Saturday, December 5, 2009

Soal Jawab Agama: Tidak dikira haji jika terlepas wukuf, wajib qada

Soalan:

APAKAH dikira haji bagi orang yang tidak sempat berwukuf di Arafah sedangkan ia adalah rukun haji yang terpenting. Apakah perkara yang wajib dilakukan dan wajibkah diqadakan hajinya?

Zarina,
Sungai Buloh.

Jawapan:

WUKUF ialah salah satu rukun terpenting ibadat haji dan mereka yang terlepas waktunya menyebabkan hajinya tidak sah. Wukuf bermakna jemaah haji mestilah berada di bumi Arafah pada mula gelincir matahari pada 9 Zulhijjah hingga terbit fajar pada hari raya (10 Zulhijjah). Disunatkan duduk di bawah Jabal Rahmah jika memungkinkan bagi lelaki.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Haji itu ialah wukuf di Arafah". Namun demikian, jemaah hendaklah melakukan rukun haji yang lain di samping wukuf bagi meluluskan ibadat haji mereka.

Bagi yang terlepas wukuf di Arafah tidak dikira berhaji dan wajib bagi mereka membayar Dam dengan menyembelih binatang dan mengqada hajinya itu pada masa akan datang.

Mereka mestilah membebaskan diri daripada ihram haji dengan bertahallul iaitu tawaf, sai' dan bercukur. Perkara ini disebut melalui hadis riwayat Imam Malik dalam kitab Muwatta' bahawa seorang sahabat bernama Habbar datang pada hari raya kerana tersalah perhitungan hari ketika Saidina Umar sedang menyembelih korbannya.

Lalu Habbar berkata, "Wahai Amirul Mu'minin, kami sudah tersalah kira dengan menyangka hari ini adalah hari Arafah. Maka Umar pun berkata: Pergilah engkau ke Makkah tawaf di Baitullah, Sa'i antara Safa dan Marwa dan hendaklah kamu sembelih jika mampu. Pulanglah dan datang lagi tahun depan untuk berhaji serta sembelih. Jika tidak, maka hendaklah berpuasa tiga hari dalam haji dan tujuh hari apabila sudah pulang.

No comments: