sesuatu berdasarkan pendapat saya, ia hanya satu pandangan. Semestinya kamu lebih tahu mengenai urusan dunia kamu".
Jelas bukan semua pendapat yang diutarakan Rasulullah adalah hukum yang tidak boleh dibincangkan atau dipertimbangkan. Sekiranya begitu kaedahnya yang ditunjukkan Rasulullah, maka tidak mungkin semua yang dikatakan oleh ulama dalam soal pendapat dan pandangan semestinya diterima bulat-bulat seolah-olah ia pandangan yang betul.
Sekiranya semua yang dikatakan ulama dianggap bagaikan wahyu, maka kita akan kembali kepada zaman teokrasi. Zaman di mana kuasa yang ada tidak boleh dipertikaikan, apa lagi untuk mengkritik atau memperbetulkan akan kesilapan atas sifat manusia biasa.
Sebab itu, ilmuan Islam mesti sedar bahawa mereka mempunyai kelebihan dan kekurangan dalam pelbagai disiplin ilmu. Tidak semestinya apabila bergelar ulama, mereka seolah-olah sudah menguasai semua bidang ilmu termasuk ilmu keduniaan.
Pandangan mereka tidak semestinya menjadi fatwa yang tidak boleh ditegur. Sebenarnya boleh ditegur kerana mungkin mereka tidak ada kepakaran dalam aspek berkenaan. Keengganan mereka, yakni ilmuan Islam atau ulama untuk tidak menerima sebarang teguran menjadikan mereka angkuh dan sombong.
Sikap ini menjadi-jadi apabila berlakunya pemujaan dan taksub yang melampau kepada individu terbabit. Sifat melabelkan golongan yang menegur kesilapan mereka sebagai golongan yang tidak setaraf memancarkan sikap angkuh, sombong dan takbur mereka.
Melabelkan ulama yang tidak secocok mengikut aliran mereka dengan gelaran ulama terompah kayu, ulama haid dan nifas, ulama fulus adalah sesuatu yang melampau dan mencerminkan keburukan ulama berkenaan.
Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dewan Amal Islami (Damai)
Saturday, December 19, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment