Oleh Penulis Khas YaPEIM
KESEDARAN terhadap kualiti semakin meningkat apabila wujud pelbagai pertubuhan yang menjaga hak pengguna. Sebelum istilah kualiti diguna pakai secara meluas, masyarakat Melayu menggunakan istilah mutu seperti tercatat dalam cogan kata 'Bersekutu Bertambah Mutu'.
Dalam konteks pengurusan konvensional, kualiti umumnya dikaitkan dengan kepuasan pelanggan terhadap sesuatu barangan atau perkhidmatan, maka terungkap definisi kualiti sebagai memenuhi harapan pelanggan.
Definisi itu diubah suai dengan menambah satu kata munasabah mengiringi kata harapan. Oleh itu, kualiti diertikan sebagai memenuhi harapan pelanggan yang munasabah sementara tradisi kita, kualiti lebih merujuk pengertian manfaat.
Sesuatu itu dianggap berkualiti kerana ia bermanfaat dan berguna seperti ayat 17, surah al-Ra'd yang mengisyaratkan makna sebenar kualiti berpaksikan manfaat serta betapa besarnya kuasa kualiti sebagai penentu kehidupan.
Sesuatu yang tidak akan senasib dengan buih yang tidak berguna akan segera menghilang kerana tidak memiliki daya tahan. Sebaliknya hanya yang berkualiti saja mampu bertahan kerana sifatnya terus menerus relevan dalam erti dapat memberi manfaat kepada manusia.
Produk barangan dianggap berkualiti selama masih membawa manfaat kepada pelanggan. Semakin banyak manfaatnya semakin tinggilah kualitinya. Dengan menjadikan manfaat sebagai kriteria, bererti barangan membawa mudarat tidak dapat diterima sebagai berkualiti meskipun permintaan pasarannya tinggi dan memuaskan pelanggannya.
Barangan seperti arak, dadah berbahaya dan barangan lain yang haram di sisi hukum syarak pada hakikatnya adalah tidak berkualiti.
Ternyata kualiti daripada perspektif Islam mempunyai dimensi jasmani rohani dan kerana itu ia tidak hanya perlu menepati syariat seperti diperincikan dalam hukum ilmu fiqh, termasuk pengawalannya dalam lingkungan keperluan asasi dan mendesak, keperluan biasa dan keselesaan.
Kualiti tidak harus terlalu mewah sehingga menjadi pembaziran. Urusan jual beli diperincikan begitu rupa dalam fiqh mu'amalat, lengkap dengan hukum dan etikanya adalah bertujuan memelihara serta menjamin kualiti.
Kualiti tidak hanya tertumpu pada produk barangan, tetapi meliputi yang lain termasuk manusia, perkhidmatan atau amalannya. Istilah salih (baik) yang dipakai secara meluas dalam teks keagamaan juga membawa erti kualiti yang merujuk amalan (termasuk khidmat), barangan dan manusia.
Kualiti salih juga digunakan dalam konteks benda dan manusia seperti sabda Nabi yang bermaksud: "Sebaik-baik harta ialah harta yang baik dan dimiliki oleh orang yang baik pula."
Objektif al-Quran adalah untuk membebaskan manusia daripada segala bentuk belenggu dan menjadi manusia berkualiti, manusia sempurna sifat kemanusiaannya dan mampu melaksanakan tanggungjawab pengabdiannya (kepada Allah) dan kebaktian (kepada manusia) dengan sebaik-baiknya.
Ciri manusia berkualiti tentunya banyak, termasuk kemampuan menyumbang produk dan khidmat bermanfaat kepada manusia lain. Hakikat inilah yang ditegaskan Nabi dalam sabdanya yang bermaksud: "Manusia terbaik adalah manusia yang paling bermanfaat kepada manusia lain."
Manusia berkualiti adalah manusia penyumbang dan manusia produktif. Hanya pekerja berkualiti mampu menghasilkan produk berkualiti baik barangan dan perkhidmatan.
Barangan atau perkhidmatan harus membawa manfaat yang diiktiraf oleh syarak seperti arak, meskipun daripada jenis yang terbaik sekalipun, ia tetap dianggap tidak berkualiti kerana mudaratnya lebih banyak daripada manfaatnya.
Bagi perkhidmatan yang membawa kerosakan, seperti muamalat berunsur riba meskipun mungkin dilaksanakan dengan cara yang 'terbaik', ia tetap tidak dapat diterima sebagai berkualiti.
Tercapainya keadaan saling rela antara semua pihak terbabit, misalnya antara penjual dengan pembeli, antara pemberi dengan penerima perkhidmatan, semua pihak harus berpuas hati kerana dalam Islam tidak ada istilah menang sendiri tetapi menang bersama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment