Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
zainul.rijal@abubakar.my
Banyak pihak masih bertikam lidah berhubung isu pelaksanaan undang-undang syariah
NAMA Kartika Sari Dewi Sukharno sudah semakin dilupai masyarakat. Akhbar arus perdana juga tidak lagi memaparkan isunya. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga bagai menutup tirai perjuangan mereka dalam isu ini, sama ada NGO berasaskan jantina dan hak asasi manusia mahupun NGO Islam. Maka tinggallah Kartika dan dibantu beberapa teman beliau mencari ruang bagi menebus kesilapan lampau.
Apa yang ingin ditunjukkan Kartika hanyalah bagi memandu arah beliau sendiri kembali ke jalan benar di samping menjadi sempadan kepada orang lain agar tidak melakukan kesilapan sama. Persoalan yang timbul kenapakah begitu sukar untuk Kartika disebat? Seolah-olah terdapat halangan yang besar bagi melaksanakan sebatan Syariah yang penuh pengajaran dan hikmah itu. Di Pahang hukuman sebat sudah dilaksanakan ke atas pesalah syariah yang meminum arak di Penjara Penor Pahang tanpa sebarang masalah baru-baru ini.
Ironinya kenapa pula NGO berasaskan jantina dan hak asasi ini tidak melenting apabila sebatan itu dilaksanakan? Adakah mereka menggunakan tanda aras yang berbeza bagi orang yang berlainan? Isu Kartika menarik perhatian saya kerana kejahilan mengatasi mereka yang berilmu. Orang yang dangkal ilmu agama dan pelaksanaan sebatan syariah berebut-rebut bercakap berhubung isu ini tanpa fakta dan kajian seolah-olah merekalah ahli agama dan pejuang keadilan. Malah sebenarnya hujah yang dikemukakan mereka ini adalah hujah picisan yang tidak berlandaskan kedudukan agama dan Perlembagaan sebenar.
Walaupun berulang kali diperjelaskan oleh ulama, masih tidak dapat diterima golongan ini. Ia bagai 'mencurah air di daun keladi' kerana golongan ini tidak berlapang dada menerima pandangan orang lain. Saya sendiri beberapa kali menulis berkaitan isu ini, malah berjumpa dengan hampir sebahagian besar pihak yang terbabit termasuklah Kartika, Mahkamah Syariah Pahang dan Penguat kuasa Agama. Maklum balas yang saya terima ialah mereka bersedia menjalankan sebatan ini. Namun sehingga ke hari ini hasrat ini masih belum direalisasikan lagi. Di mana silapnya?
Saya memohon kepada Sultan Pahang sebagai ketua agama agar campur tangan di dalam isu ini. Sudah terlalu lama isu ini berlalu tanpa jalan penyelesaiannya. Sudah acap kali Mahkamah Syariah diperlekehkan. Sudah sering undang-undang Islam diperkotak-katikkan. Ketegasan ketua agama di dalam melaksanakan undang-undang syariah ini akan menambah kasih sayang rakyat kepada
baginda.
Hubungan simbiotik antara rakyat dan sultan bukanlah suatu retorik tetapi hendaklah dizahirkan melalui ketegasan dan limpahan rahmat Allah dengan melaksanakan syariat yang ditetapkan oleh Allah.
Pelaksanaan sebatan ke atas Kartika akan meningkatkan integriti dan standard Mahkamah Syariah dan jabatan agama yang berada di bawah naungan Sultan. Ini dapat dilihat dari usaha umat Islam arus perdana yang mahukan pelaksanaan hukuman sebat ini berbanding dengan segelintir kecil yang tidak sudah-sudah menentang apa saja yang dilakukan oleh institusi Islam. Namun saya yakin keprihatinan Sultan Pahang akan dapat menyelesaikan kemelut ini.
Hukuman sebatan syariah sebenarnya jauh berbeza dengan sebatan sivil. Walaupun peruntukan hukuman ini sudah lama wujud, pelaksanaannya masih lagi belum meluas. Halangan yang ada adalah halangan bersifat metafora dan bukan halangan sebenar. Hakim Syarie juga sudah melihat demonstrasi sebat syariah oleh pegawai penjara mendapati ia tidak bertentangan dengan peruntukan undang-undang dan hukum syarak. Suatu bengkel khas berkaitan dengan permasalahan hukuman sebat juga sudah dijalankan April lepas anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan hasilnya mendapati tiada permasalahan besar dalam melaksanakan hukuman sebatan Syariah ini.
Walaupun sudah bertaubat, Kartika tidak berganjak mahukan beliau dihukum atas kesalahannya. Hal yang demikian menunjukkan bahawa Kartika benar-benar sudah bertaubat sebagaimana yang dikehendaki Allah iaitu taubat nasuha seperti disebut dalam Surah at Tahrim ayat 8 yang bermaksud, "Hai orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya."
Ibnu Katsir mentafsirkan taubat nasuha sebagai taubat yang sebenarnya dan sepenuh hati, akan menghapus keburukan yang dilakukan sebelumnya, mengembalikan keaslian jiwa orang yang bertaubat, serta menghapus keburukan yang dilakukannya. Oleh itu diharapkan Kartika dapat mencapai taubat nasuha itu.
Setiap orang melakukan kesilapan dan kadangkala kesilapan itulah yang mengajar kita untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Lebih lama kemelut ini dibiarkan ia hanya akan menambahkan kegelisahan di kalangan rakyat. Begitu juga bagi Kartika yang tertunggu-tunggu bilakah hukuman akan dilaksanakan. Kartika memerlukan ketenangan, hanya selepas hukuman dilaksanakan barulah beliau akan mendapat ketenangan. Kesilapan yang menghantui beliau hanya akan terpadam dengan pelaksanaan hukuman ke atasnya. Oleh yang demikian saya menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan agar melakukan sesuatu bagi memastikan kelancaran pelaksanaan hukuman ke atas Kartika.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), boleh dihubungi melalui zainul.rijal@abubakar.my
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment