Oleh Zainul Rijal Abu bakar
Tiada guna masa berlalu tanpa memperoleh manfaat, usaha perbaiki kelemahan diri
MINGGU ini adalah minggu terakhir sebelum 2009 melabuhkan tirainya. Tahun 2010 pula sedang mengintai dengan penuh harapan dan dugaan. Umat Islam pula masih baru menyambut Maal Hijrah yang menandakan permulaan tahun 1431 Hijrah. Azam dan iltizam memenuhi gerak hati kebanyakan insan yang berikrar memperbaiki diri.
Kemunculan tahun baru ini seharusnya menjadi pemangkin minda kita memikirkan apakah yang berlaku sepanjang tahun dan bagaimanakah pula kita akan menghadapi tahun baru nanti. Segala suka dan duka yang berlaku hendaklah dijadikan teladan dan sempadan kepada kita. Tiadalah gunanya tahun berlalu tanpa apa-apa manfaat yang kita peroleh. Tiadalah manfaatnya tahun berlalu tanpa kita perbaiki untuk masa-masa akan datang.
Apa yang berlaku tercatat sebagai sejarah. Tiada siapa yang dapat mengubahnya dan sejarah itu pasti berulang. Itulah lumrah alam. Oleh hal yang demikian kita tidak dapat lari daripada memikirkan apa yang telah berlaku kepada kita.
Jika kita menyorot apa yang berlaku sepanjang 2009, tentu banyak perkara yang akan merungkai minda kita.
Dari sudut perundangan Islam pula, sudah tentu kalendar 2009 diwarnai dengan pelbagai persepsi yang positif dan negatif.
Umpamanya keputusan Majlis Raja-Raja menolak cadangan pindaan undang-undang keluarga Islam yang dicadangkan kerajaan menarik perhatian pelbagai pihak berkaitan dengan undang-undang itu. Begitu juga kes Kartika Seri Dewi Sukharno yang masih belum lagi dilaksanakan hukuman sebat ke atasnya menimbulkan polemik yang agak sukar difahami ramai orang. Pendakwaan kes mengajar tanpa tauliah Dr Mohd Asri Zainal Abidin juga tidak kurang menarik perhatian umum.
Kes Muhammad Ridzuan Pathmanathan seorang mualaf yang mengislamkan anaknya mengambil tempat di dada akhbar arus perdana. Begitu juga halnya dengan kes perkuburan Islam di Kota Kemuning yang mana Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan Majlis Agama Islam Selangor mencelah juga membangkitkan ketidakpuasan hati di kalangan masyarakat Islam.
Semua kes di atas adalah manifestasi bahawa perjuangan memartabatkan Islam di bumi Malaysia masih belum mencapai matlamatnya yang sebenar. Usaha kita untuk mengarusperdanakan Syariah perlu dilipat ganda dan disusun atur dengan lebih sistematik bagi mencapai kejayaan.
Semoga tahun mendatang ini akan menjadi lebih baik khususnya berkaitan perkembangan agama Islam di tanah air. Walaupun bibit penambah baik itu mula dirasainya, ia bukannya suatu jaminan umat Islam berasa selesa dan menghentikan perjuangan. Walaupun kesatuan NGO Islam disemai, masih banyak perkara yang perlu diperkukuhkan antara NGO Islam. Melihat kepada cabaran yang akan dihadapi kelak, sebenarnya sudah tiada masa untuk umat Islam berseronok dan terkinja-kinja menyambut tahun baru.
Tahun baru mesti disambut dengan penuh keazaman dan komitmen agar Islam diletakkan di tempatnya. Bukan caranya menyambut tahun baru dengan pesta liar yang langsung tidak menggambarkan adat ketimuran budaya, bangsa dan agama.
Saya juga mengharapkan perpecahan di kalangan umat Islam akan dapat diperbaiki. Perpaduan antara umat Islam dan bukan Islam pula dapat ditingkatkan di samping saling hormat menghormati antara satu sama lain sejajar dengan prinsip Rukun Negara dan Keluhuran Perlembagaan dan kedudukan istimewa Islam di negara kita.
Kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama Persekutuan perlu direalisasikan dan dalam masa yang sama agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Ini bermakna agama lain boleh diamalkan selagi ia tidak menjejaskan keamanan dan kedamaian terhadap Agama Persekutuan di dalam negara.
Pada masa yang sama umat Islam hendaklah jangan sesekali mengherdik agama orang lain sebagaimana kita sendiri tidak mahu agama kita diherdik. Jangan memperlekehkan agama orang lain seperti kita tidak mahu diri agama kita diperlekehkan.
Perubahan minda sebegini amat penting bagi mengharungi tahun baru ini. Tanpanya sudah pasti kita akan berada di takuk lama dan tidak akan menjadi contoh teladan kepada orang lain.
Anjakan minda sebegini akan menjadi pemangkin kepada kita menggapai kecemerlangan pada tahun hadapan. Berbeza pandangan dalam perkara furu' adalah lumrah dan janganlah begitu terpesona dan taksub dengan sesuatu pandangan hingga tidak boleh berlapang dada menerima teguran orang lain.
Walaupun 2009 menyaksikan pelbagai cabaran dan dugaan yang menguji kesabaran dan perpaduan masyarakat, 2010 pasti akan menjadi pertaruhan sekiranya tiada usaha mantap memperbetulkan keadaan yang sedang berlaku.
Untuk itu pihak kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, institusi dan individu perlu sedar hakikat sebenar dan tidak mementingkan diri sendiri saja. Moga tahun baru ini memberi harapan ke arah memartabatkan agama Islam di samping memelihara perpaduan rakyat pelbagai bangsa.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia, boleh dihubungi melalui emel di zainul.rijal@abubakar.my
No comments:
Post a Comment