Oleh Yussamir Yusof
KETIKA Rasulullah SAW menghantar Mu'az bin Jabal ke Yaman, Baginda sempat menitipkan beberapa pesanan kepadanya, antaranya supaya beliau sentiasa berlaku baik dalam pergaulan dengan orang ramai.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik." (Hadis riwayat Imam Tirmidzi).
Pesanan itu diberikan Rasulullah SAW kerana ia mempunyai kepentingan tersendiri. Lebih-lebih lagi, kehadiran Mu'az di Yaman adalah sebagai duta Islam yang akan menjadi guru, tempat rujukan feqh dan hakim kepada penduduk di sana.
Oleh sebab itu, Mu'az perlu bergaul dengan cara yang baik dan sentiasa menunjukkan akhlak mulia kepada penduduk.
Menurut Ibnu Rajab al-Hanbali, Rasulullah SAW mengingatkan Mu'az hal itu kerana kebanyakan manusia menyangka bahawa ketakwaan hanya boleh dicapai dengan melaksanakan perintah Allah tanpa mengambil kira hak hamba-Nya.
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertakwa, (iaitu) orang yang menafkahkan (hartanya), sama ada pada waktu lapang mahupun sempit, dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang yang berbuat kebajikan." (Surah Ali-Imran, ayat 133-134)
Bersikap baik dengan akhlak Islam adalah tuntutan besar dalam agama. Rasulullah SAW pernah ditanya sahabat apakah anugerah terbaik boleh diberikan seorang Muslim kepada orang lain. Maka Rasulullah SAW menjawab, "Akhlak yang baik." (Hadis riwayat Imam Ahmad, An-Nasai, Ibnu Majah dan Abu Daud).
Bukan itu saja, Rasulullah SAW juga memberitahu kepada sahabat, bahawa orang berakhlak mulia akan mencapai darjat seperti seorang berpuasa dan qiamulail (bersolat malam). Berita gembira itu disampaikan Rasulullah SAW supaya orang yang mengejar takwa tidak hanya terus-menerus berpuasa dan berqiamulail sedangkan mereka meninggalkan akhlak mulia.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya seorang mukmin yang berakhlak mulia mencapai kedudukan seperti seorang yang berpuasa dan berqiamulail." (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).
Jika bercakap mengenai akhlak mulia, semua agama turut menekankan hal itu. Namun yang membezakan Islam dengan agama lain ialah petunjuk datang daripada Allah dan Rasul. Neraca atau petunjuk akhlak yang diterima Islam sudah pasti diambil daripada diri Nabi Muhammad SAW.
Selari dengan apa yang difirmankan Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah." (Surah al-Ahzab, ayat 21)
Sementara Imam al-Hakim pula merekodkan hadis dari Uqbah bin Amir al-Juhani, katanya: "Rasulullah SAW bersabda kepadaku: Wahai Uqbah mahukah saya memberitahumu akhlak penghuni dunia dan akhirat yang paling mulia? Kamu menyambung silaturahim orang yang memutuskannya, kamu membantu walaupun sebelum ini dia enggan membantumu, dan kamu memaafkan sesiapa yang menzalimimu."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment