Wednesday, December 2, 2009

Bersama YaPEIM: Keusahawanan cabang kerjaya terbaik majukan kehidupan

Oleh Penulis Khas YaPEIM

ULAMA terkenal Dr Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya Mushkilah al-Faqr wa Kayfa 'Ilajuha al-Islam mengemukakan cadangan bagaimana umat Islam boleh keluar daripada kemiskinan.

Antaranya, umat Islam perlu bekerja serta berusaha membebaskan diri daripada kemiskinan. Pekerjaan adalah senjata ampuh yang memerangi bahaya kemiskinan.

Malah, Islam tidak pernah menutup ruang pekerjaan kepada umat Islam selagi pekerjaan diceburi itu tidak haram dan subahat. Ini bererti Islam membuka ruang seluasnya kepada umat Islam memilih bidang pekerjaan sesuai dengan kepandaian, kemahiran, pengalaman serta bakat.

Yang penting, pekerjaan itu mendatangkan upah, gaji, pendapatan dan keuntungan kepada yang mengerjakannya. Dengan upah dan pendapatan sedemikian individu berkenaan dapat memenuhi keperluannya dan tanggungannya.

Antara pekerjaan dituntut Islam ialah keusahawanan. Islam menilai bidang ini bukan saja aktiviti yang menumpukan sektor jual beli barangan atau perkhidmatan. Keusahawanan membabitkan aktiviti pekerjaan makan gaji kerana makan gaji dianggap sebagai tukar tenaga.

Jika diteliti sejarah aktiviti keusahawanan, ia bermula sejak awal kewujudan manusia. Contohnya, dua anak Nabi Adam sudah mempelopori bidang utama keusahawanan pada ketika itu iaitu Habil dalam bidang pertanian dan Qabil dalam bidang ternakan.

Selain itu, menurut Ibn Ishaq, seperti dicatatkan Ibn Hisyam dalam kitab al-Sirah al-Nabawiyyah, semua utusan Allah menjadikan bidang keusahawanan (terutama dalam sektor penternakan kambing) sebagai kerjaya mereka.

Ini termasuklah Rasulullah SAW sendiri sebelum dilantik sebagai Nabi dan Rasul adalah pengembala kambing serta ahli perniagaan terbaik. Teras kepada amalan perniagaan yang Baginda SAW praktikkan ialah tekun, jujur dan adil.

Justeru, tidak hairanlah Baginda SAW digelar Sadiq dan Amin. Keunggulan peribadi Rasulullah SAW ketika menjalankan urusan perniagaan menjadikan Baginda dilantik sebagai ejen dagangan Khadijah binti Khuwailid ke Syam.

Di samping itu, misi perniagaan ke Syam memberikan jualan dagangan yang cukup laris. Ini menggambarkan Baginda SAW amat dipercayai pengguna dan pembeli. Kemuncak kepada kepercayaan itu ialah Khadijah melamar Baginda SAW sebagai pasangan hidupnya.

Sektor keusahawanan dipandang mulia dalam Islam. Kedudukan usahawan yang bersifat jujur, amanah dan beretika mulia jelas seperti diakui Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: Pedagang yang jujur dan amanah tempatnya bersama para nabi, orang yang benar dan para syuhada. (Hadis riwayat al-Tirmizi).

Ketinggian nilai keusahawanan juga terangkum dalam jawapan Rasulullah SAW seperti hadis diriwayatkan daripada Rifa ah bin Rafi, ketika ditanya mata pencarian terbaik ialah hasil titik peluh sendiri dan perniagaan yang bersih.

Rasulullah SAW turut menggalakkan umatnya terus berusaha dalam sektor lain seperti perindustrian dan pertukangan, yang boleh dianggap sebagai cabang keusahawanan. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: Makanan terbaik dimakan oleh seseorang itu ialah makanan yang diperolehnya daripada hasil kerja tangannya sendiri. (Hadis riwayat al-Bukhari)

No comments: