Oleh Mohd Noor Bin Omar
KEMATANGAN fahaman Islam di Malaysia perlu diiktiraf dengan memberi ruang kepada keseimbangan dalam rekayasa pembangunan tamadun dengan keselarian antara tata-akidah dan muamalah.
Bertambahnya sifat ketidakcukupan moral, kemiskinan adab, pengabaian tanggungjawab, penguncupan keseimbangan serta kegagalan perundangan hasil daripada kerangka kapitalis dan sekular jelas memerlukan pemulihan. Masa untuk kembali kepada aturan Islami sudah lama tiba, apatah lagi dengan wujudnya desakan.
Penekanan kepada bentuk sudah menjelmakan rupa pengasingan label konvensional dan islami. Soal ini sedang diperbincangkan dan tidak kurang juga menimbulkan pertikaian, sehingga ada yang lupa konvensional juga boleh diislamkan dengan nama. Islam tidak pernah membandingkan label tetapi menggariskan landasan tertentu sebagai panduan.
Islam tidak pernah mengasing-asingkan antara akidah, muamalah dan akhlak. Malangnya, kecenderungan yang berlaku sekarang ialah muamalah islami lebih ketara kerana pasaran manakala pada masa sama, aspek akidah dan akhlak dikesampingkan. Parahnya amat ketara kepada mereka yang berada di zaman ini dan lebih buruk lagi generasi akan datang.
Semua ini berlaku kerana wujud ketempangan dalam penekanan sama ada di peringkat diri, institusi keluarga, masyarakat atau negara. Masyarakat sudah terpengaruh dengan acuan sekular dan kapitalis yang berjaya mengubah sistem kepercayaan mereka.
Banyak telaah boleh diperhalusi, secara umumnya seperti kefahaman mengenai konsep kebebasan, kewajaran, kesahihan, keadilan, kekayaan dan sebagainya. Neraca logik sering digunakan berbanding neraca taklifi syarak atau justifikasi iman untuk mengawal selia tingkah laku.
Masalah tahap kebijaksanaan dalam memacu kemajuan, ternyata memberi gambaran bahawa aturan tamadun islami tidak seimbang atau secara khususnya sistem kepercayaan Islami mulai pudar. Persoalan mencari keredaan Allah dalam melaksanakan aktiviti seharian makin diabaikan. Apalagi ketetapan hati terhadap keperluan unsur keimanan lain seperti persoalan pembalasan, dosa dan pahala dan sebagainya.
Penggunaan laman web, media, telefon bimbit dan lain-lain lagi sering menjerumuskan kepada gejala tidak sihat malah parah di kalangan generasi muda seolah-olah segala tindakan itu tidak akan diadili dan dunia dianggap kesempatan untuk mencari kepuasan.
Dalam konteks lebih besar, memang tidak dinafikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berpotensi menjadi medan pusat kebangkitan Islam daripada pelbagai sudut. Sebut saja pasaran kewangan dan perbankan, pendidikan dan pelajaran, pasaran barangan dan perkhidmatan, busana dan penampilan, kajian dan penerbitan, pengurusan dan banyak lagi.
Penekanan kepada muamalah islami amat berkesan, malangnya persoalan akhlak diabaikan di dalam sistem. Kes sosial seperti pergaulan bebas, pembuangan bayi, keruntuhan institusi kekeluargaan tidak boleh dipandang ringan.
Kemungkinan ini ada kaitan dengan kecenderungan masyarakat. Apa yang dipentingkan ialah rupa luarnya nampak Islam, maka aspek keimanan diabaikan. Imam Malik pernah menukilkan bahawa barang siapa yang berfekah dengan tanpa bertasauf, maka mereka akan tergolong dalam golongan yang fasik (rosak). Kebenarannya ternyata apabila berlaku kerosakan dalam sistem akhlak masyarakat terutama golongan pelapis baru.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment